oleh: zizi hashim
Petanda ribut sudah pun berhembus sejak Oktober 2024, saat Peluru Cokelat, album sulung Barbarik meletup ke persada muzik tanahair. Kini, gegaran yang lebih besar bakal meletus di jantung ibu kota. Pada malam Sabtu, 28 Jun 2025, jam 8.45 malam, Zepp Kuala Lumpur akan menjadi medan pelancaran roket rock yang tak mengenal erti kata berhenti. Barbarik, nama yang mungkin kedengaran baharu di lidah, tapi berisi darah dan jiwa para legenda yang telah mendaki gunung industri muzik lebih dari 40 tahun. Mereka bukan datang untuk sekadar memperdengarkan lagu, mereka datang membawa persaingan, semangat, dan kematangan yang terbentuk dari jalan yang panjang dan luka yang mendewasakan.
Setiap pentas yang mereka injak sebelum ini menjadi cerita, kisah tentang bagaimana pengalaman dan kekuatan fizikal boleh bersatu dalam satu tubuh seni yang menggila. Maka tidak hairanlah apabila konsert ini dipilih sebagai pementasan utama, bukan sahaja meraikan kelahiran album sulung mereka, tetapi juga sebagai tanda bahawa Barbarik bukan bayang-bayang nostalgia, mereka adalah wajah baharu rock Malaysia yang terus hidup dan bernafas.
Konsert berdurasi 2 jam ini akan menghidangkan lebih 20 buah lagu, sebuah perjalanan bunyi yang mengikat masa lalu dan masa kini. Gandingan 2 ikon, Muss dan Jo Branko, akan membawa para penonton menyusuri trek yang melontarkan perasaan dan kenangan, disokong oleh Rozaimi dan Ainol, serta barisan pemuzik undangan yang menjadikan pentas ini lebih dari sekadar pertunjukan. Ini adalah jamuan sonik yang penuh emosi dan kuasa.
Dan dalam segmen khas ‘Retro Akustika’, penonton akan dibawa meniti garis masa dari dekad 80an ke 90an melalui susunan lagu malar segar yang dihidupkan kembali dengan susunan akustik bersama Shah Slam, Ujang Tukimon, Muzza dan Jo Branko sendiri. Diiringi oleh 8 pemain string octet, momen ini dijangka menjadi antara detik paling menggugah malam itu kerana nostalgia, bila disentuh dengan jujur, mampu menggetarkan jiwa yang paling keras.
Malam itu juga akan menyaksikan kemunculan semula Karl Cromok, gitaris yang namanya terpahat kemas dalam sejarah metal Malaysia. Karl bukan sahaja terlibat dalam rakaman Peluru Cokelat, tetapi juga akan turut menghentak pentas bersama Barbarik untuk lagu “Golok Kayu”. Kembali dari jejak Cromok sejak tahun 1987 di Australia hingga ke tanah air, Karl adalah simbol semangat rock yang terus mekar, dia adalah sebahagian daripada nadi yang mengalir dalam Barbarik.
Turut melengkapi barisan ‘Retro Akustika’ adalah Shah Slam, yang menandai zaman bersama Exist dan Slam, membawa kembali kenangan tentang cinta, kehilangan dan perjuangan hidup. Ujang Tukimon pula mewakili sisi teknikal yang halus, pemuzik klasik dari Pengerang ini telah mengemudi banyak projek besar termasuk persembahan kompang terbesar negara. Sementara itu, Muzza, anak muda yang lahir dari dunia digital, membuktikan bahawa semangat rock tetap relevan dalam tubuh generasi baharu. Mereka bertiga akan mencipta dimensi baharu dalam persembahan petang itu, bukan sekadar bermain gitar, tetapi meniup semangat dengan setiap tali yang dipetik.
Konsert ini dibawa oleh Karri Talk Production dengan kerjasama Pentas Barbarik Sdn Bhd. Konsert ini adalah medan letupan bagi para jiwa yang tidak pernah rela tunduk dengan hanya berdiam diri. Para penonton bukan hanya akan menyaksikan persembahan, mereka akan menjadi saksi kepada sebuah peristiwa. Untuk mereka yang mahu menyertai gelombang ini, berikut adalah kategori tiket:
Tempahan VIP Box hanya boleh dibuat secara offline dengan menghubungi Jat di talian +6011 5502 5020. Bagi kategori lain, pembelian boleh dilakukan melalui laman ilassotickets.com.
Sebagai bonus untuk peminat setia, sesi 'Meet & Greet' eksklusif bersama anggota Barbarik akan berlangsung pada Ahad, 29 Jun 2025, jam 2.00 petang di Heritage Club, Royal Chulan KL. Hanya 200 orang tetamu akan diterima masuk dengan bayaran RM100 seorang. Tempahan boleh dibuat secara berasingan melalui nombor Jat yang sama. Ini bukan malam biasa. Ini adalah malam di mana peluru-peluru cokelat dilepaskan ke langit gelap Kuala Lumpur, meledak dan meletup sebagai tanda bahawa rock, dalam segala keberaniannya, masih punya tempat, masih punya taring.
Anda mahu rock? Datanglah dan rasakan sendiri apa makna Barbarik di pentas yang sebenar.