oleh: zizi hashim
26 Aug
26Aug

Sebuah takdir kadang menyapa dengan cara paling tidak terduga, begitulah kisah Sore: Istri Dari Masa Depan, filem romantik dari Indonesia yang bakal menghangatkan layar perak Malaysia bermula 25 September 2025. Naskhah yang mencatat lebih 3 juta penonton di tanah seberang ini lahir dari siri web popular terbitan Inhype Pictures, kini diperluas dengan naratif yang lebih mendalam, visual sinematik memukau dan lapisan emosi yang membekas lama selepas layar gelap.

Primeworks Studios dengan penuh bangga menjadi pengedar serta rakan pemasaran rasmi, membawa karya fenomena ini kepada khalayak Malaysia. Dibintangi oleh Dion Wiyoko sebagai Jonathan dan Sheila Dara Aisha sebagai Sore, filem ini hadir dengan chemistry serasi yang mampu membuat setiap detik terasa hangat dan hidup. “Sheila bukan hanya memberi nyawa pada wataknya, tetapi juga mengikat jiwa penonton dengan kejujurannya,” demikian pujian yang sering bergema sejak tayangan di Indonesia.

Versi asal siri web menampilkan Tika Bravani sebagai Sore, namun dalam adaptasi layar lebar, Sheila Dara membawa nuansa baharu dengan kepelbagaian emosi, seakan menjahit semula takdir cinta yang terputus di sempadan waktu. Bersama Dion, mereka mencipta sebuah kisah yang menyentuh hati tanpa berlebih kata, memikat dengan tatapan dan dialog sederhana yang tetap meninggalkan kesan mendalam.

Kisah bermula dengan Jonathan, seorang lelaki yang menjalani hidup berantakan, penuh sepi dan kehilangan arah. Dunia yang dingin dan kosong itu tiba-tiba berwarna apabila seorang wanita misteri muncul memperkenalkan dirinya sebagai Sore, isteri dari masa depannya. Kedatangan Sore mengubah bukan sahaja pandangannya terhadap cinta, tetapi juga kepercayaannya pada makna takdir, pilihan, dan keberanian untuk menghadapi sesuatu yang belum pasti.

Namun, di sebalik cahaya yang dibawa Sore, tersembunyi rahsia masa hadapan yang perlahan-lahan terkuak. Cinta mereka diuji oleh kenyataan yang tidak semua perkara bisa diatur oleh hati, apalagi ketika garis masa sendiri menjadi lawan yang tak terjangkau. “Cinta, jika benar adanya, sanggup menembus apa pun, bahkan jarak waktu,” begitulah inti yang digenggam naskhah ini.

Dengan gabungan drama emosional, romantis yang lembut dan sentuhan fantasi masa, Sore: Istri Dari Masa Depan menjanjikan pengalaman sinematik yang bukan sekadar menghibur, tetapi juga mengajak penonton merenung erti pertemuan, kehilangan, dan keberanian untuk percaya.

Jangan lepaskan peluang menyelami kisah cinta menyeberang waktu ini bermula 25 September 2025 di seluruh pawagam Malaysia. Untuk maklumat dan kandungan eksklusif, ikuti saluran rasmi Primeworks Studios di Facebook, Instagram, Twitter dan YouTube.

Comments
* The email will not be published on the website.