oleh: zizi hashim
06 Nov
06Nov

Malam 4 November 2025 di TGV KLCC terasa seperti satu babak filem yang penuh cahaya, kamera, dan degup yang sukar dijinakkan. Gala perdana Banduan berlangsung dengan kehangatan luar biasa; sebuah malam yang mempertemukan tenaga bintang dan penghormatan terhadap sinema. Red carpet terbentang, kilauan lampu kamera menyuluh wajah-wajah yang sudah lama menjadi nadi industri seperti Dato’ Aaron Aziz, Dato’ Rosyam Nor, Dato’ Afdlin Shauki, Fadhli Masoot, Adlin Aman Ramlie, Esma Daniel dan ramai lagi.

Namun yang paling mencuri tumpuan malam itu ialah kehadiran istimewa pelakon asal versi Kaithi, Karthi Sivakumar, yang diterbangkan khas dari Chennai untuk menyaksikan sendiri transformasi kisah yang pernah dijulangnya kini dalam bahasa dan jiwa Malaysia. Suasana malam gala itu mengalir seperti nostalgia dan kebanggaan yang bersilang. Penonton, krew produksi, dan penggiat seni sama-sama teruja menyaksikan bagaimana naskhah India yang ikonik itu kini berdarah tempatan. 

Banduan tidak cuba meniru Kaithi sepenuhnya, sebaliknya ia meminjam roh ceritanya dan meluruhkannya dalam landskap Malaysia, dari bahasa, pakaian, hingga ke juadah Nasi Dagang yang menyelinap lembut dalam babak-babak tertentu, menandakan keintiman budaya yang tidak dibuat-buat. Filem ini berpusat pada watak Dali (dilakonkan penuh jiwa oleh Dato’ Aaron Aziz), bekas banduan yang baru dibebaskan selepas 10 tahun di sebalik jeriji besi. Impiannya sederhana, ingin memeluk kembali anak perempuan yang tidak pernah dikenalnya.

Tetapi malam itu menjadi perangkap takdir, apabila dia terseret dalam operasi polis yang bertukar menjadi neraka. Racun, tebusan, dendam dan peluru berdesing silih berganti. Bersama Inspektor Johari (Dato’ Rosyam Nor), Dali terpaksa melangkah sempadan moral dan mempertaruhkan nyawanya untuk satu peluang kedua.

Kroll Azry selaku sutradara, dengan naskhah lakon layar hasil kerjasama Nazri Vovinski, membawa tenaga baharu kepada genre aksi tempatan. Sinematografi oleh Vikee Thiagarajan menjadikan setiap adegan malam tampak berdenyut, berlapis dengan tekstur kelam dan harapan yang samar. Durasi 98 minit Banduan berjalan tanpa longgar; setiap detik seperti berpacu bersama nadi, keras, lembut, dan kadangkala getir.

Elemen teknikalnya juga menampakkan ketelitian: skor muzik ciptaan Sam CS dan Litia Ramachandran memukul emosi dengan cermat, manakala rekaan produksi Nazrul Ashraff Mahzan menzahirkan dunia bawah kota yang brutal tapi indah dalam kekacauannya. Reka bentuk bunyi oleh Arun S Mani, digabung dengan kerja percampuran Anand Ramachandran, menambah ketegangan pada setiap tembakan dan jeritan. Malah, lagu tema nyanyian Sophia Liana yang digubah oleh Rabbit Mac menjadi gema jiwa Dali. Keras di luar, luka di dalam.

Antara momen yang paling menyentuh dalam sejarah penayangannya ialah tayangan khas pada 23 Oktober lalu di Penjara Kajang. Seramai 80 penghuni menonton filem ini sebagai sebahagian daripada program “Peluang Kedua, Masih Ada Sinar”, satu inisiatif sosial yang selaras dengan mesej filem tentang penebusan dan harapan. Momen itu membuktikan bahawa Banduan tidak hanya mahu memukau dengan aksi, tetapi menyentuh sisi kemanusiaan yang lebih mendalam.

Menurut penerbit eksekutif, Kalyana Devan, “Kami memilih Kaithi kerana ia kisah universal tentang kasih, pengorbanan dan peluang kedua. Banduan mengekalkan semangat itu, tetapi dengan jantung dan darah Malaysia.” Ucapannya malam gala itu disambut tepukan panjang. Bukan kerana retorik, tetapi kerana penonton tahu, adaptasi ini lahir dari rasa cinta terhadap sinema dan masyarakatnya sendiri.

Filem ini diterbitkan oleh Number Twenty One Media dengan kerjasama Dream Warrior Pictures dan ENS Group of Companies, disokong oleh Astro Shaw sebagai rakan pengedaran dan pemasaran utama. Lokasi penggambaran yang meliputi Kuala Lumpur, Pulau Carey, Kapar, Sungai Buloh hingga Port Dickson menjadikan setiap babak terasa dekat. Tanah air sendiri menjadi saksi pertarungan dan penebusan.

Apabila pawagam mulai gelap pada tayangan perdana itu, tepukan perlahan-lahan reda. Hanya tinggal desah penonton yang terhanyut dalam kisah seorang ayah yang melawan dunia untuk mendapatkan kembali haknya sebagai manusia. Banduan bukan filem tentang penjara semata-mata, tetapi tentang pembebasan dari masa lalu, dari dosa, dari rasa bersalah yang menjerat jiwa.

6 November 2025 nanti, apabila Banduan mula ditayangkan di Malaysia dan serentak di Singapura, Brunei, Kanada dan Amerika Syarikat, satu perkara yang pasti, sinema Malaysia sedang berdiri lebih teguh, lebih berani. Dan malam gala di KLCC itu hanyalah permulaan kepada perjalanan panjang sebuah karya yang menyalakan semula api keyakinan terhadap filem aksi tempatan.

Comments
* The email will not be published on the website.