oleh: zizi hashim
09 Mar
09Mar

Ramadan sering mengingatkan manusia tentang makna berkongsi dan menyantuni sesama insan. Semangat itulah yang menjadi latar kepada sebuah pertemuan penuh kehangatan apabila barisan pelakon dan tenaga produksi filem Malaikat Malam menganjurkan majlis berbuka puasa bersama 35 tetamu daripada Persatuan Orang Buta Malaysia.

Pertemuan tersebut bukan sekadar acara berbuka, tetapi juga satu usaha mendekatkan komuniti seni dengan masyarakat yang sering memerlukan perhatian dan sokongan. Inisiatif ini mencerminkan komitmen pihak penerbit dalam menjalankan tanggungjawab sosial, selari dengan roh Ramadan yang menggalakkan amalan berkongsi rezeki dan menyebarkan kebaikan.

Pemilihan komuniti Persatuan Orang Buta Malaysia juga membawa makna yang simbolik kepada keseluruhan naskhah Malaikat Malam. Kisah filem ini menampilkan watak Ratna, seorang gadis buta yang menjadi elemen penting dalam perjalanan emosi cerita. Kehadiran tetamu istimewa dari komuniti OKU penglihatan seolah memperkukuh nilai empati, kepekaan dan kasih sayang yang menjadi teras penceritaan filem tersebut.

Majlis berbuka puasa itu berlangsung dalam suasana santai dan penuh kemesraan. Gelak tawa, perbualan mesra serta sesi ramah mesra antara para tetamu dan barisan produksi menjadikan malam tersebut terasa begitu hangat. Momen menjadi lebih bermakna apabila para tetamu turut menerima duit raya sebagai tanda ingatan serta penghargaan.

Antara yang hadir memeriahkan majlis termasuk Tracie Sinidol, Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin, Akmal Asyraf, Riezman Khuzaimi serta pengarah filem Nazifdin Nasrudin, yang turut meluangkan masa berinteraksi bersama tetamu dalam suasana penuh keakraban.

Menurut Datuk Dr. Yusof Haslam, Pengerusi Skop Productions merangkap Penerbit Eksekutif filem ini, majlis tersebut membawa makna yang sangat istimewa dalam semangat Ramadan. “Dalam bulan yang penuh keberkatan ini, kami amat berbesar hati dapat berkongsi waktu berbuka bersama komuniti Persatuan Orang Buta Malaysia. Terima kasih kepada pihak NGO serta semua tetamu yang sudi meluangkan masa bersama kami dalam majlis yang cukup bermakna ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa inisiatif ini selari dengan mesej yang dibawa oleh filem Malaikat Malam, yang menekankan nilai penerimaan, empati serta kekuatan melihat dengan hati. “Kami percaya setiap individu berhak dihargai dan diraikan. Pertemuan ini diharap dapat mengeratkan silaturahim serta menjadi langkah kecil menuju masyarakat yang lebih inklusif dan saling menyokong,” jelas beliau.

Pandangan yang sama turut dikongsi oleh Raja Jastina Raja Arshad, Ketua Astro Shaw yang juga Penerbit Eksekutif filem ini. Menurutnya, majlis tersebut merupakan sebahagian daripada usaha memastikan mesej positif dalam filem tidak hanya berhenti di layar perak. “Menyantuni komuniti Persatuan Orang Buta Malaysia memberikan pengalaman yang penuh refleksi dan sarat dengan nilai empati. Semoga detik kebersamaan ini membawa kegembiraan kepada para tetamu dan memperlihatkan bahawa filem juga mampu menjadi medium yang berjiwa serta memberi inspirasi,” katanya.

Sementara itu, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Kandungan dan Rangkaian Televisyen Media Prima serta Primeworks Studios, menegaskan bahawa industri kandungan tempatan harus terus menghasilkan karya yang membawa nilai kemanusiaan. “Sebagai peneraju kandungan tempatan, kami komited menyokong karya yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut membawa mesej bermakna. Inisiatif bersama komuniti ini mencerminkan nilai empati yang turut menjadi nadi kepada penceritaan Malaikat Malam,” katanya.

Filem Malaikat Malam merupakan hasil kerjasama empat penerbit utama iaitu Viper Studios, Skop Productions, Astro Shaw dan Primeworks Studios. Gabungan ini memperlihatkan kesungguhan industri filem tempatan dalam menghasilkan karya yang berskala besar dan berkualiti. Menambah kekuatan produksi, penerbit terkenal Syafiq Yusof, yang dikenali dengan deretan filem pecah panggung, turut menggalas tanggungjawab sebagai penerbit. Sementara itu, filem ini diarahkan oleh Nazifdin Nasrudin, yang menandakan debutnya sebagai pengarah filem panjang.

Dari sudut lakonan, Malaikat Malam digerakkan oleh gandingan mantap Syafiq Kyle dan Tracie Sinidol, disokong oleh pelakon berpengalaman seperti Que Haidar dan Riezman Khuzaimi. Barisan pelakon lain yang turut menghidupkan naratif termasuk Amir Nafis, Kodi Rasheed, Juzzthin dan Akmal Asyraf. Kisah filem ini mengikuti perjalanan hidup seorang pemuda mat motor bernama Azam, yang secara tidak sengaja melanggar seorang gadis buta bernama Ratna. Insiden tersebut menjadi titik perubahan besar dalam hidup Azam, membuka ruang kepada perjalanan emosi yang penuh penyesalan, tanggungjawab dan pencarian makna kehidupan.

Selain majlis berbuka puasa ini, pasukan Malaikat Malam bersama kumpulan penyanyi popular Alpha turut menjalankan satu lagi aktiviti tanggungjawab sosial pada 3 Mac lalu di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, dengan mengedarkan makanan dan minuman kepada pemandu yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.

Inisiatif tersebut memperlihatkan komitmen pasukan produksi untuk terus menyebarkan nilai kebaikan kepada masyarakat, sejajar dengan semangat Ramadan yang menggalakkan amal kebajikan. Penonton tanah air bakal menyaksikan kisah penuh emosi ini apabila Malaikat Malam menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 26 Mac 2026, tepat menjelang musim Syawal.

Comments
* The email will not be published on the website.