oleh: zizi hashim
03 Dec
03Dec

Terbentang satu khabar yang menggetarkan arena sinema Malaysia apabila Soloz: Game of Life, naskhah terbitan Key Billions Sdn. Bhd., melangkaui sempadan lantas menawan lebih 80 pawagam di Thailand bermula 4 Disember 2025. Fakta ini menjadi gema baharu buat penerbitnya, Rahila Ali, yang menyifatkannya sebagai pencapaian luar jangka namun luhur nilainya buat seluruh pasukan produksi. Gerak langkah baharu Key Billions Sdn. Bhd. membuka horizon yang lebih luas dalam industri perfileman tempatan.

Menyuarakan rasa syukur yang mendalam, Rahila Ali berkata, pencapaian ini ibarat anjakan tekal yang sukar dijangka namun sangat signifikan buat seluruh pasukan yang bekerja dengan disiplin tanpa kompromi sepanjang proses penerbitan. Perjalanan filem arahan Syafiq Yusof itu disandarkan pada kisah kehidupan Muhammad Faris Zakaria (Soloz) sosok ikon E-sukan Malaysia yang mengukir namanya melalui permainan Mobile Legends: Bang Bang.

Naskhah ini menghimpunkan barisan pelakon yang mapan auranya; antara mereka termasuk Hun Haqeem, Ikmal Amry, Jaa Suzuran, Hafeez Mikail, Imran Aqil, Syafie Naswip, Wafiy A’an, Noki K-Clique, Fimie Don, Kahoe Hon dan Nia Atasha. Setiap watak menjadikan dunia Soloz: Game of Life kaya dengan tenaga, bakat serta resonans generasi baharu.

Pasaran Thailand pula terkenal dengan pemilihan karya yang cukup teliti; ruang tayangan di negara itu tidak mudah dibolosi oleh filem luar. Rahila mengakui prosesnya rumit, kompetitif dan memerlukan keyakinan yang tidak goyah. Namun beliau percaya kepada struktur cerita yang digarap rapi, visual yang tersusun seakan matriks sinematik, serta emosi yang mengalun halus di sepanjang durasi. Ketiga-tiga elemen ini meyakinkan mereka untuk menembusi pasaran negara jiran tersebut meskipun berdepan pelbagai cabaran logistik dan pemilihan.

Acara Malam Gala dan Tayangan Perdana pada 2 Disember 2025 di Bangkok menjadi detik simbolik yang mengukuhkan pencapaian ini. Hun Haqeem hadir sebagai pelakon utama bersama Eddie Yap, Pengasas dan Penerbit Eksekutif Key Billions Sdn. Bhd., individu yang memainkan peranan penting mengatur laluan filem tersebut sehingga berjaya dipasarkan di Thailand. Momen itu merayakan bukan sahaja sebuah filem, tetapi sebuah pergerakan baharu dalam ekosistem sinema Malaysia, langkah yang mungkin menjadi inspirasi kepada karya-karya akan datang.

Kerjasama strategik bersama Mstudio, sebuah syarikat pengedaran yang memiliki rekod kukuh dalam pasaran tempatan Thailand dan aktif dalam jaringan pengedaran antarabangsa menjadi pintu yang membuka laluan baharu buat filem ini. Selepas tontonan awal, pihak Mstudio memberikan maklum balas positif, khususnya terhadap gabungan lakonan sebenar dan elemen CGI yang memperlihatkan gaya moden, segar serta berdaya tarikan kepada penonton muda. Mereka turut melihat bahawa pertembungan antara dunia realiti dan dunia permainan memberi potensi besar untuk menarik peminat Mobile Legends di Thailand, sebuah komuniti yang ketara besar dan aktif.

Bagi mendekatkan pengalaman penonton tempatan, Soloz: Game of Life dialih suara sepenuhnya ke bahasa Thai. Langkah ini diambil bagi mempertingkat keselesaan tontonan dan membina kedekatan antara emosi filem dengan sensitiviti budaya penonton di sana. Rahila berharap keberhasilan ini bukan sekadar kemenangan tunggal, tetapi membuka lebih banyak peluang agar filem Malaysia terus menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih yakin.

Berhembus satu harapan baharu, semoga jejak langkah Soloz: Game of Life di Thailand bakal menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya tempatan merentas sempadan. Andai momentum ini diteruskan, sinema Malaysia berpotensi menjangkau wilayah lebih luas, menyerlahkan suara kreatif yang semakin matang dan berdaya saing.

Comments
* The email will not be published on the website.