Sosok Misteri Menghantui, 'Shutter' Remake Buat Penonton Serentak Seram Dan Simpati

oleh: zizi hashim

Memilih untuk menyelak album lama yang penuh debu trauma dan rahsia, begitulah bagaimana Falcon Pictures menyentuh naskhah ikonik ini dengan hati-hati. Darwin, lakonan cemerlang Vino G. Bastian, menjadi pintu masuk kepada semua kengerian itu. Wajahnya, yang kelihatan tenang pada permukaan, perlahan-lahan retak sepanjang perjalanan cerita. Tatapan kosongnya seolah menggambarkan seorang lelaki yang sudah lama memikul sesuatu yang tak sanggup diungkapkan. Kali ini Vino sukses bikin penonton ikut tenggelam dalam dunia Darwin yang penuh tekanan dan rasa sesak. Ekspresi gelisah dan paranoidnya sangat menjadi.

Saya salah seorang antara ramai yang telah menyaksikan legenda seram Asia, Shutter (2004) versi Thailand yang pernah fenomena Box Office di dua dekad lalu dan sehingga hari ini dianggap antara filem paling menakutkan di benua ini. Tidak saya nafikan filem itu adalah salah satu filem seram yang sangat meninggalkan kesan dalam diri saya sendiri. Oleh itu tak terbayang rasa teruja saya untuk menonton remake versi terbaharu ini, apatah lagi setelah mengetahui pelakon utamanya ialah Vino. Hati saya melonjak tidak sabar untuk menjejak panggung dan merasai semula keseraman yang pernah tertinggal. 

Shutter (2025) versi Indonesia menjejak langkah berani dengan tidak menyalin 100% plot asal; ia menyisipkan denyut sosial yang dekat dengan penonton. Sebuah kesedaran tentang trauma, penindasan, dan suara-suara yang hilang dari peta keadilan. Saya kagum melihat Vino G. Bastian, yang menjadi nadi kepada perjalanan penuh gelora ini. Seorang yang hidupnya kelihatan rapi, tetapi setiap inci tubuhnya memendam sesuatu yang gelap. Vino jarang tampil dalam karektor selemah dan seputus asa ini, dan mungkin di sinilah magisnya.

Setiap tatapan, setiap helaan nafas, setiap getar pada tangan memvisualkan seseorang yang digigit rasa bersalah, tetapi menolak mengakuinya. Namun semuanya bermula dengan satu peristiwa. Kemunculan perempuan tiba-tiba di tengah jalan, disusuli hentakan yang mengubah hidup Darwin dan Pia untuk selamanya. Sejak itu, perempuan itu muncul di mana-mana. Dalam foto-foto. Dalam bayangan kaca tingkap. Dalam mimpi yang basah oleh ketakutan. Disitulah intipati Shutter sebenarnya. Perempuan itu datang membawa luka, membawa kejujuran, membawa tuntutan yang tak terbalas.

Bagi penonton yang sensitif, filem ini memerlukan sedikit persediaan mental. Adegan-adegan tertentu mengandungi bahasa kasar, trauma seksual yang disiratkan, serta visual yang boleh mengganggu sesiapa yang memiliki fotofobia. Kilatan flash kamera yang sengaja dipasang secara agresif membentuk ritma yang sesak, seperti degup jantung yang tak mahu tenang.

Keunikan remake ini terletak pada bagaimana hantu itu tidak semata-mata hadir sebagai ancaman, tetapi sebagai metafora trauma yang menuntut didengari. Filem ini bahkan mengusung kempen #SafePlaceforAll, menyeru agar ruang selamat disediakan untuk mereka yang menjadi mangsa kekejaman dan pelanggaran.

Namun, setiap remake mengusung dilema. Formula ‘hantu dalam foto’ bukan hal baru lagi. Untuk penonton yang pernah menonton versi Thailand, beberapa adegan terasa seperti pulangan ke lorong yang telah kita jelajahi. Meski begitu, sentuhan budaya Indonesia memberikan rasa baru, seakan mencampurkan bau tanah selepas hujan dengan getar lampu neon kota Jakarta.

Kehadiran Anya Geraldine bukan tempelan. Dia menjadi pasangan sempurna untuk Vino. Pia versi Anya bukan boneka pelengkap, tetapi nyawa yang menolak untuk menyerah walau terperangkap dalam ketakutan. Tenang, keras kepala, namun tetap rapuh ketika kebenaran mula terbentang. Dia wanita yang sabar, berani tetapi mudah pecah. Dialog dan gestur yang disampaikan terasa organik, seolah-olah Anya melepaskan persona glamornya dan menggantikan dengan naluri seorang kekasih yang dihimpit misteri.

Kehadiran Niken Anjani pula menyuntik lapisan emosional yang lebih suram, seakan-akan seluruh kisah ini bergerak menuju titik luka yang tak terhindar. Wataknya mungkin kecil di permukaan, tetapi penting dalam merangkai puzzle emosi Darwin dan Pia. Ada sesuatu pada mimik wajah Niken, sejenis kesayuan yang memeluk, kemudian menikam.

Yang mengejutkan, dialog dalam filem ini mengalir lembut. Tidak terasa seperti terjemahan, tidak terasa dipaksa. Interaksi mereka tampak organik sehingga saya lupa ia sebuah remake. Mungkin itu kekuatan terbesar Herwin Novianto: kemampuan merangka seram dengan denyut psikologi. Ketakutan tidak hanya datang dari kemunculan hantu, tetapi dari memori yang enggan mati.

Secara teknikal, masih ada ruang yang tidak halus, terutamanya transisi pada detik-detik intens. Tetapi kekurangan itu tidak menghapus tenaga emosional filem ini. Setiap jumpscare terasa efektif, tidak berlebihan. Setiap momen bisu terasa menyesakkan. Setiap bisikan halus yang muncul tanpa diduga membuatkan kulit saya meremang. Namun ironi terindah Shutter Indonesia ini ialah semakin kita takut pada hantu itu, semakin kita bersimpati dengannya. Dia bukan musuh sebenar. Dia korban. Dia saksi. Dia suara yang dipadamkan.

Dan filem ini, tanpa perlu mengulang ceramah moral panjang, mengangkat tema #SafePlaceforAll sebagai inti yang menghunjam: kejahatan yang disembunyikan manusia jauh lebih menakutkan daripada makhluk ghaib. Pada akhirnya, Shutter Indonesia bukan mahu bersaing dengan legenda. Filem ini ingin bertanya: sejauh mana rahsia yang kita simpan mampu menelan hidup kita? Dan sampai bila sebuah dosa akan berhenti menghantui? Saya masih terbayang imej terakhir Darwin. Tubuh itu dibebani sesuatu yang lebih berat daripada roh. Ia dibebani kebenaran.

Kalau anda ingin filem yang membuat nafas tercuri, membuat dada terasa berat oleh rasa bersalah yang melayang, ini waktunya melangkah ke pawagam. Benarkan layar besar menyerap seluruh ketegangannya, dari bisikan samar hingga kilatan flash yang menyengat, kerana setiap detik lebih hidup bila disaksikan bersama gema gelap dalam panggung. Jangan tunggu lama-lama, rasakan sendiri bagaimana misteri, trauma dan dendam boleh bergabung menjadi satu bayang panjang yang terus mengejar.

Untuk penonton yang mencari seram yang ada jiwa, dengan luka dan dengan sedikit renungan yang membekas, Shutter Indonesia ialah pengalaman yang menggugah, meski tidak sesuai untuk mereka di bawah 17 tahun. Filem mula menemui pawagam Malaysia pada 20 November 2025. Jangan sampai ketinggalan ya!