Industri perfileman tempatan kembali bernafas segar apabila Astro Shaw tampil dengan barisan filem 2025 yang menjanjikan pelbagai rasa, dari sendu yang menyentuh kalbu, kepada seram yang menggugah urat, hinggalah ke dimensi aksi dan animasi yang menghiburkan seisi keluarga. Lima belas judul diumumkan, tetapi beberapa daripadanya kini menjadi tumpuan khalayak apabila imej eksklusif dari lokasi penggambaran dikongsikan buat pertama kali. Berikut antara judul terpilih yang dijangka mencorakkan landskap sinema tempatan tahun hadapan.
Abah Saya Uncle Mike: Kisah kasih yang merentas bangsa
Filem ini menjanjikan sebak yang mendalam. Naskhah keluarga yang diinspirasikan daripada kisah benar mengenai seorang lelaki Cina yang membesarkan 3 anak Melayu yatim piatu. Dalam dunia yang semakin menjarakkan manusia dengan prasangka dan perbezaan, Abah Saya Uncle Mike hadir sebagai penyambung harapan dan empati. Diarahkan oleh Ezrie Ghazali dan diterbitkan bersama Le Mediator Studio, filem ini menampilkan Andy Teh, Idan Aedan, dan Chew Kin Wah, serta bintang veteran Fauziah Nawi dan Ellie Suriaty. Imej di sebalik tabir memperlihatkan kemesraan yang tulus antara watak-watak, membayangkan emosi yang akan dicerakinkan di layar nanti.
Wantugo: Pertarungan hidup dan sistem dalam genre ‘Battle Royale’ pertama Malaysia
Bagi penggemar aksi dan suspens, Wantugo bakal mengejutkan industri sebagai filem pertama genre ‘Battle Royale’ di Malaysia. Berlatar dunia distopia di mana anak muda dipaksa bertarung untuk hidup dalam program kerajaan misteri, filem ini menyampaikan alegori tajam tentang sistem dan tekanan sosial moden. Diarahkan oleh Norhanisham Muhammad dan dihasilkan bersama ACT2 Pictures, Wantugo menghimpunkan pelakon muda popular seperti Meerqeen, Daiyan Trisha, Elizabeth Tan, Sky Iskandar dan ramai lagi. Barisan imej rasmi memaparkan latar yang suram, pakaian khas peserta pertarungan, dan ekspresi ketegangan, cukup untuk membuatkan peminat filem aksi tidak sabar menanti tayangannya.
Malam Terlarang: Seram yang lahir dari rahsia keluarga dan warisan silam
Tahun 1987 menjadi latar kepada sebuah kisah misteri yang menghimpun seram, warisan dan ketakutan tersembunyi. Malam Terlarang mengisahkan seorang gadis yang dihantui entiti aneh ketika cuba merungkai sejarah gelap keluarganya. Suasana retro dan atmosfera mistik menjadikan filem ini unik dalam barisan filem seram tempatan. Zul Ariffin mengetuai barisan pelakon bersama Sofia Jane, Sabri Yunus, dan Jasmine Suraya Chin. Dengan sentuhan pengarah Norhanisham Muhammad dan terbitan bersama Infinitus Films MY, filem ini dijangka membawa nafas baharu dalam genre seram tempatan, bukan hanya menakutkan, tapi menyentuh aspek psikologi dan jiwa Melayu lama.
Papa Zola The Movie: Animasi nostalgia dengan semangat baharu untuk seisi keluarga
Selepas kejayaan siri animasi, Papa Zola The Movie bakal menggegar pawagam dengan filem penuh pertama hasil kerjasama antara Astro Shaw dan MONSTA. Dengan visual yang penuh warna, watak ikonik dan dialog mencuit hati, filem ini bukan hanya menghibur kanak-kanak, tetapi juga mencuit nostalgia ibu bapa yang membesar bersama siri ini. Teaser pertama telah mencatat lebih 2 juta tontonan di media sosial dalam masa singkat. petanda jelas bahawa francais ini masih kukuh di hati rakyat Malaysia. Papa Zola, dengan kejenakaannya, bakal menjadi antara tumpuan musim cuti sekolah hujung tahun 2025 nanti.
Filem Lain yang Turut Dinanti
Selain 4 judul utama tadi, Astro Shaw turut mengumumkan beberapa lagi filem yang sedang dalam penggambaran atau pasca-produksi:
Gabungan kerjasama kreatif ini turut melibatkan nama-nama besar seperti Infinitus Gold, GSC, ACT2 Pictures, Le Mediator Studios, Monsta, dan Etika dalam aspek pemasaran dan produk.
Raja Jastina Raja Arshad, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, menyatakan, “Kami percaya kisah yang berani layak ditemukan. Kami mahu hasilkan cerita yang bukan hanya menghibur, tetapi merangsang pemikiran, menyentuh emosi dan mencerminkan pelbagai suara Malaysia.” Dengan deretan karya yang merentas genre, latar dan semangat, tahun 2025 bakal menjadi saksi bagaimana filem tempatan terus mendaki, dari cerita rakyat, kepada genre eksperimen, dan kembali kepada akar kekeluargaan yang tulus.