oleh: zizi hashim
17 Jul
17Jul

Keindahan sebuah perjalanan tidak selalu diukur melalui jumlah wang yang dibelanjakan. Kadangkala, kenangan paling indah lahir daripada kebijaksanaan memilih, keberanian mencuba sesuatu yang baharu dan keseronokan menikmati setiap detik tanpa perlu membebankan poket. Semangat itulah yang menjadi nadi kepada Siri Travelog Hotlink: Geng Bijak Berbajet. Meneruskan kejayaan kempen terdahulu, Hotlink bersama TV3 kembali dengan nafas baharu menerusi siri travelog yang mengajak penonton menjelajah pelbagai destinasi menarik di Malaysia tanpa perlu berbelanja besar.

Dilancarkan di Balai Berita, Bangsar, siri ini mengetengahkan idea bahawa percutian yang bermakna bukan bergantung pada bajet, tetapi pada kebijaksanaan merancang setiap perjalanan. Mengemudi pengembaraan kali ini ialah Kamal Adli, yang tampil sebagai Ketua Geng Bijak Berbajet, bersama barisan selebriti popular Hael Husaini, Nabila Razali, Siti Saleha, Zaki Yamani, Auddra Zulkifli, Izzue Islam dan Ain Edruce.

Mereka merentasi enam buah negeri untuk membuktikan bahawa destinasi menarik, makanan tempatan dan aktiviti unik masih boleh dinikmati walaupun dengan bajet yang terhad. Setiap episod mengangkat pengalaman sebenar yang dekat dengan kehidupan masyarakat, sekaligus memberi inspirasi kepada penonton untuk bercuti secara lebih bijak. Mengandungi enam episod berdurasi antara tiga hingga lima minit, siri ini menggabungkan elemen realiti, ulasan makanan, aktiviti pelancongan serta perkongsian tip berjimat dalam format yang pantas dan menghiburkan.

Penonton boleh mengikuti siri ini secara eksklusif di TV3 bermula 29 Julai 2026, manakala versi digital akan disiarkan setiap Khamis mulai 30 Julai 2026 menerusi TikTok @hotlink.official, @tv3malaysia, serta Instagram @hotlinkred dan @tv3malaysia. Kempen ini turut diperkuatkan melalui kerjasama bersama Hot FM dan portal hiburan OHBULAN! sebagai rakan publisiti rasmi.

Cabaran utama setiap episod cukup mudah, tetapi tidak semudah untuk dilaksanakan. Kamal Adli dan rakan-rakannya hanya diberikan RM70 hingga RM100 sehari untuk menampung perbelanjaan dua hingga tiga orang. Dengan bajet tersebut, mereka perlu mencari makanan terbaik, menikmati aktiviti menarik dan meneroka keunikan budaya tempatan. Antara pengalaman yang bakal dipaparkan termasuk menunggang ATV di Negeri Sembilan, menikmati Colek Campur di Kelantan serta merasai pengalaman bufet di atas awan di Sarawak. Kreativiti menjadi senjata utama bagi memastikan setiap ringgit memberi nilai maksimum.

Sepanjang pengembaraan, rangkaian 5G Hotlink bersama pelan prabayar dan pascabayar yang mampu milik menjadi "teman perjalanan" utama mereka. Sambungan internet berkelajuan tinggi, akses kepada peranti 5G, internet perayauan percuma serta pelbagai ganjaran eksklusif membantu memastikan setiap lokasi dapat diterokai dengan lebih mudah. Pada penghujung setiap episod, penonton turut disajikan "Senarai Semak GBB", yang merumuskan keseluruhan pengalaman serta tahap keberkesanan bajet yang digunakan.

Menurut Stephanie Wong, Ketua Pegawai Operasi Media Prima OMNiA, Agency Solutions, kerjasama bersama Hotlink membuka ruang kepada penghasilan kandungan digital yang lebih dekat dengan gaya hidup masyarakat hari ini. Beliau berkata, siri travelog tersebut menjadi medium untuk menyampaikan mesej pengurusan kewangan secara semula jadi menerusi pengalaman mengembara, sekali gus memupuk budaya berbelanja secara berhemat melalui kandungan yang menyeronokkan dan mudah dikongsi merentas pelbagai platform.

Sementara itu, Pengarah Pemasaran dan Pertumbuhan Maxis, Yeoh Sun Loo, berkata semangat Geng Bijak Berbajet amat relevan dengan gaya hidup pengguna masa kini yang semakin bijak mencari pengalaman berkualiti tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar. Menurutnya, selepas kejayaan siri drama sebelum ini, travelog baharu ini dihasilkan bagi berkongsi lebih banyak tip percutian berbaloi, sekali gus membantu pengguna menikmati nilai terbaik dalam setiap perjalanan dan kehidupan seharian. 

Majlis pelancarannya turut dimeriahkan dengan persembahan nyanyian dan tarian oleh Maryam, pelancaran video muzik rasmi Hotlink Geng Bijak Berbajet, tayangan eksklusif episod pertama, selain persembahan istimewa daripada Zaki Yamani, Nabila Razali dan Hael Husaini. Di sebalik setiap destinasi yang dikunjungi, terselit satu pengajaran yang cukup sederhana.

Bercuti bukan tentang siapa yang berbelanja paling banyak, tetapi tentang siapa yang paling bijak mencipta pengalaman. Dan melalui Geng Bijak Berbajet, Hotlink mengingatkan bahawa dengan sedikit kreativiti dan perancangan yang baik, setiap perjalanan mampu menjadi kenangan yang luar biasa walaupun bermula hanya dengan beberapa puluh ringgit di dalam poket.

Comments
* The email will not be published on the website.