oleh: zizi hashim
12 May
12May

Obsesi ibu bapa terhadap kejayaan anak kadangkala membuat manusia sanggup melakukan apa sahaja, termasuk mempercayai perkara yang logiknya sendiri sudah tahu mustahil. Dalam dunia yang terlalu mengejar keputusan cemerlang dan status 'anak berjaya', tekanan perlahan-lahan berubah menjadi sesuatu yang lucu, pelik dan kadangkala memakan diri sendiri. Dari kegilaan itulah '5 BOMOH' muncul membawa satira komedi yang penuh kekecohan, sindiran sosial dan huru-hara yang semakin tidak masuk akal.

Menerusi teaser rasmi yang baru dilancarkan, filem arahan Syed Fariz itu mula mencuri perhatian ramai dengan atmosfera komedi gilanya yang terasa dekat dengan realiti masyarakat hari ini. Hanya beberapa minit teaser sudah cukup memperlihatkan bagaimana sebuah keluarga boleh terjebak dalam kekalutan besar hanya kerana terlalu obses mahu melihat anak score cemerlang dalam peperiksaan.

“1A, RM100… 8A jadi RM800. Mashukkkk!”

Dialog tersebut terus menjadi bahan bualan netizen selepas teaser dilancarkan, memperlihatkan bagaimana filem ini bermain dengan humor sinis tentang budaya terlalu taksub terhadap keputusan akademik. Dalam dunia '5 BOMOH', peperiksaan bukan lagi soal usaha atau pembelajaran, tetapi sudah bertukar menjadi 'pelaburan' penuh tipu daya dan janji palsu.

Kisahnya berpusat kepada seorang bapa yang terlalu mahu melihat anaknya memperoleh keputusan cemerlang SPM hingga akhirnya mula percaya kepada bomoh scammer yang menjanjikan jalan pintas luar biasa. Pada awalnya, semuanya kelihatan seperti penyelesaian mudah. Namun sedikit demi sedikit, keadaan mula bertukar menjadi huru-hara apabila setiap tindakan mereka membuka lebih banyak masalah yang tidak dijangka.

Apa yang membuat '5 BOMOH' terasa lebih menarik adalah bagaimana ia menyelitkan sindiran sosial dalam balutan humor yang ringan dan menghiburkan. Di sebalik kekecohan dan lawak absurd yang dipaparkan, filem ini sebenarnya sedang berbicara tentang masyarakat yang terlalu takut gagal hingga mudah dimanipulasi oleh janji-janji palsu.

Barisan pelakonnya juga menjadi antara faktor utama keterujaan penonton terhadap filem ini. Aaron Aziz tampil memegang watak utama bersama Scha Alyahya dan Ungku Hariz yang masing-masing membawa energi komedi tersendiri. Lebih menarik, Khairy Jamaluddin turut mencuri perhatian menerusi kemunculannya dalam filem ini bersama nama-nama besar lain seperti Afdlin Shauki, Amy Search, Aedy Ashraf, Jozlyn Hanania dan Tiara Suraya.

Gabungan pelakon dari latar berbeza itu menjadikan atmosfera filem terasa lebih hidup, chaotic dan penuh kejutan. Setiap karakter membawa kegilaan masing-masing hingga menjadikan dunia '5 BOMOH' seperti sebuah kekacauan yang semakin lama semakin sukar dikawal.

Dari sudut visual pula, teaser rasmi filem ini sudah memberi bayangan bahawa penonton bakal dibawa masuk ke dalam pengalaman komedi yang bukan sekadar mahu membuat orang ketawa, tetapi juga menyindir realiti masyarakat secara nakal dan tajam. Dalam dunia yang semakin obses dengan kejayaan segera, '5 BOMOH' hadir mengingatkan bahawa kadangkala manusia bukan gagal kerana kurang usaha… tetapi kerana terlalu mudah percaya kepada jalan pintas.

Comments
* The email will not be published on the website.