Lucu, Segar, Penuh Identiti, '6 Jilake' Bawa Unsur Budaya Dan Satira Dalam Pakej Menghiburkan

oleh: zizi hashim

“Mereka dah lama rancang... kita yang lalai.” Itulah kata-kata pembuka yang cukup ‘makan dalam’ dan berjaya mengetuk pintu kesedaran saya sebagai penonton. Jujur saya katakan, saya masuk ke pawagam untuk menonton '6 Jilake' hanya dengan harapan untuk ketawa. Namun saya keluar dengan rasa bangga, terhibur, dan sedikit terhantuk dengan sejarah yang selama ini tidak begitu saya ambil tahu.

Disutradarai oleh Aziz M. Osman, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia perfileman Malaysia. '6 Jilake' adalah gabungan berani antara aksi, komedi, dan unsur sejarah yang dibalut kemas dalam bungkusan budaya lokal. Ini bukan sekadar filem kelakar kosong; ini adalah satira sosial yang pandai menyentuh isu penjajahan, pengkhianatan, dan pentingnya mempertahankan jati diri.

Saya akui, waktu mula dengar tajuk '6 Jilake', saya agak skeptikal. Bunyi tajuknya macam ‘kasar sikit’, dan saya tertanya-tanya ini filem komedi slapstik ke, atau ada isi? Tapi bila saya tengok trailer, terus rasa macam, "Eh, ini lain macam." Selepas tonton di pawagam, saya boleh simpulkan satu perkara. '6 Jilake' bukan sekadar cerita gelak-gelak, tapi filem yang bawa identiti kita dalam bentuk yang paling menghiburkan.

Filem ini berlatar pada abad ke-18, zaman penjajahan Belanda di Tanah Melayu. Syarikat Hindia Timur Belanda cuba nak kuasai lombong bijih timah di Perak. Dan seperti mana-mana penjahat berorganisasi, mereka pun upah geng samseng untuk selesaikan kerja kotor. Masuklah geng '6 Jilake', sekumpulan ‘fighter’ dengan gaya masing-masing. 

Tugas mereka: takluk Kampung Ketayap yang dipercayai menyimpan khazanah besar. Tapi... mereka tak sangka, kampung ni bukan calang-calang. Ada pendekar yang sedia pertahankan tanah air sampai ke titisan peluh terakhir. Saya suka bagaimana cerita ni tak terlalu kompleks, tapi cukup padat. Ada permulaan yang menarik, konflik yang jelas, dan penamat yang memuaskan. Tak rasa tergantung, dan tak terlalu cepat macam kena potong masa siaran langsung.

Ini antara elemen paling unik dalam filem ini: nama ahli geng '6 Jilake' semuanya dinamakan sempena kuih tradisional: Pulut Panggang, Kole Kacang, Badak Berendam, Tatnanas, Bingka Ubi, dan Nagasari. Bunyi macam bahan jenaka, tapi sebenarnya ia bijak. Nama-nama ini bukan saja mencuit hati, tapi ada maksud simbolik. Contohnya ‘Pulut Panggang’ yang nampak lembut luar tapi berisi pedas dalam. Setiap karektor bawa personaliti tersendiri. Tak ada satu pun watak yang rasa sia-sia atau kosong.

Yang saya paling suka? Aksi lawan. Koreografi dia mantap dan cukup kemas.  Saya perasan ada gabungan silat tradisional dengan gaya pertarungan yang lebih sinematik, tapi tidak sampai tahap mengada-ngada. Aksi nampak tulen, tidak nampak terlalu moden untuk zaman yang hendak digambarkan. Kredit patut diberi sebab usaha mereka gabungkan elemen tempatan dengan gaya filem aksi antarabangsa. 

Saya nampak nampak percubaan untuk seimbangkan budaya, aksi dan cerita rakyat, satu perkara yang bukan mudah. Senjata yang digunakan pun bukan biasa-biasa. Dari kayu selengan kembar ke nanchaku ‘besi tahi besi 1000 tahun’ (nama pun dah win). Adegan lawan berlatarkan kampung, hutan dan lombong menambah rasa ‘asli’ dalam visual.

Lawak dalam filem ni tak keterlaluan. Saya suka kerana ia bukan jenis lawak “jatuh kerusi”, tapi lebih kepada jenaka situasi dan dialog yang tajam. Saiful Apek seperti biasa dengan jenaka spontan dia, memang selamba, kena timing dan tak over. Bell Ngasri pula bawa vibe lawak kampung yang cerdas. D' ia bagi rasa komedi old school yang sudah lama saya rindu. Gabungan mereka dengan Amerul Affendi dan barisan pelakon lain macam Kazar, Wan Gegau, dan Asmidar sangat menjadi. Setiap watak ada momen masing-masing, tidak rasa seperti sekadar tempelan.

Namun ada juga babak yang rasa seperti lawak itu dipanjang-panjangkan. Mujur tak keterlaluan sampai ganggu flow cerita. Paling penting, tiada babak yang rasa terpaksa lucu. Tiada lawak main najis, kentut, atau terjerit-jerit yang kadang-kadang rosakkan mood penonton. 

Secara visual, filem ini buat kerja rumah. Lokasi-lokasi yang dipilih sangat meyakinkan. Ada babak waktu senja, waktu subuh yang tangkap feel dan kostum pun tak kelihatan macam baju pinjam. Props dan set tak nampak plastik, dan muzik latar juga kena dengan mood.

'6 Jilake' bukan filem tipikal aksi-komedi Melayu. Ia ada gaya tersendiri. Meski ada babak yang boleh dikemaskan lagi (terutama dari segi pacing dan kesan khas dalam beberapa adegan), saya rasa filem ini adalah satu nafas segar untuk genre komedi-aksi berlatarkan sejarah. Ia lucu tanpa murahan, patriotik tanpa syarahan, dan kreatif tanpa terlalu mencuba. 

Bukan filem sempurna, tapi ia filem yang jujur. Jujur dari segi niat hendak hiburkan, nak bawa budaya tempatan ke layar besar, dan nak buat kita ingat semula zaman kita dulu. Dalam industri filem yang penuh remake dan idea kitar semula, filem ni rasa segar dan berani. 

Jikalau anda peminat filem aksi komedi yang ada “jiwa Malaysia”, saya rasa '6 Jilake' patut masuk dalam senarai tontonan wajib kerana ada  kisah yang bukan sahaja buat kita ketawa, tapi buat kita rasa bangga kerana ada nilai nostalgia, aksi yang menghiburkan, dan keberanian untuk jadi lain dari yang lain. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 24 April 2025, jom tonton!