oleh: zizi hashim
19 May
19May

Riuh kamera, pancaran lampu dan lautan tetamu yang memenuhi ruang IOI City Mall Putrajaya malam tadi seakan menjadi pembuka tirai kepada sebuah permainan kuasa yang bakal menggegarkan pawagam tempatan minggu ini. Dalam suasana penuh eksklusif dan debaran, tayangan gala Konspirasi yang berlangsung pada 18 Mei 2026 berjaya mencuri perhatian ramai apabila barisan pelakon dan penggiat industri berkumpul meraikan antara filem political thriller tempatan paling intens tahun ini.

Malam gala tersebut turut diserikan dengan kehadiran Ghaz Abu Bakar bersama barisan pelakon utama seperti Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan Esma Daniel yang tampil bergaya sambil disambut peminat serta pihak media. Aura malam tersebut terasa cukup berbeza apabila tema politik, kuasa dan pengkhianatan yang menjadi nadi filem ini seolah-olah turut meresap ke seluruh ruang tayangan. Bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 21 Mei 2026, Konspirasi diterbitkan oleh Elepfilm Entertainment bersama Asia Tropical Films dengan Primeworks Studios selaku rakan pemasaran rasmi.

Dalam dunia yang dipenuhi rahsia, kebenaran sering menjadi sesuatu yang paling berbahaya untuk dibongkar. Di sebalik meja kuasa, transaksi gelap dan permainan politik yang licik, sentiasa ada manusia yang sanggup mengorbankan integriti demi terus berkuasa. Dari dunia penuh tekanan itulah Konspirasi hadir sebagai sebuah naskhah aksi thriller yang membawa penonton menyelami sisi paling gelap dalam perjuangan membanteras rasuah dan pengkhianatan.

Mengangkat genre political thriller, aksi dan siasatan siber, Konspirasi tampil dengan skala lebih intens apabila menggabungkan elemen serangan siber, perebutan kuasa politik serta operasi sulit berisiko tinggi dalam satu pengalaman sinematik penuh debaran. Filem ini mengisahkan tentang SPRM yang menerima maklumat sulit mengenai sebuah pelayan tersembunyi yang menyimpan senarai ahli politik korup serta transaksi kewangan luar negara. Demi memastikan data tersebut tidak jatuh ke tangan pihak tertentu, Tan Sri Kamil mengarahkan pasukan elit diketuai Adli untuk melancarkan operasi sulit merampas maklumat berkenaan.

Namun operasi tersebut bertukar menjadi mimpi ngeri apabila sebahagian data mula bocor ke media dan laman gelap sehingga mencetuskan krisis politik negara. Dalam keadaan kepercayaan terhadap SPRM mula dipersoalkan, pasukan Adli perlahan-lahan menyedari bahawa mereka bukan sahaja sedang memburu musuh dari luar, tetapi turut terperangkap dalam pengkhianatan dari dalam organisasi sendiri. Apa yang membuat Konspirasi terasa lebih menarik ialah keberaniannya membawa tema yang dekat dengan realiti semasa: tentang manipulasi kuasa, permainan politik dan ancaman digital yang semakin membimbangkan dunia moden hari ini.

Menurut Ghaz Abu Bakar, filem tersebut bukan sekadar mahu menjadi hiburan aksi biasa semata-mata. “Konspirasi bukan sekadar filem aksi tetapi sebuah gambaran tentang bagaimana kuasa, ketamakan dan pengkhianatan boleh menghancurkan kepercayaan. Kami ingin menunjukkan bahawa perjuangan menegakkan kebenaran sentiasa hadir bersama risiko, tekanan dan pengorbanan,” jelasnya.

Dibarisi pelakon hebat seperti Adi Putra, Hisyam Hamid, Alicia Amin, Shiqin Kamal, Sarimah Ibrahim, Amir Nafis, Roy Azman dan Esma Daniel, filem ini turut menjanjikan gabungan aksi intens, konflik emosi dan permainan psikologi yang bakal membuat penonton sentiasa berada dalam keadaan tegang sepanjang tayangan. Selain aksi dan konflik politik, Konspirasi turut mengetengahkan elemen siasatan siber dan manipulasi digital berskala besar. Sesuatu yang masih jarang diterokai secara serius dalam filem tempatan.

Dengan durasi 125 minit, filem ini dijangka menjadi antara political thriller tempatan paling intens tahun ini apabila menggabungkan aksi, ketegangan politik dan realiti dunia moden dalam satu naratif yang terasa dekat dengan masyarakat hari ini. Dan mungkin dalam dunia penuh kuasa dan ketamakan… musuh paling berbahaya bukanlah manusia di luar sistem, tetapi mereka yang bersembunyi di dalamnya sendiri.

Comments
* The email will not be published on the website.