Impian mencari kehidupan yang lebih baik menjadi harapan ramai, namun masih ada pihak yang sanggup mengeksploitasi harapan itu demi keuntungan sendiri. Dari sinilah bermulanya Tiket Sehala, sebuah survival thriller yang tidak sekadar menawarkan debaran di layar perak, tetapi turut mengangkat realiti pahit tentang penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia yang terus menghantui masyarakat hari ini.
Menjelang tayangan rasminya pada 6 Ogos 2026, filem terbitan Key Billions Sdn. Bhd. itu diraikan menerusi Majlis Gala Premiere yang berlangsung di TGV Cinemas, Sunway Pyramid, menghimpunkan barisan pelakon, tenaga produksi, rakan kerjasama serta pengamal media untuk menyaksikan tayangan perdana karya arahan dan terbitan Rahila Ali. Malam itu bukan sekadar meraikan sebuah filem baharu, tetapi menjadi simbol berakhirnya perjalanan panjang pembikinan sebuah naskhah yang diinspirasikan daripada kisah benar yang berlaku di sekeliling kita.



Mengangkat tema harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan, Tiket Sehala membawa penonton menyelami pengalaman sekumpulan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan ketika mengejar peluang mencari rezeki di Korea Selatan. Apa yang dijanjikan sebagai pekerjaan dengan kehidupan lebih baik bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka terperangkap dalam jaringan pemerdagangan manusia yang memaksa mereka membuat pilihan paling sukar demi terus hidup. Keistimewaan filem ini turut terserlah menerusi gabungan pelakon dari Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia, selain menjalani penggambaran di Malaysia dan Korea Selatan.
Pendekatan ini bukan sahaja memberikan skala produksi yang lebih besar, malah mengukuhkan lagi suasana realistik yang menjadi tunjang kepada keseluruhan penceritaan. Menurut Rahila Ali, malam gala tersebut membawa makna yang sangat istimewa selepas hampir setahun melalui pelbagai proses bagi menyiapkan filem berkenaan. "Selepas melalui perjalanan yang panjang untuk menyiapkan Tiket Sehala, akhirnya kami dapat berkongsi filem ini bersama penonton. Hari ini sangat bermakna buat kami kerana ia merupakan hasil usaha dan komitmen seluruh pasukan yang terlibat sejak awal pembikinan."


Beliau berkata, walaupun dibaluti elemen thriller yang mendebarkan, filem ini sebenarnya membawa mesej yang jauh lebih besar daripada sekadar hiburan. "Filem ini diinspirasikan daripada isu yang benar-benar berlaku dan kami cuba mengangkatnya dalam bentuk penceritaan yang mendebarkan. Di sebalik debaran yang dipaparkan, ia juga membawa kisah tentang harapan, pengorbanan dan nilai sebuah kebebasan."
Rahila turut berharap naskhah ini mampu membuka mata masyarakat terhadap bahaya sindiket penipuan pekerjaan yang semakin berleluasa. "Kami berharap filem ini dapat membuka mata penonton terhadap realiti yang mungkin tidak ramai sedari. Jika penonton keluar dari pawagam dengan rasa lebih peka dan lebih berhati-hati terhadap isu ini, itu sudah cukup bermakna buat kami."
Beliau mengakui pembikinan Tiket Sehala bukan satu tugas yang mudah memandangkan sebahagian besar penggambaran dijalankan di Korea Selatan. Antara cabaran utama termasuk urusan permit, logistik, faktor cuaca serta penyelarasan antara pasukan produksi Malaysia dan Korea Selatan yang mempunyai budaya kerja berbeza. Namun, segala kesukaran itu berjaya diatasi berkat komitmen seluruh tenaga produksi yang tidak pernah berputus asa sepanjang proses pembikinan.


Sementara itu, Penerbit Eksekutif Eddie Yap berharap Tiket Sehala dapat menjadi medium yang menyedarkan masyarakat bahawa ancaman sindiket penipuan pekerjaan masih berlaku dan boleh menimpa sesiapa sahaja. "Kita sering melihat laporan mengenai rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di luar negara. Menerusi Tiket Sehala, kami berharap masyarakat akan lebih berwaspada dan membuat semakan sewajarnya sebelum menerima sebarang tawaran pekerjaan." Beliau menambah, filem ini bukan sahaja mahu memberikan pengalaman menonton yang mendebarkan, tetapi turut meninggalkan kesedaran bahawa setiap keputusan mampu mengubah keseluruhan perjalanan hidup seseorang.
Barisan pelakon diketuai oleh Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Sharifah Sakinah, Ainee Mustafa, Hyunjun Suk dan Ha Ju Young, disokong oleh pelakon dari beberapa negara yang memperkayakan lagi naratif filem ini. Gabungan bakat serantau itu menjadikan Tiket Sehala tampil lebih autentik dalam menggambarkan realiti sindiket rentas sempadan yang menjadi latar utama penceritaannya.

Di sebalik setiap adegan yang mendebarkan, Tiket Sehala sebenarnya mengajak penonton merenung harga sebuah kebebasan yang sering dianggap biasa. Ada impian yang bermula dengan harapan, tetapi boleh berakhir dengan penyesalan jika langkah pertama diambil tanpa kewaspadaan. Mungkin itulah sebabnya filem ini tidak sekadar mahu meninggalkan debaran apabila lampu pawagam dinyalakan semula, tetapi juga satu kesedaran bahawa kebebasan adalah nikmat yang paling bernilai apabila ia hampir dirampas. Tayangan di pawagam bermula 6 Ogos 2026, jangan ketinggalan!