Pudar bukan kerana sejarah itu hilang, tetapi kerana semakin sedikit yang sudi mengulang ceritanya. Di sebalik nama besar Hang Tuah yang pernah menjadi lambang keberanian, kesetiaan dan semangat kepahlawanan Melayu, generasi hari ini semakin jauh daripada hikayat yang suatu ketika dahulu menjadi kebanggaan bangsa. Kesedaran itulah yang melahirkan The Keris, sebuah filem aksi yang menggabungkan sejarah, warisan dan dunia moden dalam satu naskhah yang berani menghidupkan kembali legenda Melayu dengan pendekatan segar.
Diterbitkan oleh Mathe's Production House Sdn. Bhd., filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 2 Julai 2026. Diarahkan oleh Viknes Perrabu, The Keris mengangkat kisah mengenai Keris Tempa Melaka, senjata legenda milik Hang Tuah yang dikatakan mempunyai keistimewaan tersendiri dan menjadi buruan sekumpulan mafia antarabangsa yang sanggup melakukan apa sahaja demi memperoleh kuasa.



Menurut penerbitnya, Dr. Matheyalagan Thilagavathy, idea menghasilkan filem ini lahir daripada kebimbangannya melihat semakin ramai anak muda tidak lagi mengenali Hang Tuah dan para sahabatnya. Beliau percaya kisah-kisah bersejarah seperti Hikayat Hang Tuah tidak seharusnya terus tenggelam ditelan zaman. Sebaliknya, ia perlu diperkenalkan semula melalui medium yang dekat dengan generasi hari ini agar nilai keberanian, kesetiaan dan semangat perjuangan dapat terus diwarisi. Lebih menarik, Dr. Matheyalagan yang berbangsa India menyifatkan penghasilan karya bertemakan budaya Melayu sebagai satu penghormatan kepada warisan negara.
Katanya, beliau membesar bersama masyarakat Melayu sejak kecil, berkongsi kehidupan di kampung serta mengenali adat dan budaya Melayu secara dekat. Pengalaman itulah yang membentuk kecintaannya terhadap budaya tempatan dan mendorong beliau melaburkan dana sendiri tanpa bergantung kepada bantuan luar atau FINAS bagi merealisasikan impian menghasilkan The Keris. Di tangan Viknes Perrabu, yang sebelum ini lebih dikenali menerusi filem-filem Tamil, The Keris menjadi percubaan sulungnya dalam industri filem Melayu selepas hampir 15 tahun berkarya.



Beliau mengakui tertarik dengan kekuatan skrip yang menggabungkan dua latar masa berbeza, zaman kegemilangan Hang Tuah dan dunia moden, sekaligus memberikan dimensi baharu kepada kisah legenda yang sudah lama dikenali masyarakat. Bagi memastikan setiap elemen dipersembahkan dengan tepat, pasukan produksi menjalankan penyelidikan mendalam mengenai sejarah keris, seni persilatan, adat Melayu dan pelbagai istilah tradisi. Pembangunan skrip turut mendapat sentuhan Datuk Zulkiflie M. Osman, yang membantu memperkukuhkan aspek sejarah serta naratif filem ini.
Jalan ceritanya bermula dengan Marverick, seorang ketua mafia dari Rusia yang menghantar anaknya, John Vickey, ke Malaysia untuk menyertai kejohanan seni mempertahankan diri. Namun di sebalik pertandingan tersebut, tersembunyi misi lebih besar. Bersama rakan kongsi mereka, Mr. Samuel, mereka sebenarnya memburu Keris Tempa Melaka, senjata yang dipercayai memiliki kuasa luar biasa dan disimpan oleh Pak Hassan. Dalam usaha mempertahankan warisan itu, anak Pak Hassan, Daeng, yang mahir dalam seni persilatan, menjadi benteng terakhir menentang ancaman tersebut.



Menggabungkan aksi persilatan tradisional, seni bela diri moden serta pelbagai adegan lagak ngeri, The Keris menawarkan pengalaman sinematik yang bukan sahaja mendebarkan, malah mengangkat identiti budaya Melayu sebagai tunjang penceritaannya. Barisan pelakon yang menghidupkan kisah ini terdiri daripada Syazlie Syazz, Julia Larica, Firdaus Luthuffi, Zainal Isa, Nik Ramly, Raja Azrey, Dnesh Murugan, Datuk Jalaluddin Hassan dan Abbey Abimbola.
Lebih menarik, filem ini turut menampilkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, dalam penampilan khas sebagai cameo. Di sebalik segala aksi dan konflik yang dipaparkan, The Keris sebenarnya membawa misi yang lebih besar. Ia mengajak penonton menoleh semula kepada akar sejarah yang semakin dilupakan.Mengingatkan bahawa legenda bukan sekadar kisah silam untuk dibaca di halaman buku. Tetapi warisan yang terus hidup selagi ada generasi yang mahu mengenali dan mempertahankannya.
Dalam era filem aksi moden yang sering dipenuhi adiwira luar negara, The Keris memilih untuk mengangkat pahlawan kita sendiri. Kerana sesungguhnya, keberanian Hang Tuah bukan hanya milik sejarah.Ia masih relevan, selagi semangatnya terus diwariskan kepada generasi akan datang.
Sudah tiba masanya untuk kembali mengangkat warisan yang hampir dilupakan. Hayati kisah keberanian, kesetiaan dan perjuangan yang merentasi zaman menerusi The Keris. Mulakan perjalanan penuh aksi dan misteri ini di pawagam berhampiran anda bermula 2 Julai 2026. Jangan sekadar mendengar legendanya, saksikan sendiri di layar perak!
