oleh: zizi hashim
21 Apr
21Apr

Ada rindu yang tidak pernah benar-benar selesai, ia hanya berubah bentuk, bersembunyi di celah waktu, lalu kembali menyapa saat senja merendah perlahan. Melalui karya terbaharu berjudul Dimanakah Kau Sore Ini?, Atilia Haron hadir dengan sebuah balada pop lembut yang bukan sahaja menyentuh emosi, tetapi juga membuka ruang paling peribadi dalam dirinya. Ruang yang selama ini mungkin disimpan dalam diam.

Dicipta bersama Jinx Chin dengan lirik sepenuhnya oleh Atilia, lagu ini berdiri sebagai refleksi tentang cinta, rindu, jarak dan kesetiaan. Perasaan yang tetap utuh walaupun dua hati dipisahkan oleh waktu dan ruang. Namun, di sebalik keindahan bunyinya, terselit sesuatu yang lebih mendalam: sebuah surat yang tidak pernah dihantar, tetapi kini dilagukan.

Atilia membuka lapisan emosi yang jarang disentuh secara langsung dengan memperdengarkan lagu yang dekat dihatinya. Lagu ini bukan sekadar karya, tetapi juga penghormatan. Sebuah surat cinta kepada band kegemarannya, Sore, yang telah lama menjadi sumber inspirasi dalam perjalanan seninya. Dalam pengakuan yang jujur, Atilia menyifatkan Sore sebagai antara pengaruh terbesar yang mengajarnya tentang ketahanan, kelembutan dan keindahan seni yang sejati. Sesuatu yang kini diterjemahkan dalam bentuk melodi dan lirik yang halus, tetapi sarat makna.

“Dimanakah Kau Sore ini?”, soalan itu bukan sekadar tajuk, tetapi gema yang berulang dalam ruang batin. Sebuah pertanyaan yang mungkin tidak memerlukan jawapan segera, namun tetap hidup sebagai harapan bahawa suatu hari nanti, ia akan dijawab… mungkin juga dalam bentuk irama yang sama. Secara sonik, lagu ini dibina dengan susunan minimal yang membiarkan emosi bernafas. Tidak terburu-buru, tidak berlebihan, sebaliknya mengalir seperti ingatan yang datang tanpa diundang. Pendekatan ini memberi ruang kepada setiap perkataan untuk berdiri sendiri, membawa makna yang lebih dalam daripada yang terlihat. 

Seperti kebiasaan dalam gaya vokalnya, Atilia memilih kesederhanaan berbanding kemewahan teknik. Dia tidak menyanyi untuk memukau, dia menyanyi untuk bercerita. Dan dalam cerita itu, pendengar menemukan diri mereka sendiri. Sebagai seorang artis yang telah lama mengukir identiti dalam dunia adult contemporary yang soulful dan kontemplatif, Atilia sentiasa konsisten dalam menyampaikan tema-tema universal seperti cinta, kehilangan, dan perjalanan memahami diri.

Dari pentas tempatan hingga ke festival antarabangsa seperti Java Jazz Festival dan World Economic Forum di Davos, suaranya telah merentasi sempadan, namun tetap setia kepada satu perkara: kejujuran dalam berkarya. “Dimanakah Kau Sore Ini?” akhirnya menjadi lebih daripada sekadar lagu, ia adalah ruang untuk merasai, untuk mengingati, dan untuk menerima bahawa tidak semua rindu perlu berakhir untuk terus hidup. Dan mungkin, di antara senja yang perlahan memudar, terselit satu harapan yang tidak pernah padam, bahawa setiap persoalan yang dilontarkan dengan tulus, suatu hari nanti… akan menemukan jalannya pulang.

Comments
* The email will not be published on the website.