oleh: zizi hashim
Ketika sempadan antara manusia dan mesin semakin kabur, TRON: ARES hadir sebagai bab baharu yang menyatukan kecanggihan teknologi dan renungan jiwa manusia. Program digital yang dicipta untuk memahami dan menembusi dunia manusia berdepan dilema eksistensi antara logik dan empati. TRON: ARES bukan hanya tentang dunia maya, tetapi tentang makna menjadi hidup di tengah-tengah dunia yang semakin dikuasai kecerdasan buatan.
Memulakan babak pertama di layar IMAX dengan letupan cahaya neon, getaran bass elektronik, dan dunia maya yang terasa terlalu nyata untuk sekadar rekaan, TRON: ARES adalah sebuah pengalaman seperti terperangkap dalam denyut nadi digital yang bernafas, memanggil kita untuk merenung, sejauh mana manusia sanggup mencipta kehidupan dalam bentuk data.
Di bawah arahan Joachim Rønning, sang sutradara yang pernah mengemudi Maleficent: Mistress of Evil dan Pirates of the Caribbean: Dead Men Tell No Tales, kali ini membawa legasi TRON ke tahap yang lebih puitis dan kontemporari. Filem ini melanjutkan dunia yang pernah dicipta oleh Steven Lisberger (1982) dan disemarakkan semula dalam TRON: Legacy (2010). Namun Ares tampil lebih matang, lebih reflektif, menyingkap sisi spiritual dari teknologi yang selama ini dianggap dingin dan tidak berperasaan.
Kisah bermula dengan kelahiran Ares (Jared Leto), sebuah program buatan hasil ciptaan Julian Dillinger (Evan Peters), watak antagonis yang menjadi penggerak utama dunia digital baru ini. Ares bukan sekadar kod, tetapi kesedaran yang mula mengenal dunia, mula merasa, mula bertanya. Bersamanya, hadir Eve (Greta Lee), entiti cerdas yang menjadi jambatan antara dua realiti, dunia manusia dan dunia maya. Ketegangan antara mereka memunculkan persoalan yang jauh lebih dalam: apakah perasaan, kasih sayang dan jiwa hanya milik manusia?
Di sebalik kilauan neon dan dunia yang futuristik, TRON: ARES sebenarnya membicarakan sesuatu yang sangat manusiawi, tentang pencarian diri, empati, dan kebebasan. Ketika Ares menatap dunia manusia dengan pandangan pertama, ada getar yang sukar dijelaskan; seolah-olah kita sedang melihat cermin yang menampakkan sisi kita yang paling raw, penuh rasa ingin tahu dan ketakutan yang sama.
Setiap frame filem ini terasa seperti karya seni digital. Dunia maya Grid yang diperkenalkan dalam TRON: Legacy kini tampil lebih hidup, lebih halus, dan lebih organik. Efek CGI-nya bukan sekadar paparan teknologi tinggi, ia memiliki keindahan estetik yang membius. Gedung neon, jalanan berkilau, dan struktur digital yang seakan bernyawa menjadikan setiap babak seperti puisi visual yang menggugah.
Menonton TRON: ARES di IMAX adalah keputusan terbaik yang boleh dibuat oleh pencinta sinema. Setiap dentuman skor Nine Inch Nails menggema di ruang dada, mencipta harmoni antara kekacauan dan keindahan. Kalau Daft Punk memberi jiwa ke Legacy, maka Nine Inch Nails memberikan denyut nuansa keras, gelap tetapi begitu mempesonakan.
Jared Leto akhirnya menemui peranan yang terasa ‘hidup’. Sebagai Ares, dia membawa lapisan emosi yang kompleks. Separuh mesin, separuh manusia. Wajahnya pucat kaku, tetapi matanya rancak berbicara. Greta Lee sebagai Eve tampil berkarisma, seimbang antara ketegasan dan kelembutan. Jodie Turner-Smith pula membawa graviti yang kuat dalam peran Athena, penjaga rahsia dunia maya yang berjuang untuk kuasa dan kebenaran.
Gillian Anderson muncul singkat tetapi berkesan, manakala Evan Peters sebagai Julian Dillinger memberikan warna pada konflik moral filem ini, meski kurang menyerlah, kehadirannya menjadi simbol bahaya ketika manusia mula berlagak ibarat Tuhan (playing God). Jika Legacy pernah memukau dengan perlumbaan motosikal neon, Ares melangkah lebih jauh. Setiap babak aksi diatur dengan koreografi yang menggabungkan kelajuan, visual dinamik, dan gerak emosi. Ada adegan pertempuran yang terasa seperti tarian, antara manusia dan ciptaan, antara kod dan kesedaran.
Namun di sebalik segala ledakan dan cahaya, ada lapisan falsafah yang lembut tapi mendalam. TRON: ARES menyoal semula batas kewujudan, apakah makna “hidup” apabila mesin pun mulai mampu merasai? Ia seperti mengajak kita menilai semula dunia kini, di mana kecerdasan buatan mula menulis puisi, melukis wajah, dan mengira emosi dengan algoritma.
Meski berdurasi sekitar 2 jam, saya hampir tidak menyedari waktu berlalu. Setiap babak terasa seperti gelombang yang membawa saya lebih dalam ke dunia Ares. Ia tidak seberat Blade Runner 2049, tapi tetap mencengkam dengan cara tersendiri, sederhana dalam penceritaan, namun luas dalam makna. Babak akhir memberi kesan mendalam, bukan dengan ledakan besar, tetapi dengan keheningan. Ares berdiri di antara dua dunia, menyedari bahawa kesempurnaan bukan tujuan, tetapi keberanian untuk memberi kesedaran.
TRON: ARES terasa relevan dengan dunia hari ini di mana manusia semakin bergantung pada ciptaan sendiri, dan batas antara kesedaran biologi dan digital semakin pudar. Filem ini mengingatkan saya bahawa dalam setiap sistem, masih ada 'jiwa kecil' yang merindukan kebebasan. Kalimat Ares yang paling membekas di hati saya berbunyi, “I am fearless, and therefore powerful.” Ia seperti mantra bagi dunia moden, tentang keberanian untuk sedar, untuk merasa, walaupun dalam dunia yang semakin dikawal oleh kod.
TRON: ARES bukan hanya tontonan sains fiksyen yang indah, tetapi refleksi tentang diri kita sendiri. Ia menggabungkan teknologi dan kemanusiaan, cahaya dan kegelapan, data dan doa menjadi satu pengalaman sinematik yang menggugah rasa. Kalau menurut saya, ini bukan sekadar filem tentang masa depan, tetapi tentang masa kini, tentang manusia yang mencari makna dalam dunia yang diciptanya sendiri.
Justeru, jika anda ingin menyelam ke dunia futuristik di mana cahaya berbicara, jantung bergetar dengan bass elektronik, dan jiwa bertemu algoritma, TRON: ARES menunggu anda di pawagam mulai 9 Oktober 2025. Pastikan menontonnya di IMAX, kerana di sana, dunia digital terasa benar-benar hidup.