oleh: zizi hashim
Kopi, aroma wanginya sangat menggoda, mengasyikkan, seolah-olah menjanjikan kehidupan yang lebih tenang dari hiruk-pikuk dunia pejabat. Maka berbondong-bondonglah mereka yang lelah di menara kaca, turun ke jalanan, membina impian dalam cawan seramik bernama kedai kopi. Ia nampak indah dari luar—aesthetic, santai, kononnya mudah dikendali. Tapi siapa sangka, di balik buih susu dan kepulan espresso, tersimpan kisah getir yang tidak semanis sirap karamel.
“Bru”, sebuah drama Tonton Original, merungkai sisi yang jarang disuluh. Kisah pedih yang disorok di sebalik senyuman barista. Diterajui oleh Shukri Yahaya sebagai Shah, siri ini menyelam jauh ke dasar kejujuran dan kecelaruan yang sering menjadi mimpi ngeri pengusaha kecil. Shah, seperti ramai yang lain, terjun ke lautan perniagaan tanpa pelampung ilmu. Dia hanya bersandarkan angan dan ilusi Instagram; tanpa pelan, tanpa panduan, hanya mengharap tuah akan berpihak.
Namun, langit tidak selalu cerah. Keputusan Shah yang sembrono, termasuk membeli mesin kopi baharu tanpa berunding dengan rakan kongsi telah mencetus gelombang konflik yang menggoyah akar Bru. Yang lebih menyakitkan, pembelian itu dibiayai bukan dengan wangnya sendiri, tetapi dari gaji Hani (Siti Hariesa), rakannya sendiri. Sebuah tindakan yang bukan sekadar cuai, tapi menelanjangkan keegoan yang meracuni banyak hubungan dalam dunia niaga. Bersama Ajan (lakonan mantap Amerul Affendi), ketiga-tiganya mewakili dinamika perniagaan kecil yang sering kali dibayangi impian tetapi dilanda realiti yang lebih tajam dari pisau dapur.
“Bru” tidak sekadar mengetengahkan kisah sebuah kafe kecil, ia menyingkap akar kegagalan yang sebenar. Pengurusan wang yang kelam-kabut, keputusan terburu-buru dan pengkhianatan dalam diam. Ia mencerminkan bisnes sebenar di luar sana yang mengabaikan tanggungjawab: tidak membayar KWSP pekerja, tidak menjaga kebajikan staf, bahkan sanggup mengorbankan kepercayaan demi keuntungan yang sementara. Dalam setiap dialog dan babak, terpantul wajah mereka yang pernah jatuh dalam dunia bisnes kerana tersalah langkah yang kelihatan kecil tetapi berkesan memusnahkan.
Apa yang terjadi kepada "Bru" bagaikan satu epilog bagi ramai yang pernah mengimpikan kafe sendiri. Ia satu tamparan lembut tetapi pedih bahawa semangat sahaja tidak cukup, dan estetika tidak mampu menyelamatkan perniagaan yang pincang di dalam. Tanpa asas kukuh, disiplin tegas dan hati yang jujur, impian akan gugur seperti buih di atas cappuccino yang terbiar.
Kini, nasib "Bru" tergantung di hujung episod. Apakah Shah akan sedar dan menebus kesilapan? Mampukah kafe itu terus bernafas, atau hanya tinggal sejarah yang dikunyah waktu? Dua episod terakhir bakal menjawab persoalan ini.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan kesudahan drama penuh ibrah ini, "Bru" yang akan menghiasi skrin anda pada 2 Jun 2025, hanya di Tonton, setiap Isnin dan Khamis. Langgan dengan hanya RM9.90 sebulan dan biarkan kisah ini menyusup ke dalam sanubari anda, seperti pahit kopi yang mengajar kita erti kejujuran, kecekalan dan jatuh bangun sebuah impian.