Balada Cinta Richard Marx Sambut Jubli Intan Ke-60 Di Puncak Genting Highlands 16 Ogos 2025 Ini

oleh: zizi hashim

Bukan angin sejuk di puncak Tanah Tinggi Genting yang bakal meremangkan bulu roma pada malam tanggal 16 Ogos 2025 itu nanti, tetapi suara seorang legenda yang pernah jadi 'runut bunyi' kehidupan ramai insan. Berbekalkan melodi dan lirik yang mudah dihafal, getaran emosi yang terpahat jauh di ruang hati, membalut memori yang enggan pergi. Dan pada malam itu nanti, gema kenangan itu bakal hidup kembali, sewaktu Resorts World Genting mengangkat tirai sambutan Jubli Intan ke-60 mereka dengan satu nama yang cukup sarat makna bagi ribuan pencinta muzik di seluruh dunia, Richard Marx.

Di Arena of Stars, jam 9 malam yang dijanjikan, Richard Marx akan menganyam semula setiap serpihan nostalgia dengan irama yang pernah membuat dunia berhenti sejenak suatu ketika dahulu. Lebih 3 dekad lalu, seorang lelaki muda dengan rambut kusut dan jiwa sentimental menulis lagu yang menyelinap masuk ke radio-radio seluruh dunia. “Right Here Waiting” bukan sekadar balada cinta, ia jadi pelarian emosi, pengubat rindu, malah doa dalam bentuk nyanyian bagi ramai yang sedang kehilangan. Dari situ, nama Richard Marx tidak pernah benar-benar tenggelam.

Dengan lebih 30 juta album terjual, anugerah Grammy di tangan, serta rentetan lagu ikonik seperti “Now and Forever”, “Hazard”, dan “Endless Summer Nights”, Richard Marx adalah simfoni hidup yang terus bergema melintasi zaman. Malam eksklusif di Genting ini bukan sahaja akan menghidupkan semula lagu-lagu itu, tapi turut mengalirkan semangat baru kepada para peminat, yang tua mahupun muda, yang mengenal cinta pertama sewaktu kaset masih berputar, atau yang menemui lagunya di YouTube lewat malam sewaktu jiwa tidak tenteram.

Sambutan ulang tahun ke-60 Resorts World Genting adalah seperti helaian novel yang ditulis dengan teliti. Setiap tahun adalah babak yang menyimpan ratusan ribu kisah. Pertemuan, perpisahan, gelak ketawa, air mata, harapan dan pengakhiran. Dan kini, di pentas yang pernah menyaksikan beribu persembahan, RWG memilih untuk menutup satu dekad emasnya dengan momen yang tak akan mudah dilupakan: konsert tunggal Richard Marx.

Bukan mudah untuk merangkum 6dekad dalam satu malam. Tapi dengan irama yang merentas zaman, suaranya akan jadi jambatan antara dahulu dan kini. Malam itu bukan hanya tentang muzik, ia adalah penghormatan kepada semua yang pernah bertemu cinta di sana, atau yang pernah duduk di kerusi Arena of Stars dan berkata dalam hati, “Aku ingin kembali.” 

Tiket untuk malam bersejarah ini tersedia pada harga RM1,188 (VIP), RM888 (PS1), RM768 (PS2), RM588 (PS3) dan RM368 (PS4). Untuk pemegang kad Genting Rewards Gold ke atas dan pengguna VISA, peluang memiliki tempat terbaik terbuka lebih awal pada 4 Jun 2025, jam 12 tengah hari. Diskaun 15% juga diberikan kepada ahli GRC untuk kategori VIP hingga PS3, namun hanya satu kadar istimewa dibenarkan bagi setiap transaksi. Waktu jualan umum bermula 9 Jun 2025. Tapi jika hatimu sudah pun berdetak laju hanya dengan membaca bait-bait lagu lama Richard Marx, maka jangan tunggu sehingga terlambat. Kerna seperti cinta sejati, tempat duduk malam itu tidak akan menunggu.

Lagu-lagu malar segar Richard Marx kekal hidup dalam jiwa seperti embun yang tidak pernah kering, seperti matahari yang tetap muncul walau diliputi awan mendung. Mungkin kerana dia menulis dengan hati. Mungkin kerana suaranya mengerti luka yang tersembunyi. Apa pun alasannya, pada malam 16 Ogos 2025 itu, Genting akan jadi medan waktu. Dan kita sebagai peminat, pengembara memori, pencinta irama abadi akan duduk bersama, membiarkan lagu-lagu itu memeluk kita sekali lagi. Kerana ada malam yang tidak dicipta untuk dilupakan. Dan ini, adalah salah satunya.