oleh: zizi hashim
28 Oct
28Oct

Sebahagian kenangan tidak pernah benar-benar pergi, hanya menunggu untuk dihidupkan semula dalam cara yang lebih indah. Itulah yang dilakukan oleh Rangga & Cinta, filem muzikal baharu yang bakal menemui penonton di seluruh pawagam Malaysia bermula 6 November 2025, menghidupkan kembali magis cinta legendaris Ada Apa Dengan Cinta? (AADC) melalui bahasa paling universal iaitu muzik dan perasaan.

Filem arahan Riri Riza ini bukan sekadar membawa watak-watak ikonik ke era baharu, tetapi juga menghadirkan semula lagu-lagu yang pernah menjadi nadi kepada kisah cinta itu. Di bawah sentuhan komposer hebat Melly Goeslaw dan Anto Hoed, 12 lagu disusun semula. Sembilan lagu klasik yang diberi nafas baharu, dan tiga ciptaan eksklusif yang dihasilkan khas untuk mengiringi perjalanan emosi Rangga dan Cinta versi baharu.

Runut bunyi filem ini bagai hela nafas yang mempertautkan masa lalu dan kini. Lagu ‘Bimbang’ dan ‘Tentang Seseorang’ kembali bergetar dengan aransemen yang lebih segar dan bertenaga, sementara ‘Kubahagia’ disulam (tanpa kehilangan jiwanya) dengan nuansa indie rock yang mendebarkan. Dalam sisi lain, ‘Di Mana Malumu’ hadir dengan alunan electro pop yang menggambarkan keberanian generasi baharu dalam mengungkap cinta.

Keunikan Rangga & Cinta terletak pada keberanian barisan pelakonnya untuk tidak hanya berlakon, tetapi juga bernyanyi. Leya Princy, yang memegang watak Cinta, membawakan lagu baharu ‘Untuk Rangga’ dengan vokal lembut yang penuh perasaan, sementara Rafi Sudirman tampil bertenaga dengan ‘Truly, Madly, Deeply Hate You’, sebuah lagu berirama rock yang menggambarkan dilema antara cinta dan ego.

Bersama mereka, kumpulan ‘Geng Cinta’ menghadirkan ‘Di Mana Cinta’, lagu yang menyatukan tema utama filem ini, tentang cinta, kehilangan dan persahabatan yang tumbuh dalam perjalanan masa. Setiap bait lagu seakan menceritakan sisi hati yang berbeza, menjadikan muzik bukan sekadar latar, tetapi nadi yang menggerakkan seluruh naratif.

Kemuncak emosinya hadir melalui lagu tema utama ‘Rangga Cinta’, nyanyian Bilal Indrajaya dan Eva Celia, dua suara dari generasi berbeza yang bersatu dalam harmoni memukau. Lirik ciptaan Melly Goeslaw bersama Mira Lesmana mengalir lembut, menautkan rasa nostalgia dengan kehangatan baharu, seolah-olah cinta Rangga dan Cinta masih bernafas, cuma kini dalam nada yang lebih matang dan jujur.

Bagi yang pernah membesar bersama AADC, filem ini bukan sekadar imbauan ke masa silam, tetapi satu pertemuan semula dengan versi diri yang pernah jatuh cinta buat kali pertama. Ia juga ruang bagi generasi baharu untuk merasakan keindahan kisah yang melintasi masa, tentang cinta yang tidak pernah pudar, hanya berevolusi menjadi lebih berani, lebih sejati.

Rangga & Cinta bukan nostalgia yang diulang, tetapi jiwa lama yang dihidupkan semula dengan semangat baharu dan kali ini, ia menyanyi dengan lebih indah. Jangan lepaskan peluang menonton Rangga & Cinta di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 November 2025, dan alami semula keajaiban cinta yang kini berpadu dalam irama dan warna baharu.

Comments
* The email will not be published on the website.