oleh: zizi hashim
Langit waktu senja selalu punya nuansa yang sukar dijelaskan. Ada tenang yang menggoda, ada bahaya yang merayap perlahan. Dan Waktu Maghrib 2 meraih sepenuhnya kekuatan senja itu, menjadikannya medan cerita, panggung kengerian, dan cermin kepada keangkuhan manusia yang sering memandang remeh perihal ghaib. Saya menonton filem ini bukan hanya dengan mata, tetapi dengan nadi yang berdegup resah dari mula sehingga tirai jatuh.
Sebagai seorang penonton yang pernah takut balik rumah waktu maghrib semasa kecil, filem ini menjentik nostalgia paling mengerikan dan dalam masa yang sama mengingatkan: ada sebab kenapa orang tua dulu pesan jangan bermain saat matahari tenggelam. Saya tidak menyangka akan kembali ke alam seram filem Indonesia yang pernah membuat saya skeptikal dalam filem pertama.
Namun kali ini, Waktu Maghrib 2 tampil dengan keberanian yang lebih besar, skrip yang lebih kemas, dan watak-watak yang lebih hidup. Tidak sekadar sambungan, ia datang untuk mengganggu. Untuk membuatkan kita, manusia zaman sekarang yang adakalanya terlupa batas waktu. Waktu maghrib bukan masa yang kosong, ia penuh isyarat. Dan filem ini memberi peringatan tentang harga yang harus dibayar apabila isyarat itu dipermain.
Cerita bermula di desa Giritirto yang tampak damai di permukaan, namun seperti kebanyakan desa dalam dunia filem seram, ketenangannya hanyalah satu penipuan. Sekelompok remaja, atas desakan ego dan rasa ingin tahu, bermain sumpah ketika azan maghrib berkumandang. Dari situ, perlahan-lahan tanah yang mereka pijak menjadi medan sihir, dan langit yang mereka pandang tidak lagi sama seperti sebelumnya. Jin Ummu Sibyan, entiti yang dahulunya mengganas, bangkit semula. Membawa dendam dan kegelapan, mengintai mangsanya dari sebalik kabus senja. Lebih rakus menjelma dalam bentuk yang menyesakkan otak.
Kalau menurut saya, filem ini jauh tertinggal dan tidak dapat mengatasi pendahulunya. Memang benar, dari aspek penceritaan, Waktu Maghrib 2 lebih tangkas dan terancang. Namun tahap seram thriller di filem yang pertama lebih menjentik rasa ingin tahu dan menyuntik cemas di saat-saat yang tidak dijangka dalam tempo yang mendebarkan. Kemunculan Omar Daniel sebagai Adi yang kini dewasa mengikat semula benang yang longgar dari filem pertama. Dia membawa beban trauma, rasa bersalah, dan dendam yang belum pulih.
Namun, waktu yang singkat dan ruang yang terhad menjadikan wataknya kurang mencengkam. Saya sedikit kecewa kerana wataknya tidak diberi ruang yang lebih luas. Saya mengharapkan lebih banyak penggalian emosi, lebih banyak konfrontasi antara dia dan masa silamnya. Sayangnya, dia hanya hadir sebagai katalis, bukan sebagai pusat konflik. Namun tetap, kehadirannya penting. Meski singkat, Adi menjadi pemangkin kepada konklusi filem ini.
Muzakki Ramdhan sebagai Endro menjadi pusat graviti cerita, energinya seperti api yang menyala sepanjang 1 jam 47 minit durasi filem. Wataknya keras kepala, lantang dan sukar dijinakkan, justeru itulah yang membuatkan kehadirannya mencengkam. Ketika dia kerasukan, tubuhnya seperti alat komunikasi antara dunia, dan saya sendiri terasa mahu menjerit supaya babak itu segera berakhir. Bukan lakonan kosong, ada roh dalam ekspresi dan pergerakannya. Sangat mengganggu tetapi dalam masa yang sama mengkagumkan.
Sulthan Hamonangan sebagai Yugo pula menghadirkan sisi tenang yang menyimpan badai. Pendiam, penuh misteri dan adegan kerasukannya di tanah perkuburan menjadi antara yang paling meresahkan. Dengar ceritanya, dia pengsan betul-betul sewaktu penggambaran. Sebagai penonton, saya percaya. Dan mungkin sebab itulah emosi dalam babak itu terasa begitu realistik. Getaran tubuhnya bukan palsu. Dalam diamnya, saya lihat ketakutan yang lebih jujur, sejenis trauma yang tidak meledak tapi meresap perlahan.
Melengkapi trio ini ialah Ghazi Alhabsyi dengan karakter Dewo. Ikhlas, setia, dan menjadi jambatan emosi dalam kumpulan remaja yang sedang bergelut. Meski tidak begitu intens seperti Endro atau Yugo, Dewo hadir sebagai jiwa yang menenangkan, seperti cahaya lilin dalam bilik gelap. Wajahnya tak banyak bicara, tapi matanya mencerminkan kefahaman yang tidak semua orang miliki. Dia watak yang mungkin kita abaikan, tapi bila tiada, kekosongan terasa.
Namun antara semua, tentunya Anantya Kirana sebagai Wulan, si gadis kecil yang membawa beban besar. Usianya masih muda, tetapi keberaniannya beraksi tanpa pelakon pengganti dalam adegan kerasukan adalah bukti profesionalisme di usia muda. Ada satu babak, teriakan panjang, tubuh menggigil, mata liar dan saya rasa seolah dia memang sedang dikawal sesuatu yang asing. Lakonannya sepenuh jiwa raga, bukan sekadar suara atau ekspresi. Dia menari antara teriak, jerit dan tangis. Dalam semua itu, dia tetap kelihatan hidup. Tidak mudah tetapi Anantya berhasil.
Dari sudut visual dan teknikal, Waktu Maghrib 2 adalah kerja tangan yang cermat. Sutradara Sidharta Tata bijak memilih warna dan suasana. Senja bukan lagi cahaya indah, ia berubah menjadi isyarat bahaya. Sinematografi menangkap setiap celah seram dengan rasa, membawa penonton masuk ke lorong-lorong desa dan bebayang pohon dengan langkah yang berat. Gore dan adegan kerasukan dibuat dengan citarasa yang tidak berlebihan tapi cukup untuk memicit jantung. Bunyi latar juga bijak, ada ruang senyap yang menggigit, ada gema yang menghantui. Dan adegan kejar-mengejar yang melibatkan "kanak-kanak zombi" itu? Ya Tuhan, saya menggenggam tangan sendiri sampai merah.
Namun tidak semua sempurna. Watak Adi yang kembali selepas 2 dekad masih terasa ‘dangkal’. Dia terlalu penting untuk dibiarkan terapung begitu saja. Beberapa watak lain juga kurang diberikan dimensi dan meski skrip kali ini lebih baik, masih ada beberapa dialog yang terasa kaku seperti latihan teater, bukan bicara kehidupan sebenar. Interaksi antara remaja kadang-kadang terlalu 'skema' sebelum perlahan-lahan menjadi lebih natural di pertengahan filem. Semakin cerita bergerak, semuanya mulai membaur.
Satu lagi kekurangan yang agak terasa ialah mitologi Ummu Sibyan yang masih kabur. Saya mahu lebih banyak penjelasan, dari mana dia datang, mengapa dia terikat pada waktu maghrib, dan apa batasnya? Filem ini memilih untuk bermain di permukaan mitos tanpa menyelam lebih dalam. Juga, karektor Adi seolah tidak diberi ruang untuk menunjukkan perjuangan emosinya secara maksima. Mungkin itu disengajakan atau mungkin untuk ruang sekuel. Tapi saya harap penonton akan diberi naratif yang lebih padu tentang asal-usul dan batas kuasa makhluk itu.
Bagi saya, yang membuat Waktu Maghrib 2 istimewa ialah keberaniannya untuk tidak meniru filem seram barat secara membuta, sebaliknya mengakar pada budaya sendiri. Dan itu yang menjadikan ketakutan ini terasa dekat. Kita faham kenapa maghrib itu dianggap suci. Kita tahu cerita tentang jin yang muncul antara azan dan iqamah. Filem ini menghidupkan semua ketakutan yang pernah kita dengar sewaktu kecil, dan menampilkannya dengan wajah yang lebih menyeramkan.
Apapun, klimaks filem ini tetap mendebarkan. Kejar-mengejar, kerasukan beramai-ramai, pengorbanan, dan perlawanan kerohanian. Namun, pengakhirannya memilih untuk tidak memuaskan secara mutlak. Penutupnya? Tak sepenuhnya selesai. Jin mungkin dikalahkan, tapi ancamannya tidak terhapus. Penonton tidak diberi ‘penutup’ yang rapi dan dibiar dalam was-was. Ada ruang terbuka, ruang yang membuatkan kita terus berfikir, “Apakah benar semuanya telah berakhir?”
Ini bukan kekurangan malahan satu strategi bijak. Ia menyemai rasa gentar yang berlarutan, dan membuka ruang untuk sekuel yang lebih gelap. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 19 Jun 2025 ini, bagi antusias filem seram, filem ini wajib tonton!