Luka Lama Ditabur Garam Jadi Trauma Gelap Di 'Jalan Pulang'

oleh: zizi hashim

Sukar untuk menggambarkan bagaimana rasanya menyaksikan Jalan Pulang tanpa terlebih dahulu menarik nafas panjang. Filem ini menawarkan pengalaman visual yang menyeramkan, seperti luka lama yang terbuka semula, ditabur garam, dan dibiarkan terdedah dalam gelap. Nadi saya terasa perlahan-lahan berubah degup sepanjang filem ini, bukan hanya kerana hantu yang menjelma dari sudut gelap, tetapi juga kerana turut merasai perit yang terpancar dari wajah seorang ibu yang sedang berjuang demi anak-anaknya.

Cerita bermula saat Lastini, dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Luna Maya, mencari ikhtiar demi menyelamatkan anaknya, Arum, yang dihantui oleh roh Marsinah. Gangguan itu bukan ringan, ia datang setiap kali ulang tahun Arum menjelang di tahun lompat, semakin mendekatkan gadis itu dengan kematian dalam masa 4 tahun sekali. Ritual demi ritual dilakukan, melibatkan pelbagai tokoh spiritual dari pelbagai daerah. Namun yang paling mengganggu saya bukanlah darah atau jeritan, tetapi sunyi antara babak yang menggambarkan rasa putus asa dan kekecewaaan. Sunyi yang membisikkan bahawa seorang ibu sanggup melakukan apa saja, bahkan melanggar batas-batas yang selama ini dianggap tahyul.

Kombinasi 3 ratu seram iaitu Luna Maya, Taskya Namya dan Shareefa Daanish menghasilkan simfoni emosi yang bergelora. Taskya muncul tidak sebagai teraju utama, tetapi keberadaannya tidak pernah terasa sia-sia. Shareefa pula menjadi bayang-bayang yang menghantui meski tanpa banyak dialog. Dan Saskia Chadwick sebagai Arum, alangkah mengkagumkan caranya memegang watak antara dunia nyata dan mistik. Setiap detik wajahnya di skrin adalah getaran yang menembusi relung rasa.

Visual filem ini bukan hanya sekadar gelap dan basah. Ia menampakkan kegelapan batin: tembok rumah usang, lorong sempit, ritual berdarah, semuanya bagaikan simbol kejiwaan yang tenggelam. Saya teringat pada babak seorang penari Bali rebah dengan tubuh tercarik bukan sahaja kerana kejutan visual, tetapi kerana ia membawa makna tersirat tentang tubuh perempuan yang dimiliki oleh trauma dan dendam.

Jalan Pulang bukan hanya menakutkan kerana hantu, tetapi kerana penderitaan yang tak dapat diungkap. Ia mengajak penonton untuk merasa, bukan hanya melihat. Terdapat adegan-adegan di mana saya ingin memalingkan muka, bukan kerana jijik, tetapi kerana terlalu menyayat. Filem ini meyakinkan kita bahawa trauma keluarga tidak pernah benar-benar hilang, ia menunggu di sudut rumah, berselubung dalam sepi, menunggu untuk muncul pada saat paling rapuh.

Sebagai karya sulung sutradara Jeropoint dalam genre seram, saya terkesima dengan keberaniannya membawa elemen budaya yang tidak dimanipulasi demi eksotik semata-mata. Empat ritual dari pelbagai daerah bukan digambarkan sebagai alat mistik, tetapi sebagai warisan yang penuh falsafah dan nilai. Namun filem ini juga meninggalkan ruang tanya, apa makna sebenar "jalan pulang"? Apakah ia rumah masa lalu, atau jiwa yang tak pernah benar-benar damai? Interpretasi ini menjadi milik penonton.

Sinematografinya memukau meskipun beberapa babak terasa terlalu gelap, satu-satunya cela kecil yang mungkin disengajakan demi menjaga nuansa kelam. Penggunaan bunyi latar pula amat bijaksana, membina ketegangan tanpa perlu bergantung kepada kejutan murahan. Malah, setiap bunyi seolah-olah mewakili rintihan, amaran, atau bisikan masa silam yang enggan berdiam diri.

Untuk mereka yang mencari pengalaman seram yang tidak klise, filem ini adalah pelayaran yang wajib disertai dalam durasi 1 jam 37 minit. Tapi bersedialah, bukan semua yang ikut pulang akan kembali dengan hati yang sama. Jalan Pulang adalah panggilan sunyi kepada semua yang pernah hilang arah, dan hanya melalui keberanian untuk menghadapinya, kita mungkin menemui fajar yang baharu. Bermula 24 Julai 2025, jom kita cari Jalan Pulang di pawagam Malaysia dan kalau tak jumpa bolehlah cuba guna waze.