'Duyung Legenda Aurora' Pulang Dengan Beban Harapan Antara Rindu Dan Realiti Sekuel

oleh: zizi hashim

Kenangan lama yang terlalu kuat kadangkala menjadi beban paling berat untuk sebuah karya lanjutan. Duyung Legenda Aurora muncul selepas 17 tahun bukan sekadar sebagai sambungan cerita, tetapi sebagai lanjutan emosi kepada generasi yang membesar bersama Duyung (2008). Waktu melangkah ke pawagam, rasa rindu bercampur ekspektasi tinggi, sejenis harapan yang mudah bertukar menjadi kecewa jika tidak diurus dengan cermat.

Filem komedi fantasi arahan sutradara Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen ini diterbitkan oleh KRU Studios bersama 8 Bit Studio, dengan Primeworks Studios sebagai pengedar dan rakan pemasaran rasmi. Statusnya sebagai sekuel kepada karya pecah panggung RM4.7 juta yang memenangi Anugerah Box Office FFM ke-21 secara automatik meletakkan Legenda Aurora di bawah lampu sorot yang tidak memaafkan kesilapan kecil.

Dari sudut penceritaan, kesinambungan dikekalkan secara konsisten. Puteri Duyung lakonan Maya Karin kembali ke dunia darat untuk meminta bantuan Jimmy (Saiful Apek) dan Aspalela (Yasmin Hani) apabila anaknya, Aurora (Anna Jobling), diculik oleh sindiket pukat tunda haram sebelum dilelong kepada Dr. Evo (Datuk Yusry Abdul Halim), seorang saintis yang obses terhadap makhluk laut. Misi penyelamatan itu turut disertai Hamlau, pahlawan duyung dan abang kepada Aurora, Dashmond anak kepada Jimmy dan Aspalela (Ayie Floor88), serta Ajaq (Aniq Aqil). Taruhan masa 6 jam di darat menjadi elemen penting yang menggerakkan naratif.

Duduk di kerusi penonton, saya menghargai keputusan untuk tidak memeningkan cerita. Jalannya lurus, fokus kepada watak dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga. Humor hadir secara spontan, selari dengan identiti asal Duyung sebagai filem ringan. Barisan pelakon lama memberi kesan emosi yang besar: melihat Jimmy, Aspalela dan Puteri Duyung kembali mengisi ruang layar terasa seperti pertemuan semula dengan kenalan lama yang sudah semakin matang.

Anna Jobling sebagai Aurora memikul tanggungjawab besar. Wataknya menjadi wajah generasi baharu, jambatan antara nostalgia dan penonton Gen Z. Usahanya jelas, namun beban harapan penonton terhadap watak ini terlalu tinggi, apatah lagi reputasinya yang telah merentas pasaran Indonesia. Keserasian beliau dengan Ayie Floor88 sebagai Dashmond membantu menstabilkan emosi cerita, meski ruang eksplorasi watak masih terasa terhad.

Isu utama yang tidak dapat dielakkan ialah aspek visual. Jika Duyung (2008) diingati kerana keberanian membina set fizikal seperti Pulau Terapung Jimmy yang dirakam secara nyata, Legenda Aurora memilih pendekatan lebih digital. Kostum duyung kini lebih ringan dan bergantung pada gabungan CGI serta AI. Penjelasan Maya Karin tentang kostum lama yang terlalu berat hingga hampir membahayakan keselamatan memang masuk akal, namun perubahan ini tetap mengganggu imersi bagi penonton lama yang masih mengingati tekstur sisik yang lebih “hidup”.

Penggunaan AI dalam beberapa babak dan bahan promosi menimbulkan perdebatan besar. Poster awal yang tular, visual yang kelihatan kasar, serta paparan video berwatermark AI pada malam gala mengundang persoalan tentang pengurusan projek dan kawalan mutu. Walaupun pihak produksi menyifatkan sebahagian isu ini sebagai gimik promosi dan menjanjikan penambahbaikan menjelang tayangan umum pada 25 Disember 2025, kesan awal sudah pun membentuk persepsi awam.

Kenyataan terbuka Saiful Apek menambah lapisan realiti yang pahit. Beliau mengakui menerima kecaman hebat dan meletakkan jangkaan tinggi kerana ini ialah sekuel kepada filem fenomena. Saiful menegaskan banyak kelemahan teknikal boleh dielakkan walaupun dengan kos minimum, memandangkan KRU Studios pernah menghasilkan filem berskala besar seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Magika dan Cicakman. Pengakuannya tentang kekecewaan terhadap hasil akhir terasa jujur, bukan sebagai serangan, tetapi sebagai suara seseorang yang benar-benar peduli terhadap legasi.

Strategi promosi yang dikatakan tidak dimaklumkan awal kepada pelakon utama turut memberi gambaran bahawa proses di belakang tabir mungkin tidak sekemas yang diharapkan. Isu bajet pula terus menjadi alasan yang dipersoalkan: apakah wajar sebuah sekuel diteruskan jika tidak mampu mencapai tahap kualiti yang sepatutnya?

Namun, di sebalik segala kekurangan, Duyung Legenda Aurora masih menemukan ruang simpati. Ia berfungsi sebagai tontonan popcorn, hiburan cuti sekolah yang tidak menuntut pemikiran berat. Dialog tertentu mencuit hati, jalan cerita kekal mesra keluarga, dan OST menjadi antara elemen paling menyenangkan, menghidupkan semula rasa yang pernah wujud suatu ketika dahulu.

Sebagai peminat naskhah asal, perasaan bercampur baur sukar dielakkan. Filem ini mempunyai idea menarik dan dunia yang kaya, tetapi disampaikan dengan pendekatan yang terasa terlalu sederhana untuk sebuah sekuel yang menanggung sejarah besar. Ia mungkin tidak diperlukan, namun kewujudannya membuka perbincangan penting tentang penggunaan AI, kawalan mutu, dan tanggungjawab menjaga legasi karya tempatan. Bukan kepulangan yang megah, tetapi masih mampu menghiburkan jika ditonton dengan ekspektasi yang berpijak di bumi nyata.

Buat yang pernah membesar bersama tawa Jimmy, lagu Aspalela dan dunia duyung yang pernah mengisi memori awal 2000-an, Duyung Legenda Aurora menanti untuk diraikan dengan hati terbuka. Filem ini mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula 25 Disember 2025. Datanglah dengan jangkaan yang berpijak di bumi, nikmati sebagai hiburan keluarga yang santai, dan biarkan nostalgia melakukan tugasnya untuk mengembalikan senyum, walau seketika.