
oleh: zizi hashim
Trauma menonton Anaconda versi 1997 masih singgah di ingatan. Hutan Amazon yang lembap, jeritan panik dan rasa cemas yang melekat lama dan ular raksasa yang muncul tanpa amaran, menjelma menjadi mimpi buruk kolektif generasi 90-an. Hampir tiga dekad berselang, Anaconda (2025) hadir dengan wajah berbeza. Karya arahan sutradara Tom Gormican ini tidak cuba menakut-nakutkan secara serius. Sebaliknya, ia memeluk kekacauan masa silam, mentertawakan mitosnya sendiri, lalu menjadikannya bahan bakar komedi yang berani dan sedar diri.
Bukan remake, bukan sekuel. Filem ini memilih jalur meta-reboot: sebuah permainan pintar yang tahu penontonnya sudah matang, sinis dan tidak lagi mudah terpedaya dengan formula lama. Penonton yang sudah kenal tahap kegilaan filem asal, sudah siap sedia untuk ketawa bersama. Dengan Jack Black dan Paul Rudd di barisan hadapan, hala tuju filem sudah jelas sejak awal: ketakutan mungkin hadir, tetapi hilai tawa mesti mendominasi.


Cerita berpusat pada dua sahabat lama, Doug dan Griff, masing-masing dilakonkan oleh Jack Black dan Paul Rudd. Kedua-duanya sedang terperangkap dalam krisis pertengahan umur. Satu terdampar sebagai jurugambar perkahwinan yang tidak pernah diambil serius, satu lagi pelakon latar yang sering hilang dari radar industri. Nostalgia menjadi pelarian. Impian lama dihidupkan kembali. Maka tercetuslah idea tak masuk akal untuk menghasilkan semula filem kegemaran masa muda mereka, iaitu Anaconda.
Perjalanan ke Amazon yang pada mulanya tampak seperti projek “seronok-seronok” segera berubah menjadi kekacauan sebenar apabila mereka berdepan dengan anaconda raksasa yang bukan sekadar CGI murahan. Dari sinilah kekuatan filem ini terserlah. Ia menggabungkan ketegangan survival, cuaca ekstrim, logistik yang serba serbi kurang, ancaman hidupan liar dengan humor meta yang terus mengusik genre raksasa itu sendiri. Projek santai itu membawa mereka, bersama rakan-rakan lama, ke belantara Amazon. Niatnya ringan, realitinya brutal. Ular anaconda raksasa muncul sebagai ancaman hidup yang memaksa mereka berdepan dengan ketakutan sebenar.


Di sinilah filem ini bermain dengan cantik. Ketegangan wujud dari kejar-mengejar, serangan mengejut, alam yang tidak bersahabat namun setiap momen genting sering dipatahkan dengan humor situasi, dialog sinis, dan kesedaran meta yang licik. Nada filem mengingatkan kepada Tropic Thunder, tetapi dengan identiti tersendiri. Ia menjadikan proses “membuat filem” sebagai konflik utama, lalu membiarkan ego, persahabatan dan kegilaan manusia saling berlaga.
Tidak sekadar bergantung kepada punchline pantas, sebaliknya membina kelucuan melalui kesedaran situasi: watak-wataknya tahu mereka berada dalam sesuatu yang tidak masuk akal, dan reaksi mereka mencerminkan kekeliruan penonton sendiri. Setiap kali ular muncul dari rimbunan hijau, rasa cemas wujud namun ia sering disusuli ketawa yang hampir tidak munasabah.
Kemistri Jack Black dan Paul Rudd menjadi nadi. Black tampil dengan tenaga liar yang sudah sebati dengannya, sementara Rudd hadir sebagai penyeimbang: santai, sarkastik dan membumi. Interaksi mereka terasa organik, seperti dua sahabat lama yang tiba-tiba diuji dalam situasi mustahil dan mimpi buruk hasil keputusan sendiri. Steve Zahn pula mencuri perhatian sebagai pencetus kekacauan tambahan, sementara Thandiwe Newton dan Selton Mello memberi lapisan emosi dan dinamika kumpulan yang lebih luas.


Menariknya, Anaconda (2025) tidak sepenuhnya mempersendakan genre ini. Terdapat usaha nyata membina ketegangan visual, terutama melalui sinematografi hutan yang menekan dan rasa terasing yang perlahan-lahan menyelinap. Serangan ular tetap mendebarkan, cuma kali ini diselitkan ironi dan sindiran terhadap klise lama filem raksasa. Tidak semua gurauan mengena. Beberapa jenaka terlalu inside, dan ada momen yang terasa longgar dari segi ritma. Namun kelemahan itu ditampung oleh keberanian konsep dan kesungguhan para pelakon.
Tema persahabatan dan kegagalan hidup dewasa menjadi benang halus yang mengikat keseluruhan kisah. Filem ini berbicara tentang mimpi yang tidak tercapai, idealisme yang retak, serta keinginan manusia untuk memperbaiki masa lalu meskipun caranya sering kelihatan bodoh. Di situlah kejujuran Anaconda (2025) terasa. Ia tidak berpura-pura menjadi karya agung, sebaliknya selesa sebagai hiburan yang tahu batasan dirinya. Tidak semua jenaka menggigit, ada yang terasa terlalu dalam namun tenaga kolektif para pelakon menutup cela itu dengan selesa.


Kalau menurut saya, pengalaman menonton Anaconda (2025) terasa bagaikan menonton seseorang mentertawakan trauma lama dengan senyum nakal. Ia bukan filem seram/ngeri untuk diuji keberanian, juga bukan satira industri yang terlalu tajam. Sebaliknya, ia adalah hiburan longgar, huru-hara, kacau-bilau tetapi menyedarkan bahawa ketawa kadang-kadang cara terbaik berdamai dengan masa lalu. Anaconda (2025) tidak berniat menjadi seram paling mendebarkan atau komedi paling tajam. Ia memilih untuk jujur dengan identitinya sebagai hiburan kelas B yang bangga dengan kekacauan sendiri. Dan di situ letak kekuatannya.
Filem ini mungkin tidak akan dikenang sebagai karya agung, tetapi sangat berpotensi membuat penonton keluar panggung dengan perut sakit kerana ketawa dan kepala lebih ringan dari sebelumnya. Mulai ditayangkan di pawagam Malaysia pada 25 Disember 2025, dan sesuai ditonton bersama rakan-rakan yang ingin tertawa tanpa beban. Jika versi 1997 meninggalkan parut kecil dalam ingatan, versi 2025 ini memberi penawar dengan ketawa yang jujur dan kesedaran bahawa tidak semua legenda perlu diselamatkan dengan serius.
Perjalanan cerita Anaconda (2025) ini bukan sekadar pertembungan manusia dengan ular raksasa, tetapi juga pertembungan mimpi lama dengan realiti usia, ego, dan persahabatan yang rapuh. Ketawa yang tercetus di dalam pawagam bukan ketawa kosong, sebaliknya refleksi tentang kegagalan, tentang impian yang tak sempat tumbuh, dan tentang betapa lucunya manusia apabila terlalu serius mengejar nostalgia. Jika anda mencari filem yang tahu bila perlu intens, bila perlu ketawa, dan bila perlu membiarkan penonton bernafas sambil ketawa, Anaconda adalah pilihan tepat.
Luangkan masa, beli tiket, dan masuk pawagam dengan fikiran terbuka. Biarkan ular raksasa itu mengejar wataknya sementara anda dikejar tawa, nostalgia, dan kesedaran bahawa tidak semua reboot perlu serius untuk jadi bermakna. Anaconda (2025) kini menemui penonton bermula 25 Disember 2025. Kadang-kadang, cara terbaik menghadapi trauma lama… adalah dengan mentertawakannya bersama-sama.