oleh: zizi hashim
13 Jun
13Jun

Keperitan hidup tidak selalu bermula dari jalan buntu. Terkadang ia tersembunyi di celah lorong-lorong sempit, di celah-celah bangunan usang yang menyimpan rahsia lebih gelap daripada malam kota. Hilang Kasyorga, drama 6 episod arahan Feroz Kader untuk Unifi TV Originals, menyusuri lorong-lorong yang sunyi tetapi sarat gema, membentangkan kisah kehilangan, dendam dan kebenaran yang pahit untuk ditelan.

Kasyorga, si anak lorong, hilang tiba-tiba tidak ada jejak, tidak ada pesan. Wataknya dilakonkan oleh Adra Mikayla yang memikul karektor misteri ini dengan wajah polos yang menyembunyikan banyak luka. Kehilangannya mencetuskan gelombang, bukan hanya pada bapa angkatnya Pak Bakar (Azhar Sulaiman), tetapi juga pada Rodi (Kamal Adli), jiran yang cuba menghapus sejarah gelap sebagai bekas pembunuh upahan.

Rodi diberi dua beban: mencari Kasyorga, dan dalam masa sama, menghabisi Datuk Zaza (Nabila Huda), wanita kaya yang dilanda skandal dan kini menjadi sasaran. Tetapi siapa Datuk Zaza sebenarnya? Dan bagaimana pula dengan Reza (Luqman Hafiz), pembantu peribadi yang turut tenggelam dalam arus konspirasi?

Misteri Kasyorga bukan sekadar penculikan. Ia mengakar pada isu besar yang benar-benar wujud di luar layar: pemerdagangan manusia, politik kotor, pelacuran jiwa, dan pembunuh bersiri yang bebas melata dalam pekat kota. Setiap episod membongkar lapisan demi lapisan, hingga penonton turut tertanya-tanya, adakah gadis kecil itu hanya mangsa, atau dia simbol kepada sesuatu yang lebih dalam?

Sutradara Feroz Kader membawa penonton masuk ke dunia kelam ini dengan sinematografi yang kasar tapi jujur. Penggambaran di lorong Chow Kit dan Bukit Bintang bukan sekadar latar, ia adalah watak yang bisu, menjadi saksi diam kepada drama kemanusiaan yang merangkak perlahan, menjerut tanpa sedar.

Barisan pelakon pula cukup mengesankan. Kamal Adli menampilkan sisi gelapnya yang jarang dilihat, sementara Nabila Huda sekali lagi memukau dengan emosi yang bersilang antara rapuh dan garang. Gabungan pelakon senior seperti Ellie Suriaty, Fadilah Mansor dan Kodi Rashid menambah kedalaman, memberi nadi kepada drama yang sudah pun padat dengan konflik.

Salah satu teraju yang tak boleh diabaikan adalah Azhar Sulaiman, yang membawa watak Pak Bakar, seorang lelaki tua berjiwa lelah dan kaki yang tempang. Menurut Azhar, watak ini adalah bonus dalam portfolio lakonannya. "Mula-mula saya main-main saja bawa watak ni. Buat-buat kaki terkehel, cuba nampak cacat untuk impak. Tetapi lepas 3 minggu, setiap kali balik rumah kaki saya bengkak sebelah tepi dan belakang pinggang sakit," katanya sambil tertawa.

"Saya cuba juga jalan macam biasa, tapi tak dapat rasa betul jadi orang cacat. Bila saya betul-betul jalani watak itu, baru saya sedar betapa penatnya. Hari pertama lagi saya dah menyesal ambil watak ni!" gurau beliau.Namun, pengorbanan fizikal itu membawa hasil: Pak Bakar bukan sekadar figura bapa, tetapi suara hati kepada semua yang telah kehilangan, yang telah terpaksa menelan hidup walau jasad sudah tidak kuat berdiri.

Yang membuat Hilang Kasyorga berbeza bukan hanya kerana ia mengangkat naratif misteri, tetapi kerana ia menyentuh isu-isu yang jarang diketengahkan dalam drama arus perdana: anak-anak terpinggir, cinta tanpa suara dalam keluarga angkat, manipulasi kuasa, dan manusia yang dibeli-beli seolah barang murahan. Naskhah ini adalah jeritan kecil dari lorong, mengingatkan bahawa tidak semua kehilangan dicari, dan tidak semua kebenaran mahu ditemukan.

Untuk penonton yang dahagakan naratif yang berani dan tulen, Hilang Kasyorga adalah pilihan yang menampar halus, menyelinap ke dalam emosi tanpa amaran. Episod baharu akan disiarkan setiap Isnin, jam 11 malam bermula 23 Jun 2025 di saluran DEGUP HD (Unifi TV, Saluran 120), dan juga tersedia untuk tontonan semula menerusi aplikasi Unifi TV.

Bersiap-sediahlah, bukan semua lorong membawa pulang ke rumah. Kadangkala, ia membawa kita lebih jauh ke dalam gelap yang tidak semua sanggup jejaki.

Comments
* The email will not be published on the website.