Debu gelanggang tidak pernah sekadar tentang siapa paling kuat menumbangkan lawan. Di sebalik tubuh yang luka dan nafas yang tercungap-cungap, ada manusia-manusia yang sedang bertarung dengan masa silam, rasa bersalah dan takdir yang tidak pernah memberi belas kasihan. TARUNG: Unforgiven hadir membawa denyut itu, sebuah filem aksi yang bukan hanya sarat tumbukan dan pertarungan, tetapi juga emosi yang menggigit perlahan hingga ke jiwa.
Bakal menemui penonton di 148 pawagam seluruh negara bermula 7 Mei 2026, filem arahan Razaisyam Rashid ini diterbitkan oleh ALPHA47 dengan kerjasama Icon Pictures dan Astro Shaw. Namun di sebalik skala produksinya yang besar, kekuatan sebenar TARUNG: Unforgiven terletak pada keberaniannya mengangkat hakikat bahawa kehidupan itu sendiri adalah gelanggang paling kejam untuk manusia bertahan.


Mengangkat tagline “kau cuma ayam sabung”, filem ini menyoroti perjalanan Hatta, seorang bekas juara silat yang dihantui dosa silam selepas sebuah tragedi menghancurkan hidupnya. Dalam usaha menyelamatkan kakaknya, Hatta menerima tawaran Paduka Badrul untuk memasuki gelanggang haram. Namun dia tidak pernah menyangka bahawa lawan yang menantinya ialah Isa, sahabat lama yang kini berubah menjadi musuh akibat dendam yang belum pernah sembuh. Premisnya mungkin kedengaran seperti filem aksi biasa, tetapi naskhah ini bergerak jauh lebih dalam daripada sekadar pertarungan fizikal.
Setiap tumbukan dalam TARUNG: Unforgiven terasa seperti ledakan emosi yang lama dipendam. Ada rasa marah, kehilangan, pengkhianatan dan penyesalan yang saling berlanggar dalam perjalanan setiap wataknya. Kemunculan Mierul Aiman sebagai watak utama memberikan tenaga baharu kepada filem aksi tempatan. Aura dan intensitinya terasa kasar tetapi rapuh pada waktu yang sama, menjadikan Hatta bukan sekadar hero tipikal yang kebal tanpa emosi. Dalam masa yang sama, Aedy Ashraf pula tampil lebih matang menerusi watak yang memperlihatkan sisi kompleks seorang manusia yang bergelut dengan pilihan hidupnya sendiri.


Lebih menarik lagi, filem ini turut menemukan dua nama besar iaitu Bront Palarae dan Zul Ariffin dalam satu naskhah yang sama buat pertama kali. Pertembungan dua figura ini menjadi antara elemen paling dinantikan kerana masing-masing hadir dengan karisma dan intensiti tersendiri. Kehadiran mereka menjadikan atmosfera filem terasa lebih berat, maskulin dan penuh tekanan emosi. Turut memperkuat dunia TARUNG: Unforgiven ialah barisan pelakon seperti Amir Ahnaf, Azira Shafinaz, Sharifah Sakinah, Aeril Zafrel serta beberapa petarung sebenar seperti Jai JMT dan Ijam Asri yang memberikan rasa lebih autentik kepada setiap adegan pertarungan.
Menurut Razaisyam Rashid yang juga bertindak sebagai penulis skrip dan penerbit eksekutif, perjalanan menghasilkan filem ini bukan sesuatu yang mudah. Namun seluruh pasukan produksi berusaha memberikan pengalaman sinematik terbaik dari sudut aksi, emosi dan penceritaan. “Tagline ‘kau cuma ayam sabung’ bukan sekadar tentang pertarungan di gelanggang, tetapi juga tentang kehidupan di mana setiap orang ada perjuangan masing-masing, sama ada melawan masa lalu, tekanan atau pilihan yang perlu dibuat,” katanya.


Beliau turut berharap filem ini mampu diterima sebagai sebuah karya tempatan yang berani dan memberikan pengalaman lebih epik menerusi penggunaan teknologi bunyi Dolby Atmos yang menjadikan setiap adegan terasa lebih imersif. Bagi Aedy Ashraf pula, penglibatannya sebagai penerbit buat pertama kali menjadikan projek ini sangat dekat dengan dirinya. “Ini merupakan cabaran pertama saya terlibat sebagai penerbit, dan sudah tentu ia menjadi satu tanggungjawab besar untuk saya. TARUNG: Unforgiven adalah sebuah projek yang sangat dekat dengan hati saya, bukan sahaja sebagai pelakon, tetapi juga sebagai seseorang yang diberi kepercayaan untuk bersama-sama membawa karya ini kepada penonton,” katanya.
Tambahnya lagi, beliau berharap penonton dapat melihat filem ini sebagai karya tempatan yang matang dan dekat dengan perjuangan kehidupan manusia sebenar. Selain kekuatan visual dan aksi, filem ini turut hadir dengan dua runut bunyi eksklusif yang memperkuat emosinya. Lagu “Test” dibawakan trio muda Distorted (SINO, BALO dan ENEYEQAY), manakala Noh Salleh pula menyumbang lagu “Terbang” yang dijangka menjadi antara elemen emosional penting dalam filem ini.


Menambahkan lagi keterujaan peminat, barisan pelakon TARUNG: Unforgiven juga akan turun padang menerusi siri jelajah promosi di Lembah Klang, Selatan, Utara dan Pantai Timur bermula 8 Mei sehingga hujung bulan tersebut. Filem ini turut menjalin kolaborasi bersama Kunafa Aiwahhh menerusi edisi khas Kunafa Tarung yang diinspirasikan daripada semangat pertarungan, selain sokongan daripada Nuhae sebagai rakan kesejahteraan rasmi.
Pada akhirnya, TARUNG: Unforgiven bukan cuma tentang siapa menang atau kalah di gelanggang. Ia tentang manusia yang cuba bertahan ketika hidup terus memaksa mereka berlawan dengan luka sendiri.
