Setiap perjalanan manusia punya titik yang memulangkan kita kepada satu kebenaran: kasih seorang ibu tidak pernah meminta balasan, namun sesekali perlu diingatkan agar tidak terus terbiar di pinggir kesibukan. Daripada renungan inilah terbit Mak #SalamDariSyurga, sebuah naskhah yang mendakap kejujuran dan memilih lirih hati sebagai bahasa utama. Tanpa percikan sensasi atau formula komersial, filem ini bergerak seperti doa yang perlahan-lahan sampai ke jiwa.
Azman Ahmad, penerbit yang juga memegang watak utama, mengakui karya ini terbit daripada pemerhatiannya terhadap hidup moden yang semakin menghakis hubungan paling suci antara anak dan ibu. “Ramai daripada kita terseret oleh rutin, sehingga lupa menatap wajah yang selalu mendoakan kita. Filem ini bukanlah mahu mengajar sesiapa, cuma mahu mengingatkan sahaja,” katanya, dengan getar tenang yang terasa tulus.


Nadi kepada keseluruhan penceritaan ialah Datuk Fauziah Nawi, sosok legenda yang diberi kepercayaan membawa watak Nor, seorang ibu yang menggendong kasih tanpa syarat meski anaknya pernah menjerumuskan diri ke jalan yang khilaf. Lakonan beliau menyapu setiap babak dengan kehangatan yang tidak dibuat-buat. Di sisi beliau pula, Azman Ahmad dan Izzy Reef memberikan kontra dan keseimbangan melalui perwatakan yang berlapis, sarat rasa bersalah dan usaha untuk menebus masa lalu.
Ritma filem ini memang sengaja tidak dibina untuk mengejar klimaks. Sebaliknya, setiap babak diberikan ruang untuk berdenting kecil, membuat penonton memproses satu persatu memori yang dipaparkan. Ada detik-detik yang terasa seperti hela nafas, ada pula momen yang menampar perlahan seakan-akan mengingatkan penonton kepada ibu masing-masing, baik yang masih hidup mahupun yang telah kembali ke negeri abadi. “Kami mahu penonton keluar pawagam dan termenung; kalau mereka teringatkan ibu mereka walau sekejap, itu sudah cukup bermakna buat kami,” ujar Azman lagi.


Pemilihan pelakon dibuat dengan pertimbangan mendalam. “Saya mahu Datuk Fauziah Nawi sejak awal kerana kredibiliti dan jiwanya tidak boleh diganti. Izzy Reef pula menambah sisi muda yang matang, menyeimbangkan pergelutan emosi antara generasi. Pada masa yang sama, drama ini menjadi ruang untuk bakat baharu mencuba sayap mereka. Ada antara mereka pertama kali menjejak set filem. Saya mahu mencabar mereka, dan ternyata mereka berjaya tampil cemerlang,” jelas Azman.
Namun di sebalik naratif keluarga yang mengalir lembut, Mak #SalamDariSyurga memegang premis yang jauh lebih tegang. Bertempat di sebuah kampung di Kedah, kisah ini mengikuti Aman (Azman Ahmad) yang terjerat masuk ke sindiket pemerdagangan manusia diketuai Edy (Megat Sharizal). Satu operasi polis di sempadan menghuru-harakan segala-galanya, menjadikan Aman buruan. Dengan masa yang semakin mencengkam dan tekanan yang datang dari semua arah, Aman memilih untuk bersembunyi di dalam hutan selama berminggu-minggu, hanya satu tujuan: pulang dan menebus dirinya di mata ibunya, Nor.


Pengarah, Hj Hafis Nafiah, mengakui cabaran penggambaran sangat tinggi. “Penggambaran luar sentiasa mencabar, tetapi untuk naskhah ini, ia lebih ekstrem daripada biasa. Kami berkampung selama 2 hari 2 malam di dalam hutan hanya untuk satu babak. Peluh, lumpur, gigitan serangga: semua itu menjadi sebahagian daripada naskhah. Kami mahu kejujuran visual,” katanya. Walau begitu, beliau puas hati dengan komitmen para pelakon. “Mereka bekerja keras. Saya bangga dengan dedikasi mereka. Setiap babak lahir daripada kejujuran. Justeru, kami mahu gambarnya jujur dan teksturnya realistik.” katanya lagi.
Sebagai pelengkap emosi, filem ini memilih lagu “Musnah” nyanyian Danial Kifli sebagai runut bunyi utama. Lagu tersebut membawa nada melankolik yang seiring dengan perjalanan Aman, seorang lelaki yang terumbang-ambing antara penyesalan, kasih dan harapan. Dengan vokal Danial yang raw dan susunan muzik yang minimalis namun sarat rasa, “Musnah” menjadi gema perasaan yang tidak mampu diterjemah melalui dialog. Melodinya menyusup perlahan, seolah-olah mewakili hati Aman yang remuk, dan dalam masa yang sama mencerminkan kasih seorang ibu yang tidak pernah padam walaupun segala sekeliling terasa musnah.
Keputusan menggunakan lagu ini bukanlah aksesori, tetapi strategi emosi. Ia mengikat naratif secara halus, menjadi jambatan antara babak-babak yang sarat pergelutan dan detik-detik renungan yang senyap. Dengan gabungan visual yang sunyi, lakonan yang lembut dan runut bunyi yang menghanyutkan, Mak #SalamDariSyurga membentuk satu pengalaman yang mengisi hati tanpa memaksa.
Diterbitkan oleh AA Success Pictures Sdn Bhd dengan kerjasama Awal Muzik, Mak #SalamDariSyurga akan menghiasi layar perak bermula 22 Januari 2026 di seluruh negara. Bagi pencinta filem beremosi intim dan perjalanan batin yang tidak digembar-gemburkan, karya ini hadir sebagai peringatan halus bahawa kasih seorang ibu sering kita ketepikan kerana terlalu terburu-buru, sedangkan dialah yang selalu menunggu meski doa yang diungkapnya sudah lama berangkat ke langit.
