'Pamali: Tumbal' Larangan Sentuh Apa Yang Bukan Hakmilik Atau Di Timpa Petaka

oleh: zizi hashim

Membongkar mitos seram masyarakat, satu demi satu, kali ini sutradara Bobby Prasetyo mengemudi filem ketiga dari semesta Pamali dengan membawa kisah tentang toyol, makhluk kecil yang lahir dari tamak dan darah manusia ke layar dengan cara yang mengejutkan. Seram, sinis dan sesekali membuat kita ketawa tanpa sempat bernafas lega. Adaptasi daripada game Pamali: The Little Devil ini bernuansa seram dan pada masa yang sama turut menjadi jendela ke dunia di mana pamali dan pemujaan sihir bersilang di garis antara iman dan ketakutan.

Sejak Pamali (2022) dan Pamali: Dusun Pocong (2023), francais ini memang unik kerana tidak hanya menakutkan, tapi juga menyimpan cerminan sosial. Dalam Tumbal, Bobby tidak bersembunyi di sebalik jumpscare murahan. Saya menonton dengan dada berdebar, bukan kerana takut hantu, tetapi kerana perasaan akrab terhadap segala larangan yang sering dinasihatkan oleh orang tua. Jangan keluar lewat malam, jangan foto bertiga, jangan mengambil wang di jalanan dan banyak lagi pesan. Larangan yang dahulunya dianggap remeh tetapi kini terasa seperti doa yang menahan bala. 

Bobby mengajak penonton menelusuri akar cerita tentang kepercayaan pemujaan syaitan, ketika manusia sanggup menukar jiwa demi wang, dan hantu hanyalah pantulan dari dosa yang tidak sempat ditebus. Filem berdurasi 95 minit ini berkisar tentang Putri Dewi Kuncoro (Keisya Levronka), seorang gadis desa yang hidupnya berubah menjadi mimpi buruk setelah ibunya, Ambar (Djenar Maesa Ayu), mendadak hilang secara misteri. Desanya telah lama diselimuti ketakutan: perempuan sering hilang tak pulang-pulang, wang dicuri tanpa sebab, dan orang-orang mula berbisik tentang “uang tumbal”.

Ketika Putri menyedari ibunya terlibat dalam praktik itu demi menyara keluarga, dia memutuskan untuk menjejak kebenaran bersama dua sahabatnya, Cecep (Fajar Nugra) dan Kiki (Ummi Quary). Apa yang bermula sebagai pencarian, berubah menjadi perjalanan di antara dunia nyata dan ghaib. Mereka menelusuri hutan yang bernafas seperti tubuh tua, kilang kimia berdebu milik bekas Ketua Kampung yang tamak, hingga rumah kosong yang menyimpan tangisan dari dunia lain. 

Di sinilah pamali-pamali yang selalu kita dengar waktu kecil kembali menghantui. Sudah tentulah dahulu saya degil, tak dengar cakap dan melawan. Jangan keluar waktu senja, jangan cakap sembarangan, jangan ambil duit di jalan. Semua larangan itu tiba-tiba terasa seperti jaring halus yang menyelamatkan manusia daripada kejahatan yang tak terlihat.

Sebagai penonton, saya terperangkap di antara takut dan geli hati. Cecep dan Kiki adalah penyelamat suasana, gurau senda mereka di tengah kegelapan membuat filem ini terasa ringan tanpa menafikan seramnya. Cecep, karektor yang sudah muncul sejak filem pertama, menjadi benang merah Pamali seolah-olah dia ditakdirkan hidup berulang kali dalam kitaran mistik yang sama. Dialog spontan dan ekspresi “tidak apa, saya dah biasa dengan benda mistik” buat penonton lega ketawa sebelum jantung kembali berdegup laju.

Visualnya juga mencuri perhatian. Warna-warna biru kelam dan pencahayaan sempit menjadikan setiap adegan seolah ruang yang menelan. Tata suara seperti bisikan, gema langkah, degupan jantung, dirancang dengan teliti. Tetapi di beberapa bahagian, efek bunyi terasa berlebihan; seperti setiap nafas pun diberi latar dramatik. Meski begitu, ia menambah tekstur pada suasana yang memang penuh saspens.

Toyol di sini divisualkan dengan CGI yang menimbulkan rasa serba salah antara seram dan sedikit lucu. Wajahnya mirip anak kecil berusia tua, lidah panjang dan mata kosong, lebih dekat dengan reka bentuk game daripada realiti. Ia sesuai dengan akar adaptasi dari Pamali: The Little Devil oleh StoryTale Studios. Namun, bagi peminat seram klasik, ada rasa rindu terhadap hantu yang lebih 'hidup' yang muncul dari bayang-bayang, bukan dari komputer.

Menariknya, Pamali: Tumbal juga menyinggung sisi psikologi masyarakat desa, bagaimana kemiskinan dan kepercayaan boleh saling mengikat dalam lingkaran yang kejam. Ambar bukan sekadar ibu malang, tetapi lambang manusia yang tersesat oleh tekanan hidup. Ketika dia mengambil wang tumbal, dia sebenarnya sedang menandatangani perjanjian dengan dirinya sendiri: antara cinta kepada anak dan rasa putus asa akan nasibnya.

Keisya Levronka membawa watak Putri dengan rentak emosi yang halus, antara takut, marah, dan tekad yang lahir dari kasih seorang anak. Djenar Maesa Ayu pula menambahkan lapisan misteri yang kelam, wajahnya menyimpan rahsia yang tak pernah selesai. Terdapat juga beberapa kelemahan adegan seperti kematian Kiki yang terlalu tiba-tiba, atau babak hujan petir yang terasa melodramatik. Tetapi di tengah semua itu, roh Pamali: Tumbal tetap hidup. Ia bukan filem yang menjerit seram, tapi yang membisikkan ngeri perlahan-lahan.

Bobby Prasetyo tampak sengaja menyulam lawak jenaka dan ketegangan sebagai dua sisi cermin yang sama, kerana dalam masyarakat kita, kisah seram selalunya disampaikan sambil ketawa kecil, seperti ingin membohong rasa takut. Itulah yang membuat Pamali: Tumbal terasa jujur. Ia memahami jiwa kita yang masih percaya pada pantang larang, tapi tetap ketawa bila lampu sudah menyala. Mungkin kita semua punya 'pamali' sendiri yang diam-diam menjaga keseimbangan hidup. Mungkin juga, di sudut rumah yang sunyi, ada sesuatu yang sedang memerhati.

Apa yang menjadikan Pamali: Tumbal menarik ialah keseimbangannya antara kengerian dan jenaka. Ada detik yang benar-benar menegangkan, namun diselangi kelakar yang tidak menjatuhkan martabat cerita. Humor itu bukan sekadar pemanis, tapi juga strategi untuk membuat kita selesa sebelum dilanggar oleh sesuatu yang tak terduga. Suasana kampung yang suram, jampi yang dibisik perlahan, dan bayang tubuh kecil yang bergerak di sebalik pintu, semuanya mencipta perasaan tak tenteram yang berlapis-lapis.

Pelakon-pelakonnya juga membawa energi yang tulen. Tidak berlebihan, tetapi cukup untuk membuat kita percaya bahawa semua yang berlaku itu benar. Namun di sebalik kengerian dan tawa, PAMALI: TUMBAL menyentuh sesuatu yang lebih dalam. Rasa bersalah yang diwarisi, keinginan manusia untuk mencipta jalan pintas menuju kemewahan, dan akibat apabila kepercayaan lama dijadikan mainan. Ia refleksi tentang apa yang berlaku apabila manusia memperdagangkan prinsip demi kesenangan. Tayangan di pawagam Malaysia bermula 16 Oktober 2025, jom tengok wayang!