Bukan semua bomoh hadir dengan aura seram dan mantera menakutkan. Ada juga yang membawa kekecohan sehingga seluruh hidup orang lain boleh jadi tunggang-langgang dalam sekelip mata. Dari situlah '5 BOMOH' muncul sebagai sebuah naskhah satira komedi yang memilih untuk ketawakan realiti masyarakat dengan cara paling huru-hara dan tidak masuk akal.
Terbaharu, teaser watak rasmi filem tersebut akhirnya dilancarkan dan terus mencuri perhatian ramai dengan bayangan dunia penuh kekacauan yang bakal menanti penonton di pawagam nanti. Namun seperti yang sudah dijangka, lima watak “bomoh” dalam filem ini ternyata jauh daripada apa yang biasa dibayangkan orang ramai.

“Mereka mungkin bomoh… tapi bukan yang korang harapkan.”
Ayat pendek itu sahaja sudah cukup memberi petunjuk bahawa '5 BOMOH' bukan sekadar mahu menjadi filem komedi biasa. Sebaliknya, ia tampil sebagai satira sosial yang bermain dengan perangai manusia, obsesi terhadap jalan pintas dan budaya percaya kepada perkara-perkara pelik yang masih dekat dalam masyarakat hari ini.
Diarahkan oleh Syed Fariz, filem ini membawa gaya komedi yang lebih liar, spontan dan penuh insiden tidak dijangka. Setiap karakter dalam '5 BOMOH' dikatakan memiliki perangai dan pendekatan berbeza sehingga mencetuskan kekecohan demi kekecohan sepanjang perjalanan cerita. Dan mungkin itulah kekuatan utama filem ini. Bukan sekadar lawak kosong, tetapi bagaimana ia mempermainkan situasi yang terasa dekat dengan kehidupan sebenar masyarakat Malaysia.
Barisan pelakonnya juga menjadi antara faktor utama yang membuat filem ini mula menjadi perhatian ramai sejak teaser pertama dilancarkan. Aaron Aziz mengetuai deretan nama besar bersama Scha Alyahya, Ungku Hariz, Khairy Jamaluddin dan Afdlin Shauki. Turut memeriahkan kekacauan dunia '5 BOMOH' ialah Amy Search, Aedy Ashraf, Johan, Jozlyn Hanania dan Tiara Suraya yang masing-masing membawa karakter penuh warna dan kekecohan tersendiri.
Apa yang membuat ramai mula tertarik adalah bagaimana filem ini seolah-olah berani mempermainkan budaya “bomoh moden” dengan gaya komedi yang lebih segar dan satira tanpa terlalu serius. Dalam dunia media sosial hari ini yang penuh scam, janji palsu dan manusia yang terlalu obses mencari jalan cepat berjaya, '5 BOMOH' terasa seperti cerminan lucu kepada realiti semasa.
Dan kalau teaser watak rasmi ini sudah cukup membuat penonton pening kepala dengan perangai lima bomoh tersebut, versi penuh filemnya mungkin bakal menjadi antara komedi tempatan paling kecoh tahun ini. '5 BOMOH' bakal menemui penonton di pawagam tidak lama lagi.