oleh: zizi hashim
05 Jun
05Jun

Apa yang akan terjadi jika anda diberi peluang untuk membuka satu pintu kecil, dan melaluinya untuk kembali ke saat penting yang pernah membentuk hidup anda? Dan apa yang akan anda lakukan jika diberi peluang kedua untuk memahami, memperbaiki atau mungkin mengubah segala-galanya? 

Gabungan elemen magis dan introspektif, menghasilkan sebuah filem romantik fantasi yang dijadualkan untuk tayangan bermula pada 18 September 2025 di pawagam seluruh dunia. Dari pengarah visioner Kogonada (After Yang, Columbus) dan penulis skrip Seth Reiss (The Menu), hadir sebuah filem romantik penuh imaginasi, penuh kejutan, dan sarat emosi diberi judul 'A Big Bold Beautiful Journey'.

Sarah (Margot Robbie) dan David (Colin Farrell), dua individu asing yang bertemu secara kebetulan di majlis perkahwinan seorang rakan, terjerumus ke dalam satu pengembaraan penuh kejutan apabila sebuah sistem navigasi GPS yang misteri membawa mereka ke lokasi-lokasi yang menghidupkan semula kenangan lama mereka. 

Apa yang bermula sebagai satu perjalanan biasa berubah menjadi sesuatu yang luar biasa, sebuah odyssey romantik di mana mereka menyelusuri saat-saat penting dalam hidup masing-masing, menyemak semula keputusan silam dan mengenali diri sendiri dari sudut pandang baharu. Dalam proses itu, benih cinta perlahan-lahan tumbuh di antara dua jiwa yang pada awalnya asing, tetapi saling memahami kerana luka dan harapan yang sama.

Dibintangi oleh Margot Robbie, Colin Farrell, serta kemunculan istimewa dari Kevin Kline dan Phoebe Waller-Bridge, filem ini dijangka menjadi karya romantik paling segar tahun ini. Dengan skor muzik indah oleh legenda Jepun Joe Hisaishi, setiap babak dihidupkan dengan melodi yang mendalam dan magis. Diterbitkan oleh Bradley Thomas, Ryan Friedkin, Seth Reiss, dan Youree Henley, filem ini turut mendapat sentuhan eksekutif dari Kogonada sendiri bersama barisan penerbit berpengalaman seperti Ilene Feldman, Paul Mezey, Micah Green, dan Dan Steinman.

Dengan durasi 2 jam 19 minit, 'A Big Bold Beautiful Journey' menggabungkan gaya visual yang elegan, naratif emosional, dan elemen fantasi yang menyentuh hati. Ia bukan sahaja mengangkat tema cinta, tetapi juga pertanyaan eksistensial tentang penyesalan, pilihan, dan erti sebenar takdir. Disasarkan untuk tayangan perdana di festival filem utama, dan dipuji awal sebagai "filem yang membuat anda ingin menelefon orang yang pernah anda tinggalkan", A Big Bold Beautiful Journey adalah refleksi halus terhadap kehidupan yang tidak selalu kita fahami... sehingga kita melihatnya semula dari mata orang lain.

Comments
* The email will not be published on the website.