Kisah cinta yang pernah membuat jutaan hati bergetar di Indonesia kini melangkah lebih jauh. Filem romantik fantasi 'Sore: Istri dari Masa Depan', arahan Yandy Laurens, telah diumumkan pada 8 September 2025 sebagai wakil rasmi Indonesia ke Academy Awards (Oscar) ke-98 tahun 2026 untuk kategori Best International Feature Film. Pemilihan bersejarah ini dilakukan oleh Komite Seleksi Oscar Indonesia, badan di bawah naungan PPFI yang setiap tahun menilai karya terbaik untuk dihantar ke Academy.
Selepas meraih lebih daripada 3 juta penonton di Indonesia, 'Sore: Istri dari Masa Depan' kini membuka lembaran baharu apabila tayangannya dijadualkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 25 September 2025, dengan Primeworks Studio sebagai rakan pemasaran rasmi. “Kami berasa sangat bersyukur kerana filem ini terpilih untuk mewakili Indonesia. Semoga sejarah ini membuka perjalanan baharu selepas sambutan hangat di tanah air,” kata penerbit, Suryana Paramita. Sementara itu, sutradara Yandy Laurens menambah, “Terima kasih atas kepercayaan besar ini. Pemilihan ke Oscar adalah penghormatan yang tinggi buat karya kami.”
Filem ini dibintangi oleh Sheila Dara, Dion Wiyoko, serta pelakon antarabangsa seperti Goran Bogdan, Lara Nekic, Livio Badurina, Maya Hasan dan Mathias Muchus. Kolaborasi antara Indonesia dan Kroasia ini menampilkan kisah cinta dengan sentuhan fantasi yang menyentuh nurani, menjadikannya karya paling laris dalam perjalanan sinema Yandy Laurens.
Di sebalik layar, 'Sore: Istri dari Masa Depan' diterbitkan oleh Cerita Films, dengan sokongan padu barisan penerbit eksekutif dan kolaborator: Melyana Tjahyadikarta, Queen Yeap, Slingshot Pictures, Imajinari, Miles Films, Studio Artemis, Jagartha, Trinity Entertainment Network dan Dwidaya Amadeo Gemintang, selain rakan rasmi seperti Artotel Wanderlust, SukkhaCitta dan HMNS.
Keberangkatan filem ini ke Oscar sekaligus menandai keberanian sinema Asia Tenggara untuk berdiri megah di pentas dunia. Selepas kejayaan luar biasa di tanah airnya, kini tiba giliran penonton Malaysia untuk menyelami cinta, fantasi dan persoalan masa yang diangkat dalam naskhah ini.
9 tahun selepas “Ada Apa Dengan Cinta?” mempertemukan dua budaya serumpun di layar, 'Sore: Istri dari Masa Depan' kembali menjadi jambatan, menghubungkan emosi penonton Malaysia dan Indonesia lewat sebuah karya yang membuktikan cinta mampu melintasi bukan sahaja waktu, tetapi juga sempadan negara.