Segalanya bermula bukan dari studio gah atau mesyuarat berlapis strategi tetapi dari jiwa 2 peminat yang begitu mengkagumi dunia Ejen Ali. Hael Husaini dan Iqie Hugh bukan sekadar pencipta lagu kali ini, mereka adalah fanboy sejati yang menjelmakan cinta mereka terhadap Ejen Ali dalam bentuk karya yang sarat semangat, Penjuara.
Bukan luar biasa untuk lagu runut bunyi dicipta, tetapi mencipta sesuatu seberani Penjuara dalam hanya seminggu… itu bukan kerja tangan kosong. Itu hasil jiwa yang terbakar oleh minat, oleh naratif yang sudah lama bersarang dalam kepala dan hati mereka.
Dibuka dengan baris “La la lari ku lari,” lagu ini segera menyeret kita masuk ke dalam pelarian metafora sebuah gerakan batin yang tidak kenal lelah. Lari bukan kerana takut, tetapi kerana mengejar sesuatu yang lebih besar dari diri sendiri. Ia seolah-olah menjadi nadi kepada perjuangan Ali dan pasukan MATA, yang kini berdepan dengan ancaman baharu bernama Neonimus.
Hael dan Iqie menolak pola klise. Mereka tidak sekadar menyusun melodi dan bait lirik, mereka membina dunia. Dunia yang selari dengan adrenalin, emosi dan keberanian dalam Ejen Ali The Movie 2. Dan dalam keterbatasan masa, hanya satu hari di studio sudah cukup untuk mereka menumpahkan segalanya kerana segala idea itu telah lama bergolak di dada.
Korusnya, yang lantang menyebut “Selagi ku masih di sini, akan ku terus berlari,” bukan sekadar barisan motivasi. Ia adalah sebuah pengakuan. Bahawa kita semua, seperti Ali, punya alasan untuk terus berlari melintasi ketakutan, melawan kelelahan, dan menuju cahaya yang entah di mana.
Rentak electro pop yang memacu semangat digabungkan dengan lirik penuh inspirasi, menjadikan Penjuara lebih dari sekadar runut bunyi. Ia menjadi mantera kontemporari buat mereka yang hampir menyerah. Lagu ini tak hanya melengkapi filem, ia menyempurnakan perjalanan emosi penontonnya.
Video lirik rasmi yang dilancarkan di saluran YouTube Ejen Ali terus menyerap perhatian 55,000 tontonan hanya dalam beberapa hari. Di TikTok, audio Penjuara telah disuntik ke dalam pelbagai naratif video, mencecah setengah juta tontonan dalam seminggu. Bukti bahawa lagu ini tidak hanya hidup dalam filem, tapi juga dalam denyut kehidupan seharian kita.
“Ini antara peluang terbesar buat kami,” ujar Hael, menyimpan syukur yang mendalam. “Membuat lagu untuk dunia Ejen Ali bukan sahaja satu cabaran, malah satu aspirasi yang jadi kenyataan.”
Bersama Alternate Records dan Rocketfuel Entertainment, Penjuara kini tersedia di pelantar digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube Music. Namun lebih daripada itu, lagu ini kini tersedia di ruang perasaan setiap yang mendengarnya. Ia adalah pernyataan bahawa walau siapa pun kita, di medan apa pun kita berdiri, semangat seorang penjuara tetap ada, menunggu untuk disuarakan.