oleh: zizi hashim
05 Jun
05Jun

Bakal menjadi nadi kepada lautan rasa, saat band galau terulung Indonesia, Dadali, mempersembahkan “Sebuah Kisah Volume 1” di Zepp KL pada tanggal 5 Julai 2025 ini. Sebuah konsert yang bukan hanya ingin didengar, tapi dirasai sehabis jiwa. Dadali adalah suara bagi yang pernah terdiam dalam duka. Sejak mula ditubuhkan pada 2009, mereka menulis bukan kerana ingin terkenal, tetapi kerana luka-luka lama masih mengalir dalam bait-bait lagu seperti “Disaat Aku Mencintaimu”, “Disaat Aku Tersakiti”"Disaat Sendiri", "Disaat Patah Hati" dan banyak lagi. Lagu-lagu mereka menjadi bagaikan mantera buat hati yang menunggu untuk difahami.

Dalam suara serak penuh penghayatan Dyrga, vokalis utama, terkandung sejarah getir dan cinta yang gugur di tengah jalan. Setiap patah liriknya tidak hanya dinyanyikan, tetapi dihidupkan kembali. Menurut Dyrga ketika ditemui dalam sesi sidang media yang berlangsung sederhana namun penuh keakraban di Kuala Lumpur baru-baru ini, “Kami tak ciptakan lagu demi carta. Lagu kami lahir dari luka yang kami telan, dan kami tahu, ramai di luar sana sedang menanggung luka yang sama. Bagi kami, setiap lagu adalah terapi. Dan konsert ini adalah ruang untuk berkongsi luka dan mungkin, sembuh bersama.”

Mereka hadir untuk menyembuhkan dalam masa yang sama untuk menghibur. Itu terlihat jelas sewaktu sidang media berlangsung, para anggota Dadali tidak menyembunyikan rasa terharu kerana akhirnya dapat menjejak kaki secara rasmi di bumi Malaysia, sebuah negara yang selama ini menjadi rumah kedua buat muzik mereka. Konsert ini akan menjadi pentas julung kalinya untuk memeluk kembali memori yang pernah menghantui.

Dan yang lebih istimewa, penyanyi kesayangan tanah air Ronnie Hussein akan turut memeriahkan malam tersebut. Suara Ronnie yang serak penuh getar, pernah menyayat perasaan ramai melalui lagu “Dikoyak Waktu”, kini akan berpadu dengan emosi Dadali mencipta gelombang galau yang memukau. Ketika ditanya tentang harapan untuk konsert ini, Dyrga menjawab ringkas namun penuh makna, “Saya pernah hampir berhenti menyanyi. Tapi bila saya sedar lagu-lagu kami menyembuhkan orang lain, saya tahu… galau bukan kelemahan. Ia kekuatan. Dan saya mahu bangkit bersama kalian semua di Kuala Lumpur.”

Di sebalik persembahan ini berdiri kerjasama erat antara Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations, dengan sokongan rasmi dari Tourism Malaysia bersempena kempen Visit Malaysia 2026. Ini adalah jalinan kasih antara 2 negara yang saling memahami bahasa kehilangan dan harapan. 

“Malaysia adalah antara negara pertama yang menyambut muzik kami tanpa prejudis. Malam itu bukan untuk kami sahaja. Ia adalah malam untuk semua yang pernah merasa sepi, dan mahu memeluknya tanpa rasa takut,” kata wakil penganjur, sambil mengharapkan kehadiran ribuan peminat yang selama ini hanya mendengar dari jauh.

Jika hatimu pernah retak, atau masih belajar untuk sembuh, malam itu bukan untuk ditonton semata-mata. Ia untuk diselami. Kerana mungkin, di tengah sorakan dan bait lagu yang menyesak dada, kau akhirnya akan merasa dan tidak pernah sendiri.

Malam “Sebuah Kisah” adalah ritual peribadi tentang bagaimana sebuah lagu mampu menjadi pengakuan, dan bagaimana air mata boleh jatuh tanpa perlu alasan. Tiket kini telah pun dibuka, dengan pelbagai kategori:
– DI SAAT AKU MENCINTAIMU (Free Standing – RM188)
– DI SAAT SENDIRI (Normal Seating – RM228)
– DI SAAT AKU TERSAKITI (Premium Seating – RM258)
– SEBUAH KISAH (VIP BOX – RM588 untuk 12 orang, termasuk Meet & Greet)

Pilihan bayaran ansuran serendah RM53 melalui Atome, SPayLater, dan Grab PayLater memastikan tiada siapa perlu mengorbankan pengalaman hanya kerana dompet belum sempat pulih. Tiket tersedia sekarang di www.myticketempire.com. Temui mereka yang juga sedang tersakiti, dan bersama-sama, marilah cipta 'sebuah kisah' yang tidak akan mudah dilupakan sampai bila-bila.

Comments
* The email will not be published on the website.