oleh: zizi hashim
03 Mar
03Mar

Ramadan tahun ini menyaksikan satu pertemuan yang menggabungkan keberkatan, seni dan kesedaran sosial apabila Key Billions Sdn. Bhd. menganjurkan Majlis Berbuka Puasa & Pelancaran Filem Tiket Sehala pada 2 Mac 2026. Suasana yang pada awalnya dipenuhi dengan kehangatan juadah berbuka bertukar menjadi medan pengenalan karya baharu yang sarat mesej kemanusiaan.

Filem arahan Rahila Ali ini mengangkat kisah mangsa sindiket penipuan kerja di luar negara, satu realiti global yang semakin membimbangkan dan turut menjerat rakyat Malaysia. Rahila menjelaskan bahawa Tiket Sehala terinspirasi daripada kisah benar yang berlaku dalam masyarakat.

Tiket Sehala adalah berinspirasikan daripada kisah benar yang sememangnya sebuah masalah global, termasuk rakyat Malaysia sendiri ramai yang terjebak dalam sindiket tersebut. Ia merupakan sebuah karya yang dihasilkan dengan rasa terbitnya tanggungjawab untuk menunjukkan kesan dan akibatnya kepada penonton apabila menjadi mangsa,” ujarnya penuh makna.

Filem ini membawa penonton menyelami perjalanan Alif, Putri dan Taqy, tiga warga Malaysia yang terperangkap dalam sistem pemerdagangan manusia yang kejam di Korea Selatan. Jerat sindiket yang mengambil kesempatan atas keterdesakan hidup menjadi tulang belakang penceritaan yang intens dan menyentuh nurani.

Barisan pelakon yang menghuni naskhah ini cukup berwarna, antaranya Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh dan Shaharudin Jamaludin.

Lebih menarik, produksi ini turut melibatkan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia. Antaranya Hyunjun Sun dari Korea Selatan, Ninja daripada boyband SuperThai, serta Naufal Samudra dari Indonesia. Penggambaran yang turut berlangsung di Korea Selatan membuka ruang kolaborasi antara kru Malaysia dan negara tersebut.

Menurut Pengasas Key Billions, Eddie Yap, keputusan menerbitkan filem ini lahir daripada keprihatinan terhadap isu yang jarang diketengahkan dalam karya tempatan.

“Saya melihat cerita mengenai sindiket penipuan kerja di luar negara jarang dihasilkan, sedangkan ia satu masalah yang cukup besar dan membimbangkan. Jadi, menerusi Tiket Sehala, sekurang-kurangnya dapat memberi kesedaran buat seseorang individu untuk lebih berhati-hati jika menerima tawaran bekerja di luar negara,” jelasnya.

Beliau turut menambah bahawa penglibatan kru produksi Korea Selatan memberi peluang kepada tenaga kerja tempatan mempelajari pendekatan baharu dalam aspek teknikal dan penceritaan. “Gabungan tersebut memberikan pengalaman kru produksi Malaysia mempelajari sesuatu yang baharu daripada pihak luar agar dapat meningkatkan lagi kualiti filem tempatan pada masa akan datang,” katanya. 

Majlis tersebut turut menyaksikan pengumuman penubuhan Key Billions Distribution sebagai cabang baharu syarikat. Jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life diserahkan kepada pengedar lain, kali ini Tiket Sehala akan diurus sepenuhnya oleh Key Billions Distribution termasuk promosi dan tayangan.

Eddie menjelaskan bahawa entiti baharu ini juga akan mengedarkan filem-filem lain, termasuk Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal menemui penonton tidak lama lagi. “Dengan tertubuhnya Key Billions Distribution ini menjadi penanda aras yang menunjukkan kami serius untuk membangunkan industri perfileman. Kami turut mengalu-alukan mana-mana penerbit yang mahu menggunakan khidmat kami,” ujarnya.

Acara pelancaran turut dimeriahkan dengan persembahan robot istimewa oleh Shadow Combat League. Platform hiburan sukan baharu ini menggabungkan sukan tempur, permainan dan teknologi, dikuasakan oleh Virtuals dan dibina atas rangkaian blockchain Base. Pendekatan inovatif tersebut memperlihatkan bagaimana elemen teknologi boleh disatukan dengan hiburan secara futuristik.

Majlis berbuka yang bermula dengan doa dan santapan akhirnya beralih menjadi ruang refleksi terhadap isu kemanusiaan global. Tiket Sehala hadir sebagai peringatan bahawa setiap tawaran indah tidak semestinya membawa pulang bahagia, kadangkala ia cuma tiket menuju lorong gelap yang memerlukan keberanian untuk dihadapi.

Comments
* The email will not be published on the website.