Cahaya Ramadan Gardenia Ringankan Beban 50 Keluarga Asnaf, Edar 138,500 Buku Roti Ke Masjid

oleh: zizi hashim

Keprihatinan terhadap masyarakat sering terserlah melalui tindakan yang sederhana tetapi membawa makna besar. Semangat itulah yang terus dipelihara oleh Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd. apabila meneruskan komitmen sosialnya sepanjang Ramadan menerusi Program Cahaya Ramadan 2026, sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan komuniti serta pengukuhan nilai kebersamaan dalam kalangan masyarakat.

Berpaksikan prinsip “Sentiasa Bersamamu”, Gardenia sekali lagi melaksanakan usaha kebajikan yang menyentuh kehidupan golongan memerlukan. Program Cahaya Ramadan kini memasuki tahun keenam pelaksanaannya sejak dimulakan pada 2021. Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 138,500 buku roti telah diagihkan kepada komuniti melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan kerjasama erat dengan masyarakat setempat.

Bagi tahun ini, sejumlah 30,000 buku roti Gardenia Original Classic diagihkan kepada 20 buah masjid terpilih di seluruh Semenanjung Malaysia. Pengagihan tersebut turut disertakan dengan sampul raya edisi terhad yang diberikan kepada para jemaah, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana Ramadan serta memberi sentuhan istimewa kepada pengalaman berbuka puasa bersama komuniti.

Inisiatif ini bergerak selari dengan semangat Ramadan yang menekankan nilai empati, keprihatinan serta tanggungjawab sosial terhadap masyarakat. Melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, Gardenia turut melaksanakan program khas Cahaya Ramadan: Sehari Bersama Gardenia, yang direalisasikan melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program tersebut bertujuan memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan secara tersusun dan berkesan. Menerusi inisiatif ini, Gardenia menyalurkan dana berjumlah RM25,000 kepada 50 keluarga asnaf, memberi mereka peluang memilih sendiri barangan keperluan Aidilfitri mengikut cita rasa serta keperluan masing-masing.

Aktiviti ini berlangsung pada 11 Mac 2026 di Mydin Subang Jaya, di mana setiap keluarga asnaf diiringi oleh sukarelawan bagi memastikan pengalaman membeli-belah berjalan dalam suasana selesa, mesra dan teratur. Kehadiran sukarelawan membantu mencipta pengalaman yang lebih bermakna buat para penerima, sekaligus memperlihatkan semangat solidariti dalam kalangan masyarakat.

Usai sesi membeli-belah tersebut, para keluarga diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa Program Cahaya Ramadan yang berlangsung di International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC IIUM). Majlis tersebut menjadi ruang kebersamaan yang mempertemukan pelbagai pihak dalam suasana penuh syukur dan kehangatan Ramadan.

Pada majlis yang sama, pihak Gardenia turut menyampaikan sumbangan duit raya kepada para penerima sebagai tanda penghargaan serta usaha menyemarakkan lagi kegembiraan menjelang Syawal. Sumbangan ini diharapkan mampu membawa sedikit kelegaan kepada keluarga terlibat dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Mengulas mengenai kepentingan program ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri menyatakan bahawa usaha seperti ini wajar menjadi contoh kepada lebih banyak pihak korporat di negara ini. “Sesungguhnya keprihatinan seperti inilah yang kita harapkan daripada lebih banyak pihak korporat di negara ini agar berganding bahu bersama kerajaan dalam memastikan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Kanan Pemasaran Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Ena Suhaila Abas menegaskan bahawa budaya memberi telah lama menjadi sebahagian daripada nilai yang dipegang oleh syarikat tersebut. “Di Gardenia, semangat memberi bukan bermusim, sebaliknya menjadi pendekatan berterusan kami dalam menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat melalui inisiatif sosial dan kebajikan komuniti yang menyeluruh. Kami berharap sumbangan ini dapat meringankan beban, mencipta detik yang bermakna, dan menyatukan masyarakat dalam semangat kasih sayang dan syukur,” katanya.

Melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan ini, Gardenia terus memperkukuh aspirasi tanggungjawab sosial korporatnya dengan menyampaikan manfaat yang praktikal serta memberi impak nyata kepada masyarakat.

Sejarah perjalanan Gardenia sendiri mencerminkan komitmen yang panjang terhadap komuniti. Sejak ditubuhkan pada tahun 1986, Gardenia berkembang menjadi salah satu pengeluar roti terkemuka di Asia Tenggara. Dengan pengalaman hampir empat dekad, syarikat ini kini mengendalikan beberapa bakeri di Malaysia dan menghasilkan 64 jenis produk setiap hari, termasuk roti buku, roti ban, roti roll, kek, wafel serta produk lain seperti lepa, mi kuning dan mi segera.

Komitmen sosial Gardenia turut dizahirkan melalui sumbangan roti segar secara percuma kepada lebih 80 organisasi kebajikan setiap hari, termasuk rumah warga emas, rumah anak yatim serta pusat dan sekolah bagi golongan kelainan upaya. Menariknya, lapan daripada organisasi tersebut telah menerima sumbangan secara konsisten sejak tahun 1991, satu tempoh yang mencerminkan dedikasi berterusan syarikat dalam membantu masyarakat.

Melalui Program Cahaya Ramadan, Gardenia bukan sekadar menghulurkan bantuan material, tetapi turut menyemai semangat kebersamaan yang menjadi inti kepada bulan Ramadan. Setiap sumbangan yang disalurkan membawa harapan agar kebaikan yang dikongsi mampu menyinari kehidupan mereka yang memerlukan, sekali gus menjadikan Ramadan lebih bermakna untuk semua.