oleh: zizi hashim
06 Jun
06Jun

Langit muzik Malaysia bakal menyala terang lagi. Kali ini, bukan dari gemerlap lampu pentas semata, tetapi dengan hadirnya sebuah kenangan kolektif yang kembali menjelma, Sheila On 7! Ikon lintas generasi ini sah akan mendarat akhirnya ke bumi Malaysia dalam sebuah perayaan lintas budaya diberi gelar Latihan Pestapora. Bukan festival biasa biasa, ini adalah sebuah ritual emosi dan muzikal yang menghubungkan dua nadi Nusantara dalam satu harmoni agung.

Tanggal 26 Julai 2025 bakal menjadi saksi peristiwa julung kalinya itu setelah sekian lama disebut-sebut dan ditunggu-tunggu. Stadium Nasional Bukit Jalil, ruang monumental yang menyimpan gema sorakan sejarah sukan dan konsert megastar, kini bersedia menjadi pentas baharu buat festival muzik berskala besar ini. Perpindahan lokasi dari tempat asal ke lokasi bersifat legendaris ini memberi makna yang lebih mendalam: bahawa Latihan Pestapora bukan hanya ingin menghibur, tetapi juga ingin mengukir sejarah baharu dalam peta festival serantau.

Kumpulan yang menjadi suara generasi 90-an dan 2000-an, Sheila On 7, tidak datang bersendirian. Barisan Fasa 2 festival ini turut mengangkat dua nama penuh warna dan puisi iaitu Nadin Amizah, penyanyi-penulis lagu dengan suara yang mampu menjahit luka menjadi seni, serta ALVN, produser muzik yang mematahkan batas antara genre dengan gaya eksperimentalnya. Ketiga-tiga mereka menyertai barisan Fasa 1 yang sudah pun menampilkan deretan nama gah dari dua negara: Hindia, Pamungkas, .Feast, Feel Koplo, DOLLA, Bittersweet, Bunkface dan ramai lagi, menjadikan festival ini sebagai pertembungan lintas suara, rentas generasi, dan penuh jiwa.

“Ini bukan sekadar persembahan,” ujar Rohit Rampal, Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Group. “Sheila On 7 adalah gema masa silam kita. Lagu-lagu mereka menyatu dalam setiap fasa hidup, dan kehadiran mereka ke sini semula ibarat menjemput sejarah untuk berdansa sekali lagi bersama kita.” Nada yang sama bergema dari Kiki Ucup, Pengarah Festival Pestapora dan pengasas bersama Boss Creator. Baginya, Latihan Pestapora bukan sekadar pesta muzik, tetapi satu bentuk penghargaan terhadap semangat komuniti. “Membawa semangat Pestapora ke Malaysia bukanlah tugas ringan. Namun dengan lineup ini, kami yakin ia mampu menyatukan hati dari dua tanah air yang selalu berbalas cinta melalui melodi.”

Festival yang diasaskan oleh Hitman Solutions dan Boss Creator ini turut mengekalkan DNA asal Pestapora iaitu semangat ‘muzik untuk semua’, merayakan pelbagai bentuk ekspresi artistik dalam satu landskap terbuka. Di Malaysia, ia menjadi momen penting yang membuka ruang baharu untuk persefahaman budaya serantau melalui seni dan suara.

Bagi yang ingin menjadi sebahagian daripada sejarah ini, tiket Fasa 2 bakal mula dijual pada 9 Jun 2025 jam 12 tengah hari (GMT+8) di www.latihanpestaporamalaysia.com. Dengan tambahan dua kategori tempat duduk baharu — CAT 1 bernombor (RM399) dan CAT 2 bernombor (RM189) — festival ini kini lebih inklusif dan mampu mengakomodasi pelbagai jenis pengalaman: sama ada anda inginkan kebebasan lantang di Rockzone (RM299), atau ruang berdiri santai di GA (RM249), semuanya tersedia.

Kejayaan festival ini turut disokong oleh rangkaian rakan strategik yang mengukuhkan jangkauan dan kepercayaan dari ERA, HITZ, SINAR, MIX, THR dan SYOK sebagai rakan radio; World of Buzz dan Lobak Merah sebagai rakan media; hingga Batik Air, BookCabin dan Sunway Putra Hotel sebagai rakan perjalanan dan penginapan. Sementara itu, Universal Music Malaysia dan Tapao Fest memainkan peranan sebagai pemangkin utama dalam menjayakan impian berskala Nusantara ini.

Lebih dari sekadar deretan persembahan, Latihan Pestapora adalah ruang pulang kepada irama yang pernah mengalun di radio kereta ayah, di corong speaker asrama, di halusinasi masa remaja, di relung memori yang enggan padam. Ini adalah malam untuk menyanyi serentak, menangis diam-diam, dan memeluk sesama manusia yang hatinya juga pernah digenggam oleh melodi. Lagu-lagu Sheila On 7 pernah menjadi nadi pada setiap debar pertama cinta, pada air mata yang tumpah diam-diam, pada malam-malam yang dirundung harap. 

Kini, irama itu akan kembali hidup! Bukan sebagai nostalgia semata, tetapi sebagai perayaan bahawa kita masih di sini, masih menyanyi bersama. Maka, ayuh kita hadir untuk menyambut kembali serpihan jiwa yang pernah kita tinggalkan dalam bait-bait lirik dan melodi. Latihan Pestapora adalah sebuah perjalanan pulang dan di pentas Bukit Jalil nanti, Sheila On 7 akan jadi cahaya penunjuk jalannya.

Comments
* The email will not be published on the website.