oleh: zizi hashim
20 Apr
20Apr

Tidak semua luka terlihat di permukaan. Ada yang dipendam dalam diam, tumbuh perlahan menjadi sesuatu yang lebih gelap daripada sekadar kesedihan. Melangkah dengan keberanian naratif yang jarang disentuh, Astro memperkenalkan sebuah naskhah baharu yang sarat emosi dan konflik, Dendam Seorang Mentua, yang bakal bersiaran di Astro Prima bermula 4 Mei 2026, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang.

Mengusung tema cinta, pengkhianatan dan perebutan kuasa dalam institusi kekeluargaan, drama ini tidak sekadar memaparkan kisah balas dendam biasa. Ia menyelami dimensi yang lebih kompleks, di mana mangsa akhirnya bangkit dan mengambil posisi yang paling tidak dijangka: sebagai mentua kepada musuhnya sendiri. Naskhah ini merupakan kesinambungan kepada jenama popular “Dendam Seorang…” yang telah mencipta fenomena tersendiri di kalangan penonton. Namun kali ini, pendekatannya lebih berani dengan mengangkat konflik yang lebih dalam, lebih tajam, dan lebih mencabar emosi.

Di tengah cerita, berdiri Sofia, watak yang dibawakan oleh Tracie Sinidol, seorang wanita lembut yang hidupnya musnah akibat pengkhianatan berganda oleh kekasih dan sahabat sendiri. Fitnah yang dilemparkan bukan sahaja meragut maruahnya, tetapi juga kebebasannya apabila dia dipenjarakan atas jenayah yang tidak pernah dilakukannya. Namun, penderitaan itu tidak mematahkan semangatnya. Sebaliknya menjadi bara yang perlahan-lahan membentuk tekad untuk membalas dendam. Setelah dibebaskan, Sofia kembali dengan satu perancangan yang penuh strategi: mengahwini Datuk Muzaffar, seorang ahli perniagaan berpengaruh yang juga merupakan bapa kepada lelaki yang pernah menghancurkan hidupnya.

Langkah itu bukan sekadar keputusan. Ia adalah permulaan kepada permainan kuasa yang lebih besar. Dalam sekelip mata, Sofia berubah daripada mangsa menjadi ancaman, menghadapi Hariz dan Harlina bukan lagi sebagai wanita yang teraniaya, tetapi sebagai mentua yang memiliki kedudukan dan kuasa. Watak Harlina yang dibawakan oleh Chacha Maembong serta Hariz lakonan Hariz Hamdan menjadi titik awal kepada konflik yang menghancurkan kehidupan Sofia dan kini, mereka terpaksa berdepan dengan akibat daripada tindakan mereka sendiri.

Lebih menguatkan naskhah ini ialah gandingan dua figura besar iaitu Aaron Aziz sebagai Karl dan Yusry Abdul Halim sebagai Datuk Muzaffar yang buat pertama kali digandingkan di layar, menjanjikan lakonan penuh karisma dan impak. Turut menyerikan perjalanan cerita ialah Intan Ladyana sebagai Yasmin, orang kanan Datuk Muzaffar, yang kembali ke layar dengan kemunculan yang dinanti, menambah lapisan misteri dan dinamika dalam naratif ini.

Diterbitkan oleh Metrowealth International Group (MiG) dan diarahkan oleh Feroz Kader, drama ini dibentuk dengan visi yang jelas, mencipta sebuah kisah yang bukan sahaja menghibur, tetapi mencetuskan perbualan dan refleksi dalam kalangan penonton. Menurut Ketua Saluran Melayu Astro, Norzeha Mohd Salleh, penonton hari ini semakin bijak dan dahagakan jalan cerita yang berbeza dan Dendam Seorang Mentua hadir sebagai jawapan kepada keperluan itu, dengan pendekatan yang segar serta konflik kekeluargaan yang lebih kompleks. 

Selain siaran di Astro Prima, drama ini turut boleh distrim secara On Demand melalui Astro GO dan Sooka, memberikan fleksibiliti kepada penonton untuk mengikuti kisah ini mengikut keselesaan masing-masing. Dan mungkin, di antara setiap langkah Sofia yang diatur dengan teliti, terselit satu kebenaran yang tidak mudah diterima bahawa dendam tidak pernah benar-benar memulihkan luka, tetapi ia tetap memberi alasan untuk terus hidup… walaupun dalam kegelapan.

Comments
* The email will not be published on the website.