Batas antara hiburan dan pemasaran hari ini semakin kabur. Sebuah filem bukan lagi sekadar kisah yang dipertontonkan di layar, manakala sesebuah program televisyen tidak lagi hanya berfungsi sebagai bahan tontonan. Apabila penceritaan dibina dengan jujur dan dekat dengan kehidupan masyarakat, ia mampu berkembang menjadi sebuah pengalaman yang menghubungkan jenama, emosi dan khalayak dalam cara yang jauh lebih bermakna.
Keupayaan itulah yang sekali lagi dibuktikan oleh Astro Shaw dan Astro Gempak apabila tiga karya mereka iaitu Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike dan Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton berjaya membawa pulang tujuh anugerah di MARKies Awards Malaysia 2026, antara anugerah pemasaran dan pengiklanan paling berprestij di negara ini.


Dianjurkan oleh MARKETING-INTERACTIVE, MARKies Awards telah berlangsung hampir dua dekad sebagai platform yang mengiktiraf kempen pemasaran paling kreatif, strategik dan berkesan di Malaysia. Pengiktirafan itu meliputi pelbagai aspek termasuk kreativiti, strategi media serta keberkesanan kempen yang benar-benar memberi impak kepada jenama dan pengguna. Bagi Astro Shaw dan Astro Gempak, kemenangan ini bukan sekadar soal trofi. Sebaliknya, ia menjadi pengesahan bahawa penceritaan tempatan kini memiliki kekuatan untuk bergerak lebih jauh daripada dunia hiburan, sekaligus menjadi medium yang mampu membina hubungan emosi antara jenama dan masyarakat.
Antara karya yang mencuri perhatian ialah Malam Terlarang, terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Kopi Wonda. Kempen "Stay Strong at Malam Terlarang" berjaya meraih dua Anugerah Perak, masing-masing bagi kategori Most Creative Immersive Brand Activation dan Most Effective Use Digital, sekali gus membuktikan bahawa pengalaman jenama yang dibina melalui naratif filem mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.




Lebih manis, filem Abah Saya Uncle Mike muncul sebagai antara penyumbang terbesar kejayaan malam itu. Hasil kolaborasi bersama 7UP dan Mirinda, kempen "The Story That United a Nation: Driving 23% Sales Growth" membawa pulang dua Anugerah Emas, masing-masing bagi kategori Most Creative Video dan Most Effective Use Integrated Media. Kempen sama turut meraih Anugerah Perak bagi Most Creative Multicultural Marketing serta Gangsa menerusi kategori Most Creative Integrated Media.
Sementara itu, Dapur Goodday: Misi Sarimah & Tuyah VS Che Ton, terbitan Astro Gempak bersama Goodday, turut melakar kejayaan apabila memenangi Anugerah Perak dalam kategori Most Effective Use Events menerusi kempen "How Goodday Was First to Turn Stories to Stalls, Driving +23% Sales". Keseluruhannya, tujuh kemenangan ini menggambarkan perubahan besar dalam landskap industri kreatif tempatan.

Hari ini, filem dan program televisyen bukan lagi hanya dinilai berdasarkan kutipan atau jumlah tontonan semata-mata, tetapi juga kemampuan mereka membina kempen pemasaran yang memberi nilai tambah kepada jenama tanpa mengorbankan kekuatan penceritaan. Menurut Astro Shaw, pengiktirafan ini membuktikan bahawa karya seni tempatan telah berkembang menjadi platform strategik yang mampu melahirkan kolaborasi kreatif berimpak tinggi antara industri hiburan dan dunia pemasaran. Pada masa sama, kejayaan tersebut memperkukuh kedudukan Astro Shaw dan Astro Gempak sebagai rakan strategik kepada pelbagai jenama dalam menghasilkan kempen yang menggabungkan kreativiti, budaya serta pemahaman mendalam terhadap penonton dan pengguna tempatan.
Di sebalik setiap trofi yang diraih, tersimpan satu hakikat yang semakin jelas. Apabila sesebuah cerita berjaya menyentuh hati penonton, ia tidak berhenti sebagai hiburan.Ia berkembang menjadi pengalaman, membina kepercayaan terhadap jenama, dan akhirnya meninggalkan impak yang jauh lebih besar daripada sekadar sebuah kempen pemasaran.
