oleh: zizi hashim
Adakalanya, saya menonton filem seram bukan semata-mata untuk menakutkan diri, tetapi sebaliknya kerana saya mencari sesuatu yang tak dapat dijelaskan. Seperti ingin menguji keberanian hati, atau barangkali cuba memahami sisi gelap diri sendiri yang jarang disuluh. Itu yang saya rasa sewaktu menonton Ghost Train, naskhah terbaru dari Korea Selatan arahan sutradara Tak Se-woong. Sebuah cerita yang bermula seperti video YouTube biasa tetapi berakhir bak mimpi buruk yang tak berkesudahan.
Saya mengenali Da-kyung, watak utama lakonan Joo Hyun-young, seperti saya mengenali ramai pencipta konten hari ini. Berani, teruja, dan sentiasa lapar akan 'klik'. Dia bukan wira dalam erti sebenar, tetapi manusia biasa yang memilih Gwanglim Station, sebuah stesen bawah tanah terbengkalai, sebagai pentas untuk siaran langsung berikutnya. Tujuannya mudah: mencipta konten dan menakluk algoritma. Namun, sebaik sahaja kamera mula merakam, ia tidak sekadar untuk tontonan tetapi turut menjadi peringatan, bahawa sesetengah ruang tidak mahu disinggahi, apatah lagi dibongkar rahsianya.
Filem ini bernafas dalam ruang yang sempit, terowong kereta api, tangga bawah tanah, dan lorong yang mengulum bunyi. Namun ruang yang sempit itu, entah bagaimana, membesarkan rasa cemas. Saya terasa seolah-olah turut berjalan bersama Da-kyung dan Woo-jin (lakonan Choi Bo-min) menelusuri lorong-lorong yang sejuk, lembap dan sepi, sambil menyedari bahawa makin lama mereka berada di sana, makin kurang jalan keluar yang kelihatan.
Jeon Bae-soo sebagai penjaga stesen memberi warna misteri yang menggigit. Wajahnya menyimpan rahsia, bukan yang jahat, tetapi yang terlalu berat untuk dikatakan. Dari setiap gerak-gerinya, saya terasa ada sejarah panjang yang tak terungkap. Seolah-olah, dia sendiri sudah lama tidak pulang dari stesen itu ataupun memang tidur di situ. Meski visual Ghost Train tidak bombastik, malah ada saatnya terasa raw dengan skema warna yang agak kasar, tetapi disitulah yang menjadikan ia lebih seram. Cahaya samar yang mencuri wajah, bisikan halus yang menghentam sunyi, dan suara-suara yang seakan datang dari masa silam. Jujurnya, ada beberapa babak yang klise. Anak kecil berdiri di hujung lorong, jeritan tiba-tiba, atau prolog yang tidak disambung kembali. Namun semua itu saya ampunkan kerana filem ini ada roh yang nyata.
Sukar melupakan sensasi pertama saya menonton Ghost Train dalam durasi 94 minit. Cerita bermula apabila Da‑kyung dan Woo‑jin memilih untuk membuat siaran langsung di Gwanglim Station, sebuah stesen kereta api bawah tanah yang sunyi tetapi sarat misteri. Kamera menjadi saksi rasa ingin tahu berdepan dengan suara-suara yang tidak mahu diganggu. Di situ, suasana menebal. Saya rasa setiap nafas seakan ditelan oleh lembapan dan keheningan terowong itu.
Joo Hyun‑young mempersembahkan Da‑kyung dari kedua-dua sisi. Penuh keyakinan ketika berdiri di hadapan kamera, tetapi pecah bila dia mendengar jeritan yang tak langsung disangka wujud. Watak penjaga stesen, memberi lapisan seram yang lebih mendalam. Dia penunjuk arah yang juga penyimpan rahsia. Satu momen yang menggentarkan adalah ketika Da-kyung akhirnya ‘melihat’ sesuatu yang tidak dapat dirakam kamera. Sebuah pertemuan sunyi antara manusia dan entiti yang sudah terlalu lama terkandas, menunggu seseorang kembali. Ketika itu, saya terdiam. Inilah momen yang menyimpan potensi tetapi tidak dipecahkan sepenuhnya oleh pengarah.
Ya, Ghost Train mungkin tidak akan menjadi klasik seperti A Tale of Two Sisters atau The Wailing, dan benar, ia tidak bebas daripada trope dan lompatan klise. Namun filem ini punya hati. Sebuah cerita tentang rasa bersalah, tentang trauma yang terbiar, tentang obsesi akan perhatian yang akhirnya membawa seseorang ke tempat yang tidak dapat dia keluar semula. Lebih dari itu, filem ini membuatkan saya terfikir. Berapa banyak perkara yang telah kita hidupkan semula semata-mata kerana ia boleh ditonton, diklik dan diperkatakan? Apakah semua ruang, semua kisah, layak dijadikan konten? Atau ada yang lebih wajar dibiarkan sunyi, terlindung dalam gelap?
Sejujurnya, saya puji filem ini kerana pembinaan suasana dan nilai psikologinya meski kurang gemar pada palet warna yang terasa 'kasar' dan eksekusi visual yang belum menjadi. Meski begitu, penciptaan atmosfera mencengkam serta sinematografi yang menyoroti lembapan dinding dan tekstur lantai stesen membuatkan ngeri itu terasa realistik dan tidak dibuat-buat.
Menonton Ghost Train terasa seperti menaiki kereta api tanpa destinasi akhir. Kita tahu ia bergerak, tapi tak pasti ke mana. Dan sebaik turun, kita membawa pulang satu rasa. Sejenis takut yang tidak menjerit, tetapi menyelinap perlahan. Sejenis takut yang membisik, “kamu pernah tinggalkan sesuatu… dan ia sedang menunggu.” Buat antusias filem seram yang menyukai ketegangan yang pekat dan suasana yang mendakap erat, filem ini mungkin tidak menyempurnakan semua, tetapi ia mengajak kita masuk ke dalam, bukan sebagai penonton, tetapi sebagai saksi.
Pengakhiran yang tergantung, meninggalkan perasaan ingin melangkah masuk semula. Dan setelah melangkah masuk, mungkin benar seperti kata poster filemnya: “Once you board… there’s no getting off.” Tayangan di pawagam Malaysia bermula 10 Julai 2025, tiket menuju stesen ini berakhir di titik di mana kita tidak boleh turun… Ketika saya menutup mata, masih terasa gema roda kereta api menempuh rel sunyi itu.