Tiket Laris Dalam Masa 2 Jam, Konsert Kasih Kekasih Inteam Pindah Lokasi Lebih Besar

oleh: zizi hashim

Inteam, 4 suara yang telah menjelajah 2 dekad bersama irama nasyid,  sekali lagi membuktikan bahawa kasih yang jujur, walau ditelan waktu, tetap punya tempat di hati manusia. Apa yang dirancang sebagai sebuah malam sederhana di lokasi awal, bertukar menjadi lautan harapan yang melimpah. Tiket habis terjual dalam durasi 2 jam, seolah-olah seluruh kenangan 25 tahun meledak dalam satu detik, menandakan bahawa irama 'Kasih Kekasih' bukan sekadar dikenang, tetapi masih dinanti dengan penuh rasa.

Melihat sambutan luar biasa itu, Inteam tidak berpaling. Mereka tidak memilih untuk menolak atau membataskan limitasi. Sebaliknya, mereka mengatur langkah lebih besar dengan memindahkan konsert ke IdeaLive, Petaling Jaya, sebuah ruang serba moden yang mampu memuatkan sehingga 5,000 jiwa, dan menukar tarikh kepada 28 September 2025, demi memastikan setiap denyut rindu peminat diberi ruang untuk diraikan.

Dan begitulah, dalam sidang media yang berlangsung baru-baru ini, dilimpahkan rasa syukur yang tidak dibuat-buat. Barisan Inteam, yang telah berjuang memastikan muzik nasyid terus subur sejak tahun-tahun awal Reformasi, kini berdiri sebagai saksi kepada cinta peminat yang tak pernah luntur. “Peminat mencadangkan malam kedua. Ada yang mohon kami cari dewan lebih besar. Kami dengar, kami teliti… lalu kami pilih untuk berpindah demi mereka,” ujar jurucakap Inteam dengan nada yang sarat penghargaan.

Kasih Kekasih 25 Tahun bukan sekadar pesta lagu. Ia adalah perayaan ketulusan, perjalanan dakwah yang ditempa dengan airmata, kejujuran lirik, dan suara yang tetap bernafas walau dihimpit zaman. Lebih 25 lagu akan dipersembahkan, lagu-lagu lama yang pernah menenangkan, dipadu dengan penampilan istimewa anak kepada Allahyarham Suhaimi Saad, sahabat dan saudara seperjuangan yang pernah menjadi nadi Inteam suatu masa dahulu. Beberapa artis jemputan turut dirahsiakan sebagai kejutan, satu elemen yang bakal menambah haru dan gemuruh dalam dewan nanti. Dan kepada pemilik tiket awal, jangan khuatir. Tempat duduk akan dinaik taraf secara automatik dan akan ada hadiah istimewa daripada Aplikasi Khair, sebagai tanda terima kasih dari hati yang tulus.

Peminat yang terlepas peluang sebelum ini, bolehlah bersiap sedia pada 14 Jun 2025, apabila tiket baharu mula dijual melalui platform Ticket Empire menerusi laman rasmi konsert: www.kasihkekasih.com. Harga kekal berpatutan, tapi nilainya tak ternilai jika diukur dengan kenangan dan getaran jiwa yang bakal terbit malam itu. Konsert ini juga tidak berdiri sendiri. Ia disokong oleh tangan-tangan yang percaya – MINAZ Sdn Bhd selaku penaja utama, serta rangkaian radio Astro: Zayan, Era, Sinar dan Gegar sebagai rakan rasmi media. Dan Aplikasi Khair, yang bukan sahaja menaja perjalanan Inteam ke Perth dan New Zealand, tetapi turut membuka jalan kolaborasi yang lebih luas.

Inteam juga membuka pintu buat mana-mana pihak yang mahu menyumbang, menaja, atau berjalan seiring dalam Jelajah Konsert Kasih Kekasih Malaysia, yang sedang dirancang selepas ini. Malam 28 September nanti bukan sekadar temu janji dengan nostalgia. Ia adalah kesempatan untuk menatap kembali diri yang dulu, yang pernah mencari erti, yang pernah menitis airmata saat lagu Kasih Kekasih dimainkan di radio kereta, di waktu senyap, di hari-hari sunyi.

Dan jika masih belum berpeluang merasai malam itu, Inteam menitipkan harapan penuh kasih, “Jangan risau, insya-Allah kita akan bertemu dalam konsert jelajah pula nanti.” Sungguh, kasih itu tak pernah hilang, ia hanya menunggu untuk dihidupkan kembali… dengan suara, dengan lagu, dan dengan hati yang bersedia menerima.

Foto Kredit: Subky Hj. Bebit