Puisi yang pernah tertinggal di antara dua hati kini bernafas kembali. Bukan sekadar dalam kata-kata, tetapi dalam melodi yang menembusi masa. Rangga & Cinta, karya muzikal terbaharu arahan sutradara ternama Riri Riza, membuka lembaran baharu kepada kisah cinta paling ikonik Nusantara: Ada Apa Dengan Cinta?.
Kali ini dalam bentuk yang lebih berani, penuh warna dan bergetar rasa. Filem yang diterbitkan oleh Miles Films ini bukan hanya menghidupkan semula nostalgia, tetapi mengubahnya menjadi pengalaman sinematik yang merangkul puisi, muzik dan kenangan dalam satu hembusan indah.
Nada demi nada yang bergema dalam filem ini adaalah nadi penceritaan itu sendiri. Lagu-lagu asal ciptaan duo legenda Melly Goeslaw dan Anto Hoed yang suatu masa dahulu menuliskan kisah cinta Rangga dan Cinta dalam Ada Apa Dengan Cinta kini dihidupkan semula dengan tafsiran baharu yang lebih matang, emosional dan dekat di jiwa.


Setiap bait lirik membawa penonton mengembara ke ruang antara kehilangan dan harapan, seolah-olah cinta pertama itu belum pernah benar-benar berakhir, hanya beristirahat seketika menunggu waktu untuk dinyanyikan semula.
Menariknya, baton cinta kini berpindah tangan. Watak Rangga dihidupkan oleh El Putra Sarira, sementara Leya Princy memikul watak Cinta,  dua pelakon muda yang membawa semangat baharu generasi kini tanpa meniru keagungan ikon sebelumnya, Nicholas Saputra dan Dian Sastrowardoyo. Di bawah panduan Riri Riza, mereka menzahirkan jiwa dua karektor ini bukan sebagai bayangan, tetapi sebagai cerminan generasi baru yang belajar mencintai tanpa peta, berani merasa tanpa takut terluka.


Riri Riza menyifatkan Rangga & Cinta sebagai “surat cinta” untuk keberanian mencipta, untuk bereksperimen, untuk menghidupkan kembali cerita yang pernah begitu disayangi dengan cara yang segar dan berani. “Saya bersyukur dapat kembali ke genre muzikal, dengan runut bunyi asal yang begitu bermakna. Saya berharap penonton akan turut merasakan kegembiraan dan kehangatan emosi yang saya alami sepanjang proses ini,” ujarnya.
Filem ini pertama kali dipertontonkan kepada dunia di Busan International Film Festival (BIFF) 2025, menerima tepukan panjang dan ulasan hangat atas keberaniannya memadukan realisme remaja dengan elemen teater dan lagu. Kini, keajaiban itu bersedia berlabuh di pawagam Malaysia mulai 6 November 2025, mengundang penonton untuk sing along dalam ruang nostalgia yang tiba-tiba terasa baru.

Sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi, Primeworks Studios percaya Rangga & Cinta akan menghidupkan kembali romantika yang lama terpendam di hati peminat filem Indonesia dan Malaysia. Ini bukan sekadar tontonan, ia adalah pengalaman merasai cinta dalam bentuk suara, gerak, dan cahaya.
Kerana pada akhirnya, cinta tidak pernah benar-benar hilang. Ia hanya berubah nada. Dan kini, nada itu bergema semula di pawagam, mulai 6 November 2025 ini.