oleh: zizi hashim
22 Jul
22Jul

Hanya mampu difahami oleh mereka yang benar-benar mencintai seni, begitulah denyut yang mengalir dalam KOKUHO. Selepas mencuri perhatian di Jepun dan mendapat pengiktirafan di pentas antarabangsa, filem arahan Lee Sang-il itu akhirnya bersedia menemui penonton Malaysia mulai 23 Julai 2026. Sebelum tayangan rasminya, 8TV bersama Primeworks Studios menganjurkan sebuah tayangan media eksklusif yang menghimpunkan lebih 200 tetamu, terdiri daripada pengamal media, peminat filem, pencipta kandungan serta selebriti tempatan yang menjadi antara kelompok terawal menyaksikan naskhah luar biasa ini.

Diadaptasi daripada novel terkenal karya Shuichi Yoshida, KOKUHO bukan sekadar membawa penonton menyelami sebuah kisah, malah membuka jendela kepada keindahan seni Kabuki, warisan budaya Jepun yang dipersembahkan menerusi rekaan pentas memukau, kostum yang diperincikan dengan teliti serta persembahan penuh emosi. Selama 175 minit, filem ini mengangkat tema pengorbanan, cita-cita dan dedikasi tanpa kompromi dalam mengejar kesempurnaan seni. Nadi penceritaannya berpusat kepada Kikuo, lakonan Ryo Yoshizawa, anak kepada keluarga yakuza yang hidupnya berubah secara drastik selepas satu tragedi membawanya memasuki dunia Kabuki. Di situlah beliau bertemu Shunsuke, watak yang dibawakan Ryusei Yokohama, pewaris keluarga bangsawan Kabuki yang sejak kecil memikul harapan besar keluarganya. 

Walaupun datang daripada dua dunia yang jauh berbeza, kedua-duanya berkongsi satu impian yang sama iaitu menjadi seniman terbaik di pentas yang menuntut disiplin, pengorbanan dan kesetiaan terhadap tradisi. Persaingan yang bermula dengan rasa ingin membuktikan kemampuan akhirnya berkembang menjadi persahabatan yang penuh penghormatan, sekaligus membentuk sebuah kisah yang menyentuh tentang warisan, kecekalan dan makna sebenar sebuah pengorbanan. Komitmen dua pelakon utama itu menjadi antara kekuatan terbesar filem ini. Demi menghidupkan watak dengan penuh keaslian, Ryo Yoshizawa dan Ryusei Yokohama menjalani latihan Kabuki secara intensif selama 18 bulan, mempelajari setiap gerakan, bahasa tubuh dan ekspresi, termasuk teknik Onnagata, iaitu seni lakonan lelaki yang membawakan watak wanita dalam teater Kabuki.

Dedikasi tersebut bukan sahaja memperlihatkan kesungguhan mereka sebagai pelakon, malah menjadikan setiap adegan di layar terasa begitu hidup dan meyakinkan. Lebih menguatkan lagi penceritaan ialah barisan pelakon ternama seperti Mitsuki Takahata, Shinobu Terajima, Nana Mori, Takahiro Miura, Ai Mikami, Soya Kurokawa, Keitatsu Koshiyama, Masatoshi Nagase, Kyusaku Shimada, Emma Miyazawa, Ganjiro Nakamura, Min Tanaka dan Ken Watanabe. Kehadiran mereka memberikan dimensi emosi yang lebih luas, sekaligus mengukuhkan reputasi KOKUHO sebagai antara filem Jepun paling diperkatakan tahun ini.

Suasana tayangan media turut diraikan dengan persembahan secara langsung lagu tema Luminance, di samping Pertandingan Busana Terbaik yang menyaksikan para tetamu tampil mengenakan pakaian berinspirasikan budaya Jepun. Pemenang pertandingan membawa pulang hadiah wang tunai RM500 bersama barangan eksklusif tajaan SENKA by FineToday, menjadikan malam itu bukan sekadar tayangan filem, tetapi sebuah pengalaman budaya yang lengkap.

Bagi meneruskan kehangatan filem ini, 8TV turut menganjurkan sesi perkongsian bertajuk "Inside Storytelling: From Idea to the Screen, From Story to Audience" di Universiti SEGi, menampilkan pengarah filem Malaysia yang pernah memenangi anugerah antarabangsa Edmund Yeo, bersama Ketua 8TV Wong Yee Lee, dengan Brandon Chew sebagai moderator. Forum terbuka itu mengupas proses penceritaan, pembangunan kandungan serta penerbitan filem daripada perspektif industri kreatif.

Dibawakan oleh Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran di Malaysia, KOKUHO bakal menemui penonton di pawagam terpilih seluruh negara mulai 23 Julai 2026, sekali gus membuka peluang kepada pencinta filem tempatan menikmati sebuah karya yang mengangkat seni tradisional Jepun dalam bentuk sinematik yang megah dan menyentuh jiwa. Mungkin, itulah kekuatan sebenar KOKUHO. Ia bukan sekadar mengisahkan dua insan yang mengejar impian di atas pentas. Sebaliknya, ia mengingatkan bahawa seni yang agung tidak pernah lahir daripada bakat semata-mata, tetapi daripada keberanian untuk terus bertahan, meskipun jalan menuju kesempurnaan dipenuhi luka, pengorbanan dan pilihan yang tidak pernah mudah.

Comments
* The email will not be published on the website.