Kadang-kadang, kita tak menyangka bahawa satu cerita yang terpancar dari celah-celah corong radio kereta, di saat jalanan lengang dan fikiran hanyut, mampu meresap masuk ke lubuk hati, menggoyah sendi, dan membangkitkan semula sisi manusiawi yang lama terlena. Pejam, naskhah terbaharu arahan S.T. Bala, adalah antara naskhah langka yang tidak bergantung pada kemewahan produksi atau sensasi komersial. Sebaliknya, ia hadir sebagai pelita kecil menyinari sisi gelap kehidupan yang sering kita pandang sebelah mata.
Kisah tentang gelandangan, kesihatan mental, dan yang paling menyentuh adalah tentang kasih sayang yang tidak pernah padam meski terpisah 2 dekad lamanya. Pejam adalah refleksi jujur tentang kehilangan, pencarian, dan pertemuan semula dalam landskap masyarakat Malaysia yang rencam namun penuh empati. Menyelami ruang batin sebuah negara yang masih belajar untuk sembuh dan bersatu, filem ini, meski sederhana dari sudut bajet dan produksi, menyelitkan intipati yang amat dalam. Tentang siapa kita sebenarnya apabila topeng dibuka, apabila identiti dikaburkan oleh waktu, dan apabila perpaduan itu bukan lagi slogan tetapi denyut nadi kehidupan.
Hadir ke majlis tayangan khas Pejam pada 15 Julai 2025 yang lalu, di GSC Starling Mall, Damansara, ruang panggung dipenuhi aura hormat dan penghargaan terhadap seni yang memperjuangkan nilai kemanusiaan. Turut hadir sama ialah YB Senator Puan Saraswathy Kandasami, yang mewakili Menteri Perpaduan Negara, YB Aaron Ago Dagang; YBhg Dato’ Haslina Abdul Hamid, Ketua Setiausaha Kementerian serta YBrs Encik Mohamad Sobri Mat Daud, Timbalan Ketua Setiausaha. Turut memberi sokongan ialah tokoh industri filem seperti YBhg Dato’ Jurey Latiff Mohd Rosli, Mejar (K) David Teo dan Jane Lim dari Mangkin Prestij Films.
Cerita ini bermula dengan Priya (watak utama lakonan Vanessa Cruez), seorang wanita muda yang masih dihantui kehilangan ayahnya, Lingam (dilakonkan secara mendalam oleh Sivenesh Arunachalam). Selepas kemalangan misteri 22 tahun lalu, Lingam lenyap tanpa khabar. Namun cinta Priya pada ayahnya tidak pernah luntur. Dia menolak untuk mendirikan rumah tangga dengan tunangnya, Raymond (lakonan Kahoe Hon), selagi bayangan ayahnya belum ditemui. Figura seorang wanita tabah kesan dari trauma yang belum selesai. Dan apabila bayang-bayang masa lalu mula bersuara melalui seorang lelaki muda bernama Azman, yang mengaku pernah terserempak dengan seorang gelandangan tua yang mirip Lingam, babak-babak filem ini perlahan-lahan berubah menjadi pencarian yang menyentuh dan penuh nuansa.
Paling saya kagumi ialah keberanian Bala untuk tidak menjadikan filem ini eksklusif kepada satu kaum sahaja. Ia tidak memilih bendera bahasa. Pejam bukan filem Melayu. Ia juga bukan sepenuhnya Tamil. Ia adalah filem Malaysia, sebuah manifestasi seni yang merangkul semua. Watak-watak yang ditampilkan mewakili spektrum warna dalam masyarakat kita: India, Melayu, Cina, berbeza latar tetapi satu dalam misi: menyembuhkan, menyatukan, dan mencari semula apa yang hilang. Di sinilah terletaknya roh perpaduan yang tak digembar-gemburkan, tetapi hadir secara organik. Seperti realiti hidup kita sehari-hari, makan di warung mamak, belajar di kelas campuran, jatuh cinta tanpa sempadan warna kulit.
Saya tersentuh bukan hanya kerana naratifnya yang diinspirasikan dari kisah sebenar, tetapi kerana cara Bala menggarap realiti itu menjadi sesuatu yang hampir surreal. Watak Lingam yang kehilangan ingatan lalu terdampar di jalanan selama 21 tahun, kemudian secara tidak sengaja bekerja di pusat pemulihan mental, mewakili metafora yang kuat: kadang-kadang, kita tidak hilang, cuma tersesat dalam versi diri yang tidak dikenali lagi. Dan Pejam, seperti tajuknya yang puitis dan simbolik, memaksa kita menutup mata sebentar. Untuk merenung semula. Untuk menilai semula manusia lain tanpa prejudis. Ia seolah-olah berkata: dalam gelap pun, masih ada ruang untuk sedar, untuk kembali pulang.
Filem ini menyisip isu gelandangan dan kesihatan mental bukan sebagai topeng moral, tetapi sebagai bahan renungan. Ramai antara kita terlalu cepat menghakimi mereka yang 'berbau jalanan', tanpa tahu bahawa mungkin mereka pernah punya rumah, punya keluarga, punya cerita. Pejam menjentik sisi kemanusiaan yang kian terhakis dek ritma hidup yang serba laju dan egoistik.
Saya juga tertarik apabila diberitahu tajuk asal filem ini ialah Roti Canai dan Lingkup. Namun pilihan terakhir, Pejam, terasa paling tepat. Ia ringkas tapi mendalam, menggambarkan transisi, kesedaran semula, dan proses mengenal diri dalam kegelapan yang panjang. Seolah-olah ketika kita pejam, dunia di luar hening sebentar agar kita mampu mendengar gema batin sendiri.
Lebih menyayat, saat Priya diwawancara dalam satu rancangan radio, suara yang dipancarkan ke udara akhirnya menemui telinga yang tepat. Seorang pemandu di pusat pemulihan yang mengenal pasti kisah itu. Maka bermulalah pelarian ke destinasi akhir untuk menyatukan semula ayah dan anak yang terpisah oleh nasib, takdir, dan masa. Saya terdorong untuk percaya, bahawa di dunia sebenar, masih ada manusia seperti Priya yang tidak menyerah. Masih ada Azman yang bersuara untuk kebenaran, dan Raymond yang mendampingi tanpa syarat. Inilah gambaran Malaysia yang filem ini hidangkan: penuh simpati, saling bantu, dan tak terikat dengan perbezaan.
Barisan pelakon yang mendukung naskhah ini cukup meyakinkan. Selain Sivenesh, Vanessa, Halim dan Kahoe, turut menyerlah ialah Aahmu Thirunyanam, pelakon veteran Dato’ Imuda, serta Azlan Faudzi a.k.a. Mamukokoot yang menambah lapisan realisme pada dunia Pejam. Penggambaran di Sungai Petani selama 3 minggu membuahkan hasil yang autentik. Suatu bentuk ‘kesederhanaan yang indah’.
Pejam ialah cermin. Cermin kepada masyarakat yang terkadang cepat menghukum, lambat memahami. Cermin kepada diri kita sendiri yang sering terlupa bahawa manusia yang tersesat itu bukan hilang nilai, cuma hilang arah. Filem ini bakal ditayangkan di pawagam bermula 4 September 2025. Tontonan yang saya yakin akan menyentuh sesiapa saja yang pernah kehilangan, yang pernah menunggu, dan yang masih percaya pada harapan.
Saya sarankan, pejamkan mata sebentar, lalu tontonlah dengan hati terbuka. Anda akan temui bukan sahaja kisah sebuah keluarga, tetapi juga cerita kecil tentang Malaysia yang kita cinta, yang kita mahu lihat terus bersatu, bukan kerana propaganda, tapi kerana kasih sayang sesama insan.