oleh: zizi hashim
26 Aug
26Aug

Sesekali layar perak menghadirkan kisah yang tidak hanya ditonton, tetapi dirasakan hingga ke dasar hati. Begitulah hadirnya filem “Hanya Namamu Dalam Doaku”, naskhah emosional dari Indonesia yang bakal menemui penonton Malaysia mulai 4 September 2025, dibawakan dengan penuh bangga oleh Antenna Entertainments.

Di bawah pengarahan Reka Wijaya, filem ini menghimpunkan barisan pelakon ternama seperti Vino G. Bastian sebagai Arga, Nirina Zubir sebagai Hanggini, Naysilla Mirdad sebagai Marissa, serta Anantya Kirana sebagai Nala. Naskhah ini turut diterbitkan oleh tiga nama yang kini menjadi suara generasi baharu sinema Indonesia: Prilly Latuconsina, Umay Shahab dan Bryan Domani melalui Sinemaku Pictures, rumah produksi yang sebelum ini menggemparkan khalayak dengan Perayaan Mati Rasa.

Kisahnya bermula dengan sebuah keluarga yang tampak bahagia. Arga, seorang suami penyayang dan ayah yang bertanggungjawab, membina kehidupan rukun bersama Hanggini dan puteri tunggal mereka, Nala. Namun sebuah pertemuan tidak terduga di reunion sekolah mengubah segalanya. Arga kembali dipertemukan dengan Marissa, cinta lama yang sepatutnya sudah terkubur. Dari situlah rahsia terbuka, kebohongan bermula, dan keharmonian yang dibina perlahan-lahan retak.

Di tengah badai itu, Nala menjadi korban yang terdiam. Impian untuk meraih biasiswa terkubur kerana kecewa melihat keluarganya sendiri runtuh di depan mata. Sementara Arga sendiri terperangkap dalam dilema: menyelamatkan keluarga dengan kejujuran atau melepaskan segalanya dan membiarkan doa-doa menjadi saksi terakhir.

Filem ini bukan sahaja menyingkap dinamika cinta dan pengorbanan dalam keluarga, tetapi juga mengangkat kesedaran tentang penyakit ALS (Amyotrophic Lateral Sclerosis). Tema ini menjadikan karya ini lebih bermakna, kerana ia mengingatkan bahawa doa, kasih sayang dan kekuatan jiwa sering diuji oleh sesuatu yang di luar kawalan manusia.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial, Antenna Entertainments akan bekerjasama dengan Persatuan Penyakit Motor Neuron Malaysia (MND Malaysia) untuk tayangan perdana khas pada 29 Ogos 2025 di TGV Suria KLCC jam 8.30 malam. Acara ini akan memberi ruang istimewa kepada pesakit ALS, keluarga dan penjaga mereka untuk bersama-sama menyaksikan karya penuh emosi ini.

Aziman Akesh, Ketua Pegawai Pemasaran Antenna Entertainments, menyatakan: “Kami percaya Hanya Namamu Dalam Doaku adalah filem yang membawa lebih daripada hiburan. Ia sarat dengan doa, harapan, dan kekuatan menghadapi ujian hidup. Dengan kerjasama bersama MND Malaysia, kami mahu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penyakit ini, di samping meraikan kehadiran sebuah karya sinema yang penuh jiwa.”

Mulai 4 September 2025 nanti, layar pawagam Malaysia akan menjadi saksi kepada sebuah cerita yang menggetarkan, memperlihatkan bahawa cinta dan doa tetap kekal meskipun manusia sering rapuh. “Hanya Namamu Dalam Doaku” sebuah kisah tentang luka yang membuka mata, dan doa yang tidak pernah hilang gema.

Comments
* The email will not be published on the website.