Spritzer EcoPark Ajak Rakyat Malaysia Raikan Syawal Di Tengah Alam Semula Jadi

oleh: zizi hashim

Kerinduan terhadap suasana kampung sering menjadi emosi paling halus setiap kali Aidilfitri menghampiri. Aroma tanah selepas hujan, kehijauan pepohon serta hiasan tradisional yang mengingatkan kepada halaman rumah lama, semuanya seakan membisikkan cerita tentang pulang dan kebersamaan. Semangat itulah yang cuba dihidupkan semula oleh Spritzer Berhad menerusi sambutan Hari Raya di Spritzer EcoPark, sebuah destinasi alam semula jadi yang bakal berubah wajah menjadi ruang perayaan penuh warna.

Terletak di Taiping, bandar yang terkenal sebagai kawasan dengan taburan hujan tertinggi di Malaysia, Spritzer EcoPark menawarkan suasana yang segar dan damai, jauh daripada kesibukan kota. Bermula 10 Mac 2026, taman ini dihiasi dengan pelbagai dekorasi tradisional Aidilfitri yang membangkitkan nostalgia pulang ke kampung.

Ketupat beranyam, pelita klasik, pintu gerbang bercorak bulan sabit serta arca wau berwarna-warni menghiasi setiap sudut taman, menghasilkan panorama yang seolah-olah membawa pengunjung menyelusuri lorong kenangan masa lalu. Sentuhan dekorasi ini menambahkan kehangatan suasana Syawal, sekali gus menghidupkan kembali rasa kekitaan yang sering menjadi nadi sambutan Hari Raya.

Keindahan taman yang dikelilingi kehijauan alam semula jadi memberikan pengalaman yang berbeza buat pengunjung. Setiap langkah di laluan taman terasa seperti jeda daripada kesibukan kehidupan bandar. Pengunjung boleh berjalan santai, menghirup udara segar serta meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan sahabat tanpa sebarang bayaran masuk.

Menurut Ketua Perhubungan Awam Spritzer, Winnie Chin, idea ini lahir daripada keinginan untuk menyediakan ruang alternatif bagi mereka yang tidak berpeluang pulang ke kampung halaman.

“Hari Raya merupakan waktu di mana orang ramai pulang ke kampung halaman atau menziarahi keluarga dan rakan-rakan untuk bersama-sama meraikan hari yang mulia. Namun, dengan peningkatan urbanisasi serta faktor jarak, tidak semua berpeluang untuk sering pulang ke kampung halaman. Melalui Spritzer EcoPark, kami berharap dapat menyediakan destinasi alternatif yang dapat memupuk semangat kebersamaan dan kekitaan dalam suasana di mana pengunjung boleh menenangkan fikiran, mengeratkan hubungan dengan orang tersayang serta menikmati musim perayaan di dalam persekitaran semula jadi yang menyegarkan,” katanya.

Kemeriahan di taman ini tidak terhenti pada dekorasi semata-mata. Sepanjang 19 hingga 29 Mac 2026, pelbagai aktiviti istimewa turut dianjurkan bagi menghidupkan lagi suasana perayaan. Antara yang paling menarik ialah bengkel DIY dan kraf bertemakan Hari Raya, sebuah aktiviti kreatif yang memberi peluang kepada ahli keluarga menghasilkan cenderahati raya mereka sendiri. Aktiviti ini bukan sahaja menggalakkan kreativiti, malah menjadi ruang interaksi yang menyenangkan antara generasi.

Pengunjung juga boleh meneroka kawasan taman dengan menaiki Paddle Cart sambil menikmati pemandangan hijau yang luas terbentang. Bagi mereka yang gemarkan aktiviti santai, Padang Mini Golf 18 lubang yang menjadi salah satu tarikan popular taman ini turut menawarkan pengalaman unik dengan penggunaan bola golf LED edisi terhad. Bola golf bercahaya ini bukan sekadar peralatan permainan, malah dijadikan sebagai cenderamata eksklusif yang boleh dibawa pulang sebagai kenangan manis daripada kunjungan ke taman tersebut.

Sebelum meninggalkan taman, pengunjung boleh singgah ke Water Shop untuk mendapatkan pelbagai produk minuman keluaran Spritzer bagi memastikan tetamu rumah terbuka kekal segar sepanjang musim perayaan. Souvenir Shop pula menawarkan pelbagai barangan eksklusif yang sesuai dijadikan hadiah atau tanda kenangan.

Sinaran lampu hiasan yang menyuluh dekorasi raya di tengah kehijauan taman menjadikan suasana malam di EcoPark terasa begitu memikat. Gabungan elemen alam semula jadi, kreativiti dekorasi serta aktiviti komuniti memperlihatkan komitmen Spritzer dalam mencipta pengalaman yang menyatukan masyarakat. Spritzer EcoPark akhirnya menjadi lebih daripada sekadar taman rekreasi. Ia berubah menjadi ruang pertemuan yang menyatukan keluarga, sahabat dan komuniti dalam semangat Syawal yang penuh makna.

Aidilfitri kali ini mungkin dirayakan dengan cara yang sedikit berbeza: dikelilingi pepohon hijau, dihiasi lampu pelita dan diiringi tawa orang tersayang. Spritzer EcoPark mengajak seluruh rakyat Malaysia membawa kamera, keluarga dan semangat lebaran untuk menikmati sebuah sambutan Syawal yang damai dan menyegarkan.