
oleh: zizi hashim
Langit petang di Hulu Klang perlahan-lahan berubah warna ketika saya melangkah memasuki perkarangan kawasan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia di Dataran Karyawan. Suasana yang pada awalnya terasa sederhana tiba-tiba berubah hangat apabila wajah-wajah yang pernah menghiasi layar televisyen dan pentas muzik tanahair mulai memenuhi ruang. Ramadan memang selalu membawa orang kembali bertemu, namun malam itu terasa lebih istimewa. Bagai terlihat seluruh industri seni Malaysia berkumpul di satu meja panjang yang penuh kenangan.
Majlis Iftar Karyawan 2026 anjuran Persatuan Karyawan Malaysia dengan kerjasama FINAS berlangsung pada 8 Mac 2026 di Hulu Klang. Undangan daripada Presiden Karyawan, Freddie Fernandez, menghimpunkan ramai penggiat seni lama dan baharu dalam suasana yang seumpama perjumpaan keluarga besar. Wajah-wajah yang pernah menceriakan dunia hiburan Malaysia suatu ketika dahulu kelihatan berbual mesra, bertanya khabar dan saling berkongsi cerita. Ada yang masih aktif berkarya, manakala sebahagian lagi hadir dengan langkah yang semakin perlahan dek kerana faktor usia dan masalah kesihatan. Namun aura mereka tetap sama, aura yang pernah membentuk sejarah seni negara.


Petang itu bermula sekitar jam 5.00 dengan alunan nasyid dan lagu-lagu rohani yang menenangkan suasana. Tidak lama kemudian, seorang ustaz jemputan menyampaikan tazkirah Ihya’ Ramadan, mengingatkan hadirin tentang makna kesyukuran dan keikhlasan. Bacaan ayat suci Al-Quran mengisi ruang sebelum azan Maghrib berkumandang, diikuti solat berjemaah yang menyatukan semua yang hadir tanpa membezakan status atau generasi.
Secara peribadi, saya merasakan momen itu sangat menyentuh. Dunia hiburan sering dilihat sebagai pentas gemerlap, tetapi malam ini memperlihatkan sisi yang lebih manusiawi. Persahabatan yang terjalin lama dan rasa hormat yang tidak pernah pudar. Turut hadir memeriahkan majlis ialah tokoh-tokoh industri seperti Dato' Hans Isaac, Dato' Afdlin Shauki serta Pengerusi Karyawan Dato' Khatijah Ibrahim. Kehadiran mereka menambah seri acara yang pada asasnya bertujuan mempereratkan hubungan sesama warga industri kreatif.


Agenda paling menyentuh hati pada malam itu ialah sesi penyampaian sumbangan kepada artis. Inisiatif ini menjadi sebahagian daripada usaha berterusan Karyawan untuk menjaga kebajikan ahli-ahlinya, khususnya mereka yang berdepan cabaran kesihatan dan kewangan. Antara penerima sumbangan termasuk nama-nama yang pernah mengukir sejarah tersendiri dalam dunia seni seperti Zaiton Sameon, Jalil Hamid, Salleh Yaacob, Ali XPDC, Ebby Yus, Elyana dan beberapa lagi rakan artis yang pernah menyumbang kepada perjalanan industri seni tempatan.
Dalam ucapannya, Freddie Fernandez menegaskan bahawa majlis ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar berbuka puasa. “Majlis hari ini bukan sekadar acara berbuka puasa, tetapi merupakan platform penting untuk kita berkumpul dan bertanya khabar. Pemberian sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban rakan-rakan artis dan menunjukkan bahawa kebajikan mereka sentiasa menjadi keutamaan persatuan,” katanya. Sumbangan tersebut diharapkan mampu membantu meringankan kos kehidupan harian dan rawatan kesihatan para penerima, terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.



Malam semakin larut, namun suasana tidak surut. Segmen Open Mic yang dikendalikan oleh Emcee Helmi Gimmick membawa keceriaan tersendiri apabila beberapa penggiat seni tampil menyanyikan lagu-lagu raya secara spontan. Tawa dan tepukan bergema, menghidupkan kembali semangat yang pernah mewarnai industri hiburan suatu ketika dahulu. Oh ya, lebih istimewa lagi apabila juadah berbuka yang dihidangkan pada majlif Iftar Karyawan 2026 kali ini merupakan air tangan dari Dato' Khatijah Ibrahim sendiri atau lebih mesra di sapa 'Ibu Khaty' dikalangan rakan-rakan artis. Sungguh lazat dan serasi dengan selera semua.
Sokongan daripada FINAS terhadap penganjuran majlis ini memperlihatkan komitmen berterusan dalam menyediakan ruang bagi aktiviti yang memupuk kebersamaan komuniti seni tempatan. Persatuan Karyawan Malaysia sendiri sejak penubuhannya berfungsi sebagai organisasi yang memperjuangkan hak dan kebajikan penggiat seni dalam bidang muzik, lakonan dan seni persembahan. Program seperti Iftar Karyawan menjadi bukti bahawa perjuangan itu bukan sekadar slogan, tetapi usaha nyata untuk memastikan mereka yang pernah menceriakan kehidupan rakyat Malaysia tidak pernah dilupakan.


Saya meninggalkan majlis itu dengan perasaan yang sukar dijelaskan. Ramadan selalu mengajar manusia tentang syukur dan kasih sayang. Malam di Dataran Karyawan ini pula mengingatkan bahawa di sebalik gemerlap pentas, para penggiat seni tetap insan biasa yang menghargai persahabatan, kenangan dan perhatian daripada mereka yang tidak pernah melupakan jasa mereka. Terima kasih Karyawan atas undangan untuk bersama-sama meraikan keberkatan Ramadan. Semoga ada rezeki kita berjumpa lagi!
Foto Kredit: MegatzRevieW / FB