Timur (2025): Pilihan Paling Sukar Antara Tugas Negara Dan Persaudaraan Yang Hilang

oleh: zizi hashim

Suasana dingin Gunung Jayawijaya bukan sekadar latar geografi, tetapi menjadi metafora kepada hubungan yang membeku oleh masa, pilihan hidup dan sumpah setia terhadap negara. Timur tampil sebagai filem aksi ketenteraan yang tidak cuba berlumba dengan reputasi silam Iko Uwais semata-mata, sebaliknya membuka lembaran baharu yang lebih introspektif, lebih berakar pada konflik batin dan lebih berani menanggalkan bayang-bayang legenda The Raid.

Filem ini menandakan debut pengarahan Iko Uwais, yang turut memegang peranan utama sebagai Timur, seorang anggota pasukan khas Jaguar. Diterbitkan oleh Uwais Pictures dengan Nagita Slavina sebagai penerbit, Timur diinspirasikan daripada Operasi Pembebasan Tebusan Mapenduma 1996, sebuah peristiwa sebenar yang berlaku di Papua, Indonesia. Operasi tersebut melibatkan misi ketenteraan berskala besar, yang ketika itu dipimpin oleh Jeneral Prabowo Subianto, kini Presiden Indonesia, satu fakta sejarah yang memberikan politik berat dan realisma kepada naskhah ini.

Naratif berpusat pada tiga sahabat masa kecil: Timur, Apollo dan Sila. Waktu memisahkan mereka, membentuk identiti yang berbeza. Timur dan Sila memilih jalan sebagai anggota tentera yang terlatih dan berdisiplin, sementara Apollo terperangkap dalam realiti keras hingga akhirnya menyertai kumpulan bersenjata pimpinan Tobias (Arnold Kobagou). Takdir mempertemukan mereka kembali dalam situasi paling genting apabila Apollo terlibat secara langsung dalam penculikan sekumpulan penyelidik asing.

Konflik utama filem ini tidak berdiri pada siapa menembak siapa, tetapi pada siapa yang sanggup dikorbankan demi negara. Apollo bukan antagonis tipikal; dia dibentuk oleh keadaan, oleh survival, oleh sistem yang tidak memberinya pilihan mudah. Pertemuan semula antara Timur dan Apollo terasa pahit, bukan kerana dendam, tetapi kerana kenangan yang tidak dapat dipadamkan meski peluru sudah dilepaskan.

Dari segi skala, Timur membawa elemen operasi ketenteraan yang jelas: helikopter, serbuan hutan, tembak-menembak jarak dekat, serta pergerakan taktikal yang berstruktur. Vibe filem ini mengingatkan kepada Tears of the Sun (2003), digabungkan dengan sentuhan Operation Mekong (2016) dan sisa DNA visual The Raid. Aksi tidak terlalu brutal seperti The Night Comes for Us, namun ketegangannya stabil dan berterusan. Sound mixing yang lantang memberi impak kepada setiap letupan dan tembakan, menjadikan pengalaman sinematik terasa padat.

Sebagai penonton, saya datang dengan ekspektasi sederhana. Kesedaran bahawa ini adalah langkah pertama Iko sebagai sutradara membuatkan saya lebih terbuka. Beberapa koreografi pertarungan memang tidak mencapai tahap ikonik The Raid, tetapi itu juga selari dengan fokus filem ini iaitu operasi ketenteraan dan persaudaraan, bukan seni bela diri semata. Aksi hadir sebagai keperluan naratif, bukan pameran kebolehan.

Bahagian yang paling kuat bagi saya ialah momen-momen senyap seperti tatapan mata, dialog ringkas, dan ketegangan sebelum konflik meletus. Di sinilah lakonan Iko terasa paling bernyawa. Meski ekspresi emosinya belum setajam pelakon drama berpengalaman, usaha untuk memberi lapisan pada watak Timur jelas terlihat. Hubungan dengan Sila dan Apollo membentuk segitiga emosi yang menjadi tulang belakang cerita.

Namun, kejujuran juga perlu disebut. Struktur penceritaan Timur masih meminjam formula filem penyelamatan sandera ala Hollywood. Beberapa peralihan adegan terasa mendadak, seolah ada potongan cerita yang tidak sempat dikembangkan. Bahagian pertengahan sedikit meleret, dan watak sampingan hadir lebih sebagai fungsi dramatik berbanding individu yang benar-benar hidup. Kekurangan ini menjadikan emosi filem tidak sepenuhnya melekat, walaupun temanya kuat.

Meski begitu, kekuatan visual dan penyutradaraan berjaya menutup sebahagian lompang tersebut. Komposisi kamera tersusun, penggunaan lanskap Papua memberi skala dan graviti, serta keputusan menyimpan adegan terbaik untuk detik-detik tertentu menunjukkan kawalan yang matang bagi seorang pengarah debutan. Jelas terlihat visi Iko untuk tidak terperangkap sebagai “hero aksi” semata-mata.

Lebih penting, Timur berdiri sebagai penghargaan terhadap anggota tentera Indonesia dan realiti mereka yang berjuang jauh dari radar umum. Filem ini tidak cuba mengagungkan perang, tetapi memaparkan harga yang perlu dibayar: kehilangan sahabat, konflik moral dan luka yang tidak sembuh walaupun misi selesai.

Sebagai sebuah karya, Timur tidak mengecewakan, namun juga tidak melampaui batas jangkaan. Ia berfungsi, ia bernafas, dan ia jujur. Untuk peminat filem laga berskala besar dengan sentuhan emosi sederhana, naskhah ini wajar diberi peluang. Untuk mereka yang mengharapkan kedalaman penulisan dan kompleksiti karakter bertingkat-tingkat, mungkin perlu bersabar menunggu langkah seterusnya.

Timur mula ditayangkan di pawagam Malaysia bermula 1 Januari 2026, sebuah karya yang mungkin tidak sempurna, tetapi penting sebagai titik tolak perjalanan baharu Iko Uwais di balik kamera.

Buat yang rindu filem aksi Asia Tenggara dengan skala besar, latar alam yang megah dan konflik persaudaraan yang getir, Timur wajar diberi ruang. Naskhah ini bukan tentang siapa paling kuat, tetapi tentang pilihan paling sukar ketika tugas negara bertembung dengan kenangan lama. Saksikan Timur di pawagam seluruh Malaysia bermula 1 Januari 2026, dan biarkan kisahnya berbicara dengan tenang, keras dan berbekas.