Rasa Ngilu Tonton 'Kitab Sijjin & Illiyyin' Transformasi Realistik Psychopath Penuh Dendam

oleh: zizi hashim

Tanpa basa-basi, filem reunion antara sutradara Hadrah Daeng Ratu dan penulis skrip Lele Laila ini langsung menghidangkan visual seram yang mencengkam sejak minit pertama lagi. Filem ini nampaknya enggan membiarkan penonton bernafas dengan lega kerana terus-menerus menyerang psikologi dengan bertubi-tubi lewat kengerian penuh darah dan jumpscare yang bikin meremang bulu roma dan tengkuk. Saya berani declare 'Kitab Sijjin & Illiyin' ini sebagai salah satu filem seram terbaik pada tahun 2025 yang berkonsepkan islamik serta memaparkan banyak adegan ngeri, kejutan, ganas, dan menggelikan yang nampak seakan-akan benar realistik.

Bayangkan bagaimana jadinya jika seseorang yang tulus berubah menjadi psychopath yang penuh dendam kerana tidak tahan terus-menerus diperlakukan tidak adil oleh keluarga tirinya? Hal ini lah yang dijalani oleh Yuli (Yunita Siregar) dalam filem 'Kitab Sijjin dan Illiyyin' ini. Menyelaraskan antara amarah balas dendam yang membara, drama keluarga yang kompleks, serta kengerian santau yang membawa maut, filem ini siap sedia menyentuh psikologi penonton lewat pelbagai adegan gore dan jumpscare yang intens.

Yuli, gadis yang sejak kecil sudah terikat pada trauma: melihat kedua orang tuanya mati ngeri akibat santau atau sihir hitam di hadapan kedua biji matanya sendiri, lalu dibesarkan di dalam rumah yang sepatutnya menjadi tempat teduh tetapi justeru menjadi penjara sekaligus jerat derita. Ibu tiri Ambar (Djenar Maesa Ayu) menyiksanya, Laras (Dinda Kanyadewi) sang kakak tiri melanjutkan kebencian itu, sementara suami Laras, Rudi (Tarra Budiman), serta anak-anak mereka, Tika (Kawai Labiba) dan Dean (Sulthan Hamonangan), hanya diam membiarkan penderitaan itu berjalan, ibarat semuanya lumrah. Luka yang terkumpul lama-lama menciptakan bara dendam yang akhirnya melahirkan 'raksasa' dalam dirinya. Dengan bantuan dukun Pana (Septian Dwi Cahyo), Yuli melakukan ritual mengerikan yang menjadi tulang belakang cerita ini.

Menggunakan mayat segar sebagai medium, nama korban dimasukkan ke rongga tubuh jenazah, lalu dijahit kembali dengan benang kasar yang tak sempurna. Ritual itu bukan hanya menjijikkan, tetapi juga punya syarat yang menakutkan: santau hanya berfungsi pada orang yang berdosa, dan jika prosesnya terlambat sebelum mayat membusuk, sumpahan akan berbalik kepada Yuli sendiri. Adegan-adegan ini dibentuk dengan efek praktikal yang mencengkam: kaca yang menusuk telapak kaki, serangga yang ditarik keluar dari bola mata, hingga tubuh yang hancur akibat serangan sihir. Ritual itu sendiri sudah cukup untuk membuat perut saya kecut, apatah lagi saat santaunya mula bertindak rakus menelan mangsanya satu demi satu. Saya sendiri beberapa kali terpaksa mengalihkan pandangan, sementara sebahagian penonton memilih menutup mata untuk menahan rasa ngilu.

Namun, Kitab Sijjin & Illiyyin bukan sekadar parade gore. Hadrah Daeng Ratu sebagai sutradara, bersama Lele Laila sebagai penulis skrip, menyulam drama keluarga penuh trauma yang membuat penonton faham mengapa Yuli memilih jalan itu. Saya terkesan dengan lakonan Yunita Siregar yang matang, memvisualisasikan transisi emosi Yuli dari seorang gadis tulus menjadi psychopath yang penuh dendam dengan begitu cemerlang. Di sisi lain, Kawai Labiba mencuri perhatian dalam debut seram pertamanya, menyalurkan keputusasaan Tika dengan intensiti yang terasa menembus layar. Kehadiran Djenar Maesa Ayu dan Dinda Kanyadewi sebagai antagonis menambahkan lapisan kebencian yang membuat penonton terbakar marah, sementara Tarra Budiman dan Sulthan Hamonangan memberi warna yang melengkapi dinamika keluarga ini.

Malah, ustaz Abuya (David Chalik) memberi warna berbeza, dari sekadar pendakwah tenang menjadi pejuang yang menggempur jin dengan tenaga maksima dalam bersemuka secara langsung dengan santau dari Yuli. Salah satu adegan yang paling diingat adalah ketika Abuya menghempaskan jin kerasukan sehingga berderai lantai dibuatnya, adegan epik inilah yang membuat satu panggung bergemuruh dengan tepukan penonton. Kehadirannya memberi nuansa baru pada seram keagamaan: ustaz yang bukan sekadar berdoa, tetapi juga bertindak dan sangat berfungsi.

Dari sisi teknikal, sinematografi Hani Pradigya tampil kemas dengan shot luas yang indah sekaligus menekan suasana, sementara skor muzik dari Andre Harihandoyo dan Rahadian Winursito menambah ketegangan, meskipun kadangkala terasa terlalu depresif. Suntingannya oleh Wawan I. Wibowo menjaga tempo, walaupun ada beberapa “jump cut” yang terasa kasar. 

Namun, kelemahan tetap ada. Formula santau yang berulang-ulang ketika Yuli menghantar santau, korban tersiksa, lalu pemakaman membuat alur terasa repetitif setelah beberapa kali. Beberapa jumpscare mudah diteka, sehingga tidak lagi memberi kejutan penuh. Di penghujung cerita, tempo menjadi sedikit lambat ketika fokus pada pengusiran, membuat sebahagian penonton kehilangan momentum intens yang dibina sejak awal. Saya juga merasa sayang kerana filem ini tidak menggali lebih dalam makna sebenar dari sijjin dan illiyyin sebagai kitab catatan amal baik dan buruk, selain sekadar dijadikan simbol konflik antara gelap dan terang.

Meski demikian, pengalaman yang ditawarkan 'Kitab Sijjin & Illiyyin' tetap luar biasa. Filem ini adalah sekuel spiritual dari dunia Sijjin, yang asalnya diilhamkan dari karya Turki Siccin, tetapi berdiri sendiri sebagai seram dengan karektoristiknya. Hadrah Daeng Ratu sekali lagi menunjukkan kepiawaiannya mengadun ramuan seram gore dengan emosi, menjadikan karya ini lebih dari sekadar seram kosong. Saya keluar pawagam dengan perasaan bercampur-aduk: jijik, ngeri, kagum, dan entah bagaimana, juga tersentuh oleh kisah tentang bagaimana manusia yang disakiti boleh berubah menjadi iblis bagi orang lain.

'Kitab Sijjin & Illiyyin' yang suci dan yang terkutuk mencipta jalan cerita penuh pengkhianatan, amalan ghaib, dan dendam yang tak pernah reda. Setiap babaknya terasa seperti doa yang tidak selesai, setiap bisikan bagaikan membawa pesan bahawa manusia sering menjadi dalang kepada malapetaka yang menimpa dirinya sendiri. Kehadiran filem ini di pawagam Malaysia bermula 25 September menjadi tanda bahawa sinema seram tempatan sedang beranjak ke tahap lebih berani, bermain dengan naskhah besar, mengangkat mitos, kitab dan kepercayaan, lalu menyalinnya menjadi sebuah pengalaman layar yang sukar dilupakan.

'Kitab Sijjin & Illiyyin' membuat saya mempersoalkan banyak hal tentang batas iman, ujian, dan akibat perbuatan manusia. Jika anda berani menyingkap lembaran rahsia yang mungkin tidak sepatutnya dibuka, inilah waktunya untuk menontonnya di layar besar.