oleh: zizi hashim
04 Jun
04Jun

Gelak tawa yang bergema sepanjang Malam Gala dan Tayangan Perdana 5 Bomoh pada 3 Jun 2026 seolah-olah menjadi petanda awal bahawa filem ini hadir dengan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar komedi biasa. Dihadiri barisan pelakon, penggiat industri kreatif, rakan media dan tetamu jemputan, malam tersebut berlangsung dalam suasana santai tetapi meriah, dengan pelbagai reaksi spontan daripada penonton yang terhibur menyaksikan kekecohan demi kekecohan yang dipaparkan di layar perak.

Setiap kemunculan watak-watak unik yang dibawakan Dato' Aaron Aziz, Scha Alyahya, Dato' Afdlin Shauki, Johan dan Amy Search berjaya mengundang ketawa, manakala sindiran sosial yang diselitkan dalam penceritaan membuatkan ramai bukan sahaja terhibur, tetapi turut merenung realiti yang sering berlaku dalam kehidupan seharian. Dari awal hingga penghujung tayangan, suasana dewan dipenuhi sorakan, gelak tawa dan perbualan yang membuktikan naskhah ini berjaya meninggalkan kesan tersendiri kepada penonton terawal.

Berangkat daripada realiti masyarakat yang sering mencari jalan pintas untuk mencapai impian, 5 Bomoh arahan Syed Fariz tampil sebagai sebuah komedi satira yang menggabungkan hiburan, sindiran sosial dan nilai kekeluargaan dalam satu penceritaan yang dekat dengan kehidupan. Mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 4 Jun 2026, filem ini mengangkat fenomena kepercayaan terhadap bomoh dan amalan tahyul menerusi pendekatan yang ringan, lucu tetapi sarat pengajaran.

Diterbitkan oleh Global Station Sdn Bhd, diedarkan oleh Skop Production Sdn Bhd dan dipasarkan oleh Primeworks Studios, 5 Bomoh mempertaruhkan barisan pelakon yang cukup berwarna-warni. Antaranya termasuk Dato’ Aaron Aziz, Scha Alyahya, Khairy Jamaluddin, Ungku Hariz, Tiara Rose, Dato’ Afdlin Shauki, Johan, Amy Search, Aedy Ashraf dan Ozlynn Waty. Gabungan nama daripada pelbagai latar belakang ini menjadikan filem tersebut tampil dengan karakter yang unik serta ragam yang mengundang ketawa dari awal hingga akhir.

Kisahnya berpusat kepada Rashdan lakonan Dato’ Aaron Aziz, seorang ahli perniagaan yang sejak kecil sangat percaya kepada amalan tahyul dan petua turun-temurun. Berbeza dengan isterinya, Sakinah lakonan Scha Alyahya, yang lebih berpegang kepada ilmu pengetahuan, sains serta kekuatan doa dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Konflik bermula apabila anak perempuan mereka, Nisa, gagal memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan SPM. Terlalu mengimpikan anaknya menjadi individu pertama dalam keluarga yang melanjutkan pelajaran ke luar negara, Rashdan mula panik dan enggan menerima hakikat bahawa kejayaan memerlukan usaha yang berterusan.

Atas cadangan pembantunya, Alam, Rashdan mengambil keputusan yang luar biasa. Bersama keluarga, mereka memulakan pengembaraan ke pelbagai lokasi bagi mencari bomoh yang kononnya mampu membantu memastikan keputusan SPM Nisa menjadi cemerlang. Namun apa yang menanti mereka bukanlah keajaiban yang dicari, sebaliknya rentetan pengalaman lucu bersama lima bomoh yang masing-masing mempunyai helah tersendiri.

Setiap bomoh yang ditemui ternyata hanyalah scammer yang bijak mengambil kesempatan terhadap harapan manusia. Ada yang menjual janji, ada yang memanipulasi ketakutan, dan ada yang menjadikan kepercayaan orang ramai sebagai sumber keuntungan. Dari Bomoh Mbah Slamet lakonan Afdlin Shauki hingga Bomoh Sem Chai yang dibawakan Johan, setiap karakter membawa warna komedi tersendiri yang menjadikan perjalanan Rashdan semakin kacau-bilau.

Di sebalik segala kekecohan dan gelak tawa, 5 Bomoh sebenarnya menyelitkan komentar sosial yang cukup tajam. Filem ini menyentuh bagaimana sebahagian masyarakat masih mudah terpedaya dengan janji penyelesaian segera, terutama apabila berdepan tekanan hidup, kegagalan atau keinginan yang terlalu besar. Ia juga mengangkat isu hubungan kekeluargaan serta tekanan ibu bapa terhadap anak-anak yang sering berlaku tanpa disedari.

Menurut pengarah Syed Fariz, filem ini cuba menyampaikan mesej bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan. Kadangkala manusia terlalu mudah mempercayai perkara yang menjanjikan hasil segera sehingga terlupa bahawa usaha, ilmu dan doa merupakan asas sebenar dalam merealisasikan impian. Walaupun mesej tersebut disampaikan melalui komedi, ia tetap dekat dengan realiti kehidupan masyarakat hari ini.

Menampilkan genre komedi satira, komedi keluarga dan komentar sosial, 5 Bomoh bukan sekadar sebuah filem yang mengundang ketawa. Ia merupakan cerminan terhadap sikap manusia yang sering mencari keajaiban ketika jawapan sebenar sebenarnya sudah berada di depan mata. Dengan durasi 95 minit dan klasifikasi P12, filem ini sesuai ditonton bersama keluarga sambil menikmati hiburan yang diselitkan dengan pengajaran yang bermakna.

Pada akhirnya, 5 Bomoh mengingatkan bahawa keajaiban terbesar bukan datang daripada tangkal, azimat atau janji luar biasa. Sebaliknya, ia lahir daripada usaha yang konsisten, ilmu yang benar dan keyakinan bahawa setiap kejayaan mempunyai proses yang tidak boleh dipintas.

Comments
* The email will not be published on the website.