Tumbuh di Langit Sendiri, Converse All Stars Kelas ’26 Rangkai Suara Dan Cahaya Baharu

oleh: zizi hashim

Suatu petang tanggal 18 Oktober 2025 di tengah hiruk-pikuk kota, ruang kecil itu menjadi tempat segala suara muda bertemu dan bergetar bersama. Bukan pesta besar, bukan juga majlis formal, namun ada sesuatu yang hidup di sana: semangat untuk mencipta, keberanian untuk berkongsi, dan keinginan untuk difahami. Di sinilah Converse Malaysia memperkenalkan All Stars Class of ’26, sebuah komuniti baharu yang membawa erti tersendiri kepada kata penciptaan. Kelompok pencipta yang akan membawa gerakan kreatif ini ke bab seterusnya.

Mereka datang dari pelbagai arah. Ada pelukis, pemuzik, pembikin filem, pereka dan pemain papan selaju, bersatu dalam satu kepercayaan bahawa seni adalah bahasa yang melampaui bentuk dan latar. Dan dari ruang kecil yang berdenyut dengan warna itu, tercipta satu naratif baharu: generasi muda yang tidak menunggu peluang, tetapi berani membinanya sendiri.

Bukan sekadar himpunan bakat muda, tetapi satu komuniti yang datang dengan tekad untuk menulis kisah sendiri di langit yang mereka cipta. Program global Converse All Star yang berakar dari falsafah “Create Next” berfungsi sebagai platform penghubung antara bakat kreatif muda dengan peluang nyata, ruang di mana seni, muzik, reka bentuk, filem, dan ekspresi jalanan dapat bertaut menjadi satu ekosistem. Sejak dimulakan di peringkat antarabangsa, inisiatif ini telah menghubungkan ribuan pencipta dari pelbagai negara, dari New York ke Seoul, dari Jakarta ke Kuala Lumpur. 

Kini, giliran Malaysia menyambut generasi baharunya, All Stars Class of ’26 yang mewakili semangat muda, kebebasan, dan keaslian. Suasana di ruang acara yang hangat dan bersahaja itu terasa seperti perhimpunan keluarga besar. Wajah-wajah muda yang hadir bukan sekadar penonton; mereka adalah pelaku seni yang akan menggerakkan budaya tempatan. Para peserta diperkenalkan kepada falsafah dan nilai All Star iaitu keikhlasan dalam berkarya, keberanian bereksperimen, serta tanggungjawab terhadap komuniti.

“Program ini diwujudkan untuk memperkasakan pencipta muda agar mereka mendapat akses kepada ilmu, mentor, dan peluang kolaborasi di dunia sebenar,” ujar wakil rasmi Converse Malaysia. “Kami mahu mereka berani mencuba, berani gagal, dan berani menjadi diri sendiri kerana dari situlah lahir kreativiti sejati.” Antara wajah yang diundang untuk menginspirasi ialah Jayee, atau lebih dikenali sebagai MonKiddo, seorang pengarah seni dan ilustrator yang terkenal dengan gaya visualnya yang berani dan berimaginasi tinggi. Karyanya telah mewarnai pelbagai kolaborasi kreatif, dan pada petang itu, beliau berbicara tentang erti keseimbangan antara kreativiti dan realiti hidup.

“Bagi saya, seni bukan tentang mencari makna, tapi tentang mencipta ruang untuk bernafas. Kadang idea terbaik datang dari tempat paling rawak,” kata MonKiddo sambil ketawa kecil, namun setiap bait katanya menyalakan semangat hadirin muda yang mendengar.

Sesi berikutnya menampilkan Dr. Kamal Sabran, pemuzik eksperimental dan saintis bunyi di sebalik projek Space Gambus Experiment, sebuah gabungan mistik antara tradisi dan futurisme sonik. Beliau berbicara tentang bagaimana setiap nada boleh menjadi jambatan antara masa lalu dan masa depan. “Bunyi tradisional kita punya roh. Bila digabungkan dengan teknologi moden, ia bukan kehilangan jiwa, ia berevolusi,” katanya. “Seni adalah tentang keberanian untuk mencipta semula, tanpa takut hilang akar.”

Acara ini turut diserikan dengan tayangan eksklusif Love Chuck Skate Tour, sebuah dokumentari mini yang mengangkat komuniti papan selaju di Malaysia dan Singapura. Filem ini menyorot perjalanan peluncur-peluncur muda yang menjadikan jalan raya sebagai kanvas ekspresi mereka, tempat di mana jatuh dan bangun menjadi bahasa persahabatan dan semangat. Sorakan dan tawa penonton pecah setiap kali aksi berani muncul di layar, mengingatkan semua bahawa kreativiti juga tentang jatuh dan bangkit, tentang keberanian meluncur walau tak pasti di mana garis penamatnya.

Menjelang malam, suasana menjadi lebih magis. Space Gambus Experiment mengambil alih pentas, menyatukan irama gambus dan lapisan elektronik yang bergetar halus, seakan membawa penonton ke ruang orbit yang tenang dan spiritual. Setiap petikan tali gambus mengalun kisah, setiap gelombang bunyi elektronik mencipta dimensi baru seperti pertemuan masa lalu dan masa depan dalam satu tarikan nafas.

Malam diteruskan dengan persembahan The ExAct, band indie rock yang membawa tenaga muda yang mentah dan tulus. Lagu-lagu mereka menutup acara dengan semangat kebebasan yang liar namun jujur seolah-olah seluruh ruang menari bersama irama yang tak mahu padam. Antara wajah yang hadir malam itu termasuklah alumni All Star sebelumnya, pereka muda, aktivis seni dan rakan media yang telah lama menyokong gerakan kreatif tempatan. Banyak momen spontan terjadi,  pertukaran kad nama, pelukan, perbualan kecil tentang idea kolaborasi masa depan.

Lebih daripada sekadar pelancaran, malam itu terasa seperti satu perayaan komuniti di mana Converse menjadi pemangkin, tetapi bintang sebenar adalah mereka yang hadir dengan semangat ingin mencipta. “Converse All Star adalah gerakan tanpa sempadan,” tambah wakil Converse. “Ia bukan tentang siapa paling popular, tapi siapa paling jujur dengan karya. Kami mahu setiap All Star meninggalkan jejak dalam komuniti mereka. Tidak besar, tetapi bermakna.”

Bagi peserta Kelas ’26, malam itu hanyalah permulaan. Sepanjang tahun-tahun mendatang, mereka akan terlibat dalam bengkel, kolaborasi jenama, dan pelbagai inisiatif seni yang dirangka khusus untuk mengembangkan suara masing-masing. Setiap projek akan disokong oleh mentor, jaringan antarabangsa dan platform global Converse yang beroperasi di lebih 60 negara.Konsep “Create Next” yang menjadi nadi program ini bukan sekadar slogan. Ia adalah falsafah. Ia mengajak setiap pencipta untuk menjadi penerus, bukan pengikut. Untuk menulis bab baru dalam budaya, bukan mengulang kisah lama.

Ketika malam berakhir, bintang-bintang Kelas ’26 bersurai dengan mata yang bersinar. Mungkin keletihan, tetapi penuh inspirasi. Seperti langit yang baru disapu warna baharu, setiap daripada mereka membawa secebis sinar untuk disambung di tempat lain, di waktu lain. Kerana di dunia yang dipenuhi bunyi dan imej tanpa henti, mereka memilih untuk menjadi suara yang jujur. Dan di situlah Converse All Stars Class of ’26 mula menulis kisahnya sendiri.