Angin seni tidak pernah benar-benar tenang. Kadangkala ia hanya menunggu saat yang tepat untuk kembali berhembus dan kali ini, ia hadir melalui satu suara yang sudah lama bertakhta di hati peminat, Tomok. Setelah sekian lama membiarkan waktu berlari tanpa karya baharu, pemilik vokal bernuansa dalam ini kembali dengan ‘Larut’, sebuah lagu yang bukan hanya menggetarkan perasaan, tapi juga menjadi bukti bahawa magisnya belum pernah padam.
‘Larut’ bukan sekadar dendangan pop rock biasa. Ia lahir daripada kombinasi dua lagu berasingan ciptaan A.R.T, Fai dan Amylea sejak 17 tahun lalu, kemudian menjalani proses kreatif intensif yang melahirkan sebuah karya kontemporari yang penuh dengan emosi mentah dan susunan muzik yang menyusup hingga ke tulang rasa. Diterbitkan oleh Alternate Records, karya ini menyarung jiwanya dalam lirik puitis dan komposisi yang teranyam rapi.
Tomok menyanyikan lagu ini seolah-olah ia miliknya sejak mula. Dalam masa hanya 2 jam di studio, rakaman selesai. Memberi petanda betapa serasi dan jujurnya penyatuan antara suara dan lagu ini. Amylea, yang juga bertindak sebagai penerbit, menyifatkan pengalaman bekerjasama dengan Tomok sebagai antara paling lancar dalam 18 tahun perjalanan seninya. “Saya mahu lagu ini punya karektor sendiri. Ia bukan semata-mata balada, tapi juga punya unsur pop rock yang mendalam,” katanya, sambil mengakui betapa Tomok benar-benar menghidupkan setiap bait yang ditulis.
Dan begitulah, ‘Larut’ berdiri sebagai sebuah lagu tentang lelaki yang memendam rasa, mencintai dalam diam, dan menyelam dalam khayalan cinta yang mustahil dimiliki. Namun, seperti bait-bait yang meresap dalam lagu ini, keindahan cinta kadang hadir hanya untuk dinikmati dalam bayangan, bukan dimiliki. Lagu ini juga dipilih sebagai lagu tema untuk drama “Aku Bukan Ustazah 2”, menambah beban emosi yang harus ditanggung oleh Tomok dalam penyampaiannya. Namun seperti biasa, beliau tidak mengecewakan. Dengan vokal yang tersusun rapi, nada yang tidak tergelincir, dan emosi yang mengalir halus, Tomok membuktikan bahawa pengalaman lebih 2 dekad bukan angka semata, tetapi pelaburan jiwa yang matang.
‘Larut’ menjadi single ke-5 Tomok bersama Alternate Records, menandakan fasa baharu dalam kembara seninya. Dengan susunan muzik oleh Bajai, disempurnakan oleh permainan strings, gitar dan bass yang menghidupkan latar emosi lagu, serta sentuhan Huzai dalam proses mixing dan mastering, ini bukan sahaja lagu, tetapi pengalaman sonik yang meresap diam-diam. “Lagu ni ada rasa yang kuat dalam jiwa saya. Saya harap orang ramai bukan saja dengar, tapi hayati,” luah Tomok penuh keikhlasan. Beliau juga meluahkan keinginan untuk terus bekerjasama dengan team komposer ini, yang menurutnya memahami benar cara melakar karya bermutu.
Kini ‘Larut’ boleh dinikmati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music dan YouTube. Bagi yang ingin meresapi kembali kehangatan suara Tomok yang pernah menjadi nadi muzik pop Malaysia, ini saat yang dinanti. Hidupkan radio, pasangkan headphone, dan biarkan diri anda 'larut' dalam sebuah karya yang bukan sahaja menyentuh telinga, tetapi juga menyelinap jauh ke relung rasa. Ini adalah sebuah pengakuan sunyi yang dinyanyikan dengan berani oleh seorang lelaki yang tidak pernah takut untuk 'larut' dalam cinta dan seni.