Berbekalkan konsep “drive” dan tempo yang deras, Arus & Arah, judul single terbaharu sang pemilik nama Firdaus Rahmat adalah perjalanan jiwa yang dipacu oleh semangat juang. Dibalut dalam melodi rock moden yang membakar nadi dan menyentuh relung terdalam, lagu ini membawa aura adrenalin yang menyuntik semangat, terutama buat mereka yang sedang bergelut mencari pegangan dalam hidup yang porak-peranda. Firdaus, dengan kerendahan hati dan dedikasi tinggi, menzahirkan harapan agar lagu ini menjadi sahabat buat mereka yang memerlukan, menjadi teman untuk melawan keputusasaan dan arah untuk keluar dari kelam.
Terpilih sebagai runut bunyi rasmi drama Anak-Anak Mafia, siri Tonton Original yang sarat dengan konflik, tekad dan percaturan takdir. Dalam setiap detik dramanya, Arus & Arah menjadi gema batin watak-watak yang bergelut dengan bayang silam dan cita-cita yang belum terpadam. Karya bukan sembarangan ini tercipta dari kolaborasi Firdaus bersama 2 minda kreatif yang tidak asing lagi. John Jeeves dan Iqie Hugh merangka lirik dan komposisi seolah-olah membina pelampung buat jiwa-jiwa yang tenggelam.
“Lagu ini bukan mudah. Ia menguji saya dari segi vokal, malah menuntut disiplin dan kejujuran emosi. Saya cuba sampaikan rasa yang benar, agar pendengar dapat tangkap getar itu,” ujar Firdaus yang mengambil masa 2 minggu untuk merakam lagu ini dengan penuh teliti. Dan getarnya memang terasa. Penuh api, penuh luka, tapi juga penuh harapan. John Jeeves pula menyifatkan karya ini sebagai nadi perjuangan manusia yang menolak kalah.
“Kami mahu hasilkan sesuatu yang sejajar dengan roh drama ini. Watak yang tidak pernah menyerah meski dilanda badai. Melodi pop yang digandingkan dengan elemen rock menjadikan lagu ini kontemporari, namun tetap sarat dengan emosi.” Baginya, Firdaus ialah sosok seniman yang bukan hanya menyanyi, tetapi menghayati dan menghidupkan lagu hingga bernyawa. Gemuruh dalam dada tak pernah tenang bila impian terus diuji oleh gelombang hidup yang menggila. Di tengah pusaran itu, hadirlah suara Firdaus Rahmat menjadi gema harapan yang membelah keheningan, menyuluh semangat mereka yang hampir karam.
Arus & Arah kini sudah pun boleh dinikmati di semua platform penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube dan naskhah dramanya yang dilakonkan oleh Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning, dan Scha Elinnea, terus menemani penonton setiap Isnin dan Khamis, hanya di Tonton. Dalam dunia yang kadang kala menyesakkan dan gelap, mungkin kita perlukan satu suara yang mengingatkan bahawa arus boleh dilawan, dan arah tetap ada, selagi jiwa pantang menyerah.